Selasa, 7 Ogos 2018

ISLAM POLITIK : MEMBELA SUNNAH ATAU MEMBELA ELIT AGAMAWAN?



Yang paling lucu dalam kontroversi kartun karya saudara Amin Landak  di portal Malaysiakini hampir seminggu lepas ialah cara penerimaan PAS dan penyokong-penyokongnya.

Terang-terang, PAS pantas tidak nyaman dengan usikan sinis saudara Amin. Di laman facebooknya dan di lidah rasminya, Harakah,  PAS dengan lantang menyatakan karya satira itu begitu biadap.

Bertambah lucu, apabila adanya penyokong yang menganggap kartun satu muka surat itu sebagai suatu penghinaan terhadap pakaian sunnah! (dua watak dalam kartun itu dilukis berpakaian jubah dan berserban)

Tunggu sekejap!

Bagaimana kartun tanpa dialog yang jelas menyampaikan mesej sinikal mengkritik "hubungan dan dokongan erat" PAS kepada UMNO itu boleh sampai 'terlajak simpang' ke hal pakaian sunnah?

Katakanlah, sekiranya saudara Amin menggambarkan dua watak PAS dalam kartun yang sama berpakaian biasa, apakah respons "terasa terhina" akan tetap timbul?

Besar kemungkinan jawapannya, YA!

Tuan-tuan,
Didalam nuansa politik yang dijenamakan, dilabelkan dengan dokongan kepada praktis agama (Islam) yang diyakini berkiblatkan kitab suci dan sunnah, bukan sahaja ahli PAS, bahkan penyokong-penyokong (baca : individu atau kelompok masyarakat) mengamini bahawa apa sahaja cara, percakapan, persoalan, karya satira juga kritikan terhadap PAS dan mana-mana lembaga/organisasi berkaitan Islam dianggap sebagai satu penistaan terhadap agama.

Keimanan ini nyata disempurnakan dengan alasan bahawa elit-elit agamawan yang mengimami saf hadapan parti, organisasi dan lembaga mereka ini teguh berpandukan ajaran quran dan sunnah. Iktikad mereka bahawa inilah wajah sebenar  politik berpaksikan Islam (Islam Politik) tanpa ada keraguan walau sebesar zarah.

Maka, apabila adanya kritikan dari segi apa sekalipun,  PAS melalui ahli-ahlinya juga penyokong-penyokongnya membela, memprotes segala jenis serangan yang dituju kepada mereka mengatasnamakan pembelaan ke atas agama.

Soalannya,
Apa benar tindakan pembelaan ini untuk agama atau saja untuk membela elit agamawan yang menerajui parti politik, organisasi atau lembaga yang berjenama agama?

Roy Murtadho di dalam eseinya "Aksi Bela Islam : Antara Bela Agama dan Bela Orligarki" menggariskan definisi Islam Politik.

Kata Roy, "pada dasarnya, Islam Politik berwatak reaksioner dan anti perubahan. Islam Politik tak hanya di Indonesia, tapi juga di belahan dunia Islam lainnya, mereka tak pernah menjadi bahagian dari perjuangan pembebasan rakyat, bahkan seringkali terlibat melegitimasi undang-undang yang tidak berpihak kepada rakyat. Ikhwanul Muslimin di Parlimen Mesir, misalnya, sebagaiman ditunjukkan Samir Amin, memberi dukungan pada undang-undang yang berisi penguatan hak-hak kepemilikan peribadi yang merampas hak-hak petani yang merupakan majoriti petani kecil di Mesir."

Sekali imbas, kedengarannya, apa yang berlaku di Indonesia, Mesir dan belahan dunia lain, gerakan yang mempromosi Islam Politik tak ada bezanya dengan apa yang berlaku di Malaysia.

PAS dan organisasi Islam lain seringkali menjunjung slogan kepada Quran, Hadis dan Sunnah, tetapi bila kali terakhir masyarakat mendengar mereka membela separuh pekerja Malaysia yang menerima gaji bulanan kurang dari 2 ribu ringgit sebulan?

Apakah Islam Politik gagal menganalisa kegagalan membereskan tuntutan upah yang menyihatkan bakal menyebabkan bala kepada aturan sosial masyarakat?

Bila kali terakhir masyarakat mendengar PAS atau organisasi Islam lain membela kepayahan masyarakat sedangkan perbelanjaan istana rancak berlangsung?

Atau, bila kali terakhir golongan yang menyeru kepada pengembalian kepada kitab suci mendesak polisi dan dasar kenegaraan diperketatkan supaya alam ini dibela dari menjadi mangsa korban kapital demi sebuah kemodenan?

Beberapa minggu sebelum Pilihanraya Kecil di Sg Kandis, ada dua peristiwa berlaku selain kontroversi kartu Amin Landak.

Pertamanya, Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar lantang bersuara di Palimen mengatakan PAS tidak bersetuju dengan gesaan mengharamkan perkahwinan bawah umur kerana "bertentangan  dengan Islam". (Malaysiakini 25 Julai 2018.)

Nik Amar berkata"Kalau mengharamkan terus (perkahwinan melibatkan kanak-kanak) saya sebenarnya tidak bersetuju, sebab dari segi agama ia tidak salah, tetapi kita boleh mengawal".

Masalahnya sekarang ialah ada 5,362 permohonan perkahwinan bawah umur direkodkan Jabatan Kehakiman Syariaah Malaysia sejak 2013 sehingga Disember tahun lepas . (Berita Harian Online 19 Julai 2019)

Bagaimana mahu mengawalnya wahai Nik Mohd Amar?

Tidakkah kita tahu kesan fisikal, emosi terhadap anak-anak yang dikahwinkan seawal 13 tahun? Adakah tuhan merahmati tindakan melegalkan perkahwinan anak-anak ini?

Keduanya ialah desakan  PAS untuk menyediakan pakaian yang mematuhi syariah bagi Pramugari PAS. Mereka menganggap kenyataan balas Anthony Loke supaya "meredahkan pandangan" bila berhadapan dengan pramugari  sebagai tidak bertanggungjawab. (Harakahdaily 2 Ogos 2018).

Nah, dalam banyak-banyak soal yang lebih membela keperluan masyarakat hari ini, PAS ternyata lebih konsisten memfokus isu aurat, isu pakaian berbanding isu yang lebih merakyat.

Itulah watak dan cerminan perjuangan PAS dan organisasi Islam lain. Para Pencetus Ummah yang lain pula kini bersolidariti diatas pentas demi mencegah "kemungkaran" isu Safie Ilyas.

Jangan tanya bila mereka mahu bersolidariti atas ketidakadilan yang berlaku dalam dunia ini. Kerana ianya takkan berlaku.

Walaupun begitu, arguemen dan kritikan terhadap Islam Politik ini tidak boleh diremehkan. Ini kerana Islam Politik mempunyai kekuatan mempengaruhi massa yang majoriti besaprnya dari golongan muslim.

Sehingga detik ini, terlalu ramai muslim yang menegakkan sokongan terhadap keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan gerakan Islam.

Hujah mereka ringkas, "siapa lagi yang lebih benar antara pimpinan yang berbasiskan seruan agama dari pimpinan yang tidak?"

Nyatalah, selama ini dokongan massa yang cenderung kepada Islam Politik bukan kerana kiblatnya yang mendokong perjuangan membela masyarakat tetapi membela elit agamawan politikus yang "untouchable".

Ahad, 5 Ogos 2018

MENGUPAYA DEMOKRASI YANG LEBIH RADIKAL

Sama ada abad kedua puluh satu adalah abad yang paling radikal atau abad yang paling reaksioner ... ianya sangat bergantung kepada jenis pergerakan sosial dan program berunsurkan radikal sosial untuk mencipta kekayaan teori, organisasi, dan politik yang telah terkumpul selama dua berabad-abad ... Arah yang kita pilih ... mungkin menentukan masa depan spesis kita untuk berabad-abad yang akan datang - Murray Bookchin, The Communalist Project (2002)

KATA Janet Biehl di dalam bukunya The Politics of Social Ecology - 

"Sistem kenegaraan telah mengerdilkan warga menjadi sekadar pembayar pajak, pemberi suara dan konstituen; seolah-olah mereka terlalu muda atau tidak berkemampuan untuk mengelola urusan-urusan publik mereka sendiri. Warga diharapkan berfungsi semata-mata secara pasif dan membiarkan para elit politik mencairkan jalan terbaik bagi mereka".

Menuju 100 hari janji kerajaan Pakatan Harapan yang bakal menjelang beberapa hari lagi nampaknya tidak begitu mencemaskan. Masyarakat, walaupun tidak menyatakan secara terang-terangan, namun keberadaan mereka di dalam atmosfera politik nasional membenarkan satu perkara paling pahit, yakni "yang paling penting Barisan Nasional dan Najib Razak dijatuhkan di Pilihanraya. Selebihnya, itu cerita lain"


Lucunya, dalam hal-hal membela nasib masyarakat seperti pemansuhan kadar tol, kesesakan lalu lintas dan kesan pencemaran terhadap alam sekitar, gaji minima yang dijanjikan, reformasi dalam sistem pendidikan, pemansuhan akata-akta dakronian (sekadar menyentuh beberapa perkara), hampir kesemuanya memerlukan pengkajian semula. 


Namun perkara-perkara melibatkan perlantikan Pengerusi syarikat-syarikat GLC seperti Khazanah, misalnya, tidak pula memerlukan pengkajian, bahkan urusan-urusan ini lebih mudah diputuskan berbanding urusan pembelaan masyarakat. 


Akhirnya kenyataan-kenyataan remeh seperti, " takkanlah lepas kahwin terus mengandung, " ini semua salah kerajaan lama", Terima kasih kerajaan lama kerana menyukarkan proses perubahan" dan "janji-janji kerajaan Pakatan memerlukan pengkajian semula memandangkan tiadanya kajian teliti ketika merangka manifesto" menceriakan suasana politik ala komentar Ahmad Maslan suatu ketika dahulu. 


Lalu, masyarakat, seperti kebiasaannya terpaksa menerima apa jua keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan. 


Soalnya, selain redha, yang mereka mampu lakukan?

Bukankah disebabkan itu,di saat ini,kita mesti mempertanyakan keras; 


Apakah ini wajah sebenar demokrasi?

Mengapa di kala masyarakat ghairah bertempik demokrasi ; sebuah keniscayaan tentang 'kuasa rakyat' ketika mereka mencari arah perubahan melalui proses pilihanraya umum -  seringkali melihat demokrasi ala pilihanraya lima tahun jelas meminggirkan potensi, upaya dan kreativiti mereka dalam mengatur perubahan dalam struktur sosial, politik dan ekonominya?


Apakah demokrasi yang sebenarnya bermaksud, rakyat berhak memilih tuan baharu tetapi menyerahkan segala kekuasaan kepada mereka atau rakyat benar-benar berhak menentukan takdir mereka sendiri?

Dan sekiranya benar demokrasi ialah partisipasi aktif masyarakat mengumpul idea dan membuat keputusan secara kolektif, mengapa kini, yang memutuskan sesuatu dasar adalah sekumpulan kecil elit-elit yang memiliki kuasa mutlak?


Kita sebenarnya berada dalam kekecewaan yang paling dalam. 
Kita juga merasa terpinggir. Sekian lama kita menanggapi bahawa perubahan kerajaan ialah proses menyihatkan, warga global turut merasa perkara yang sama. 

Demokrasi, kata Wayne Price dalam eseinya 'Anarkisme Sebagai Bentuk Demokrasi Ekstrem' - merupakan suara teriakan dari orang-orang yang tertindas melawan elit penguasa - sebuah idea bahawa orang biasa harus berpartisipasi didalam, dan mengawal institusi yang membentuk masyarakat mereka.

Price, merupakan seorang anarkis yang sering memperdebatkan idea demokrasi samada ia sekadar sebuah instrumen digunakan untuk menjamin kelangsungan hayat politik elit atau ianya benar-benar memiliki upaya dalam memberdayakan potensi masyarakat.


Manakala di dalam eseinya yang bertajuk "Are Anarchism and Democracy Opposed?", Wayne mengkritik pendirian sesetengah anarkis yang menolak idea demokrasi secara total kerana hujah mereka bahawasanya demokrasi adalah perkataan universal yang kerapkali direncakan bagi membela kelangsungan kapitalis dan elit penguasa yang represif selain menganggap idea demokrasi tidak konsisten dengan konsep anarkisme.


Price menegaskan ada kesesuaian dalam demokrasi dalam konsep anarkisme. Salah satu poinnya ialah, dalam struktur hidup masyarakat yang beragam, apa lagi instrumen yang lebih relevan boleh digunakan untuk menentukan keputusan-keputusan yang berkaitan keperluan masyarakat selain dari proses pungutan suara?


Disebabkan itulah, Wayne dan para anarkis lain mempromosi masyarakat untuk bersama membina demokrasi langsung - sebuah idea di mana, masyarakat mengelola sendiri komuniti mereka melalui dewan-dewan yang ditubuhkan untuk menguruskan keperluan masyarakat.

Demokrasi yang lebih radikal, lebih ekstrem, barangkali adalah satu-satunya jawapan kepada masyarakat global.

Pasca Donald Trump dimartabat sebagai Presiden Amerika menyaksikan kira-kira 2.9 juta rakyat Amerika memprotes di seluruh kota-kota Amerika mengekspresikan penolakan mereka terhadap Trump kerana dasar-dasar rasisnya. 


Bagi Eleanor Finley, seorang aktivis Sosial Ekologi, protes dan demonstrasi massa mempunyai batasan yang sangt terhad walaupun ianya adalah satu cabang demokrasi. Baginya, lebih dari, masyarakat perlu mempelajari tentang pengendalian program yang lebih berkesan dalam menyuburkan amalan demokrasi.


Finley, di dalam artikelnya The New Municipal Movement mempromosi gerakan demokrasi langsung menyatakan gerak-gerakan munisipal di pekan-pekan kecil seperti di Jackson, Missisippi dan Washington. Kata Finley gerakan-gerakan seperti ini mampu mengartikulasikan idea-idea yang dianggap utopia untuk memperbaiki kondisi hidup masyarakat. 


Dia mengambil contoh Cooperation Jackson , sebuah inisiatif sivik yang berpusat di Missisippi digerakkan oleh anggota-anggota masyarakat tanpa penglibatan kelompok elit penguasa. Finley menulis tentang Cooperation Jackson - 'Di sebuah bandar di mana lebih daripada 85 peratus penduduk adalah masyarakat kulit hitam manakala 90 peratus kekayaan dipegang oleh orang kulit putih, Cooperation Jackson memupuk kuasa popular melalui pembangunan ekonomi partisipatif. Sepanjang dekad,Cooperation Jackson dan pendahulunya telah membentuk persekutuan koperasi milik pekerja dan inisiatif lain untuk pengeluaran demokratik dan ekologi. Pangkalan ekonomi ini kemudian dikaitkan dengan perhimpunan orang ramai, yang secara umumnya menentukan keutamaan program.



Menariknya, Cooperation Jackson terlibat dalam pemilihan dan pemerintahan daerah . Kelompok masyarakat secara organik akan berkeputusan untuk memilih idea-idea bagi memperbaharui kondisi ekonomi dan sosial mereka dengan lebih demokratik.

Setiap idea yang diputuskan dan proses impelementasi yang dikendalikan oleh wakil-wakil mereka akan dipantau dengan lebih dekat. Lebih banyak keputusan dibuat secara lokal, maka lebih sedikit yang dibuat secara sentral.

Masyarakat kini sedang terdesak memerlukan sebuah program yang berupaya merevolusikan aturan hidup yang kini kian memburuk kesan dari sistem ekonomi yang berkiblatkan kapital dan dasar-dasar sosial yang mengakibatkan kesenjangan sosial.

Tinggal lagi samada kita mahu bergerak ke hadapan, atau tetap mahu berdegil - mengamini bahawasanya orang-orang yang kononnya berdebat tentang untung nasib masyarakat di dalam dewan parlimen itu akan merubah warna kehidupan dengan idea-idea populis mereka!


Rabu, 11 Julai 2018

KEBEBASAN : SEBUAH KEPURA-PURAAN

KEBEBASAN merupakan perkara alami dalam kehidupan seorang manusia. Dari zaman berzaman, manusia bukan sekadar menyebut-nyebut keperluan untuk bebas, malah lebih dari perbatasan itu, kebebasan berterusan diperjuangkan. Manusia sanggup bermatian untuk menegakkan kebebasan meski menghadapi risiko terkorban.

Namun kebebasan yang bersifat universal seakan perkara yang tidak mungkin. Seperti sebuah cakap-cakap kosong. Barangkali, ianya sejenis utopia yang mengkhayalkan. Usaha meletakkan kebebasan ke satu tahap tertinggi seringkali menemui kegagalan.

Tetap juga perjuangan mengatasnamakan kebebasan tetap menarik perhatian manusia. Ia mendamaikan hati. Terutama kepada mereka yang merasakan aturan hidup pada hari ini terlalu mengongkong, tidak bebas dan tidak merdeka.

Di lapangan politik, mereka yang sedang merebut kuasa akan memperlihatkan perjuangan mereka untuk membebaskan masyarakat. Walaupun sebenarnya apabila mereka sudah menang keatas seteru politik dan kuasa sudah beralih ke tangan mereka, kebebasan - nasibnya tetap terkurung.

Agama juga membawa intipati kebebasan. Manusia tertarik kepada sesuatu agama apabila pendokong agama bersurah tentang kebebasan dan bagaimana mereka mahu mencipta kehidupan yang lebih harmoni; namun pendokong agama seringkali terkeliru dalam membahaskan isu kebebasan. Mereka selalu tersekat, buntu apabila kebebasan yang mereka anjurkan mempunyai limitasi yang luas.

Begitu juga organisasi-syarikat korporasi besar. Bagi mereka, pekerja bebas menganuti apa jua kefahaman. Malah mereka (pekerja) berhak berkeputusan dalam pandangan politik mereka. Tetapi alih-alih, apabila seorang pekerja protes dengan keputusan atau dasar yang dibuat kerajaan, organisasi-syarikat besar memutuskan untuk menyingkir pekerja beralaskan  'guideline' yang ditetapkan tidak membenarkan pekerja mengekspresikan pandangan politik mereka secara publik.

Kata George Orwell, “Jika kebebasan merupakan sesuatu yang bermakna, ia bermaksud hak untuk memberitahu orang-orang apa yang mereka tidak mahu dengar.”   

Didalam sistem kenegaraan, masyarakat  dijamin kebebasan mereka oleh pemerintah. Baik dari segi menyatakan pandangan dan kritikan kepada mana-mana individu atau organisasi, juga kebebasan menganuti agama dan perkara-perkara alamiah lain.

Pun begitu, masyarakat sering diingatkan bahawa kebebasan ini terbatas. Semua orang boleh bersuara. Semua orang bebas mengkritik. Semua orang berhak mempersoalkan keraguan yang mereka rasakan. Namun, alih-alih kebebasan mengkritik, mempersoal dan mempertikai mesti mengikuti saluran yang betul. 

Sebagai masyarakat biasa, kita sering tertanya-tanya saluran yang betul tu bagaimana? Dan mengapa "saluran betul" ini mesti berdasarkan keputusan pemerintah sahaja? 

Beberapa hari lepas Anwar Ibrahim  berkata kepada media bahawa dia tidak bersetuju kritikan terhadap hak dan keistimewaan institusi raja melayu.

Dalam laporan Sinar Harian, Anwar berkata "
Saya tidak menafikan hak seseorang menulis dan berbicara tetapi untuk menyerang dan menghina raja-raja dengan fakta dipertikai dan maksud untuk menimbulkan permasalahan dalam negara kurang wajar". 

Mengapa setiap kali institusi pemerintahan (monarki) dipertikaikan dan setiap kali itulah kritikan direncanakan sebagai "tidak wajar" dan bersifat "menghina"?

Jikalau kritikan selalu dianggap menghina, lalu dimana bebasnya sebuah kebebasan (mengkritik)? 

Samada fakta "boleh dipertikai" atau "tidak boleh dipertikai" di era Malaysia Baharu ini, segala kritikan, pertikaian, mempersoalkan lagi-lagi terhadap kelas penguasa , ahli politik mesti subur berkembang.

Kebebasan hadir bersama tanggungjawab. Kebebasan turut berkembang bersama rasional. Kebebasan bukan digarispandukan oleh kelas penguasa. Dan jika faktor ini tidak sealiran, kebebasan akan dilihat berat sebelah.

Kebebasan mengekspresikan pandangan dan pertikaian tidak boleh terbatas kepada sesetengah kelas. Ia mesti bertumbuh mekar. Masyarakat tidak boleh gementar untuk mempersoalkan sesiapa sahaja; baik raja, kerajaan, ahli politik, agamawan, golongan intelektual atau sesiapa sahaja.

Kerana kebebasan, dalam lipatan sejarah tidak pernah diberkati dan diizin kelas penguasa. Kebebasan yang didalamnya membawa pengertian yang cukup bermakna sebenarnya muncul dari sejarah perlawanan.

Sekiranya hari ini, kebebasan mengkritik penguasa dianggap tidak wajar, perlu disalurkan ke saluran yang betul dan tertutup kerana bimbang menghina dan memalukan penguasa, kita sebenarnya hanya berpura-pura. Kita tidak pernah jujur bila bercakap dan mempraktis kebebasan.

Lebih tragis, kita bersikap hipokrit demi mengamankan hati sendiri bahawasanya kita ialah bangsa yang mendokong kebebasan.

Isnin, 9 Julai 2018

MASYARAKAT PEDOPHILE

PETANG kelmarin, ketika aku sedang menunggu beberapa pekerja imigran bertugas mencuci kereta aku di stesyen minyak Shell Taman Melati, Yaser menghantar satu pautan artikel bersama mesej pentingnya - "hang kena baca artikel ni!".

Artikel dari Projek MM yang bertajuk "Kelantan Tidak Serius Isu Nikah 11 Tahun" merakamkan komentar terhadap kenyataan Nik Amar sebagai Timbalan Menteri Besar "Negeri Serambi Mekah" Kelantan mengenai isu perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dengan isteri ketiganya yang baru berusia 11 tahun.

Lalu, setelah selesai membacanya, aku langsung mengemaskini status media sosial. Secara ringkasnya, aku menulis analogi mudah mengapa anak muda menolak untuk berdamping agamawan sebaliknya lebih intim dengan figura rock & roll seperti mendiang Kurt Cobain.

Penjelasan aku begitu sederhana, - Kerana agamawan tidak pernah membawa suara memihak kepada masyarakat. 

Bagi Nik Amar, isu perkahwinan kanak-kanak yang sedang meribut lewat ini baginya tidak serius berbanding kes-kes melibatkan LGBT dan zina.

Malah katanya, perkahwinan kanak-kanak tidak salah disisi agama Islam dan tidak patut diperbesarkan sebagai isu nasional kerana ianya hanya isu terpencil. Memetik kata-katanya, “Bukan semua lelaki mengahwini kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun”.

Berbanding Nik Amar yang religius, mendiang Kurt Donald Cobain yang tidaklah sealim mana, pernah mengeluarkan pendapatnya yang lebih membekas. 

Walaupun tidak menyentuh isu “child marriage” secara terperinci, sekurang-kurangnya, pendirian Cobain jelas berpihak kepada kaum tertindas, khususnya kaum wanita dan kanak-kanak perempuan yang dirogol dan diculik.(rujuk lagu “Polly” dan “Rape Me”)

Kata Cobain, masalah masyarakat ialah mereka terlalu taksub untuk mendidik kaum wanita untuk mempertahankan diri mereka. Apa yang lebih fundamental dan utama ialah mengingatkan kaum lelaki supaya tidak  merogol. 

Secara berseloroh dan sinis, di akhir "status fun-fun" itu, aku menjemput respon-respon berbau "syurga,nerak-dosa-pahala" ditulis dibahagian komen.
                                                                                                                                                               Setakat hari ini, terdapat 273 komen ditinggalkan dan kebanyakkannya memang komen berstatus "syurga-neraka-dosa-pahala"!

 Antara yang menarik ialah,

" Jadi perkahwinan itu yang mana sah disisi Tuhan, siapa kita untuk membangkangnya? Manusia ada standard yang lebih baik dari Tuhan?, "Jumhur 4 mazhab bersependapat Aisyah ketika bernikah dengan nabi ialah 9 tahun, datang pula bukti baharu, dari arkib mana?" dan "Isu kahwin (dengan kanak-kanak) juga kau nak sebut. Baik kau sebut isu perempuan tak tutup aurat, terang-terang tuhan sebut dalam quran dan marah..dan azab perempuan tak tutup aurat. Isu budak perempuan 11 tahun kawin takde pulak Tuhan cakap tak boleh dalam quran.."

Akhirnya, perdebatan perkahwinan kanak-kanak ini menyaksikan naratif gelap yang menyempitkan. Ia bukan lagi isu mengenai kemaslahatan, hak dan keadilan buat kanak-kanak bahkan tanpa persoalan kritis, ia langsung menjadi konflik yang meresahkan apabila kes pedophile sebegini mudah benar dihalalkan dengan hujah-hujah yang kononnya didokong agama. 

Ini adalah tragedi ketaksuban dan kejahilan  yang paling menyayat hati!

Ada ketika, hujah agama tidak semestinya diperlukan untuk membenarkan sesuatu perkara. Juga, tanpa hujah agama sekalipun, keburukan tetap kekal sebagai keburukan.

Namun ini sesuatu yang sangat sukar buat masyarakat untuk mereka persetujukan. Ditambah pula feudalisme yang tercipta dalam praktis agama -  masyarakat gagal berlaku jujur dan bersepakat dalam kenyataan ini.

Avaaz, sebuah portal global yang giat mempromosi aktivisme menentang kemiskinan, perubahan iklim, hak asasi manusi, hak asasi binatang, korupsi dan krisis dunia menyatakan "kes kanak-kanak perempuan yang berkahwin adalah masalah global - lebih dari 650 juta, kanak-kanak perempuan yang masih hidup pada hari ini ialah sudah berstatus isteri dan 10 ribu daripadanya adalah di Malaysia. Dan sementara Malaysia meluluskan undang-undang terhadap jenayah seks terhadap kanak-kanak tahun lepas, ia tidak menjadikan perkahwinan kanak-kanak sebagai jenayah."

Dari artikel yang sama (Projek MM - Kelantan Tidak Serius Isu Nikah 11 tahun) penulis menerangkan "Menurut kenyataan oleh Majlis Peguam Negara, antara tahun 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam telah membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Manakala, antara  tahun 2000 dan 2014, 7,719 permohonan perkahwinan telah dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam. 

Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi perkahwinan kanak-kanak menjelang tahun 2050,  sebanyak 1.2 billion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan."

Nah!
Setelah sekian dapatan dibuktikan, bagaimana isu ini boleh dianggap "terpencil" dan "bukan semua lelaki berkahwinan dengan pasangan berusia 11 tahun" oleh Nik Amar dan sebahagian besar masyarakat? 

Mengapa perkahwinan kanak-kanak mesti diperangi habis-habisan tuan-tuan?

Dalam laporan Institute For War & Peace Reporting, Sohdaba Ehrari menulis kisah tentang Laila, seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dari daerah Gozra, Afghanistan kini sudah berkahwin dan memiliki seorang bayi berusia 6 bulan. Kata Laila, yang berkahwin kerana kondisi keluarganya yang miakin,  menjadi isteri dan ibu benar-benar merampas zaman kanak-kanaknya; Laila tidak bersekolah, tidak bermain seperti kanak-kanak lain dan impian berserta cita-citanya terbunuh.Dia mengalami masalah ketika hamil dan bersalin kerana tubuhnya kecil dan lemah.

Menurut Health Consequences of Child Marriage in Africa, perkahwinan kanak-kanak didorong oleh faktor kemiskinan dan mempunyai banyak kesan terhadap kesihatan kanak-kanak perempuan: peningkatan risiko penyakit kelamin, kanser serviks, malaria, kematian ketika melahirkan anak, dan fistulas obstetrik. Anak-anak perempuan berisiko tinggi untuk kelahiran dan kematian pramatang sebagai bayi neonatus, bayi, atau anak-anak.

Maka benarlah, tanpa hujah agama sekalipun, kerosakkan dan konsekuensi dari perkahwinan kanak-kanak ini mendatangkan jutaan kecelakaan ketimbang kebaikkan.

Ia bukan seperti yang mereka nyatakan "untuk mengelak zina" atau "memelihara aurat". 

Jauh lebih dari itu, persoalannya sekarang, mengapa kita beriya-iya membenarkan perkahwinan kanak-kanak 11 tahun itu?

Di mana bezanya antara keberadaan kanak-kanak itu dengan Laila serta 650 juta kanak-kanak perempuan lain? Mereka masih muda, datang dari keluarga miskin dan perkahwinan itu sama sekali tidak seperti kisah klasik antara anak gadis dan raja melainkan ia adalah jalan menuju neraka; tanpa sekolah, tanpa masa bermain, tanpa kawan-kawan, kesakitan dan terkorban demi melayani nafsu "pemimpin keluarga".

Adakah kita masih perlu menghormati perkahwinan ini kerana alasan tradisi - cara hidup sesetengah bangsa, atau kerana kegelojohan kita dalam menafsir praktis agama atau akui sahaja, kita sememangnya pedophile yang tersuci diatas sebuah aqad.

Jumaat, 29 Jun 2018

WORLD REFUGEE DAY : HARI YANG TIDAK PENTING

BEBERAPA hari lepas, tepatnya pada 20 Jun 2018 merupakan hari "World Refugee Day."

Entah mengapa hari itu sepi tanpa sambutan. Tiada ingatan. Tiada borak-borak mengenai nasib berjuta pelarian-pelarian. Tiada persoalan mengapa pelarian kian bertambah di era dunia terpekik-pekikkan kemajuan, teknologi dan kemanusiaan.

Di Malaysia juga begitu.
Mungkin kerana kita masih sibuk beraya. Mungkin juga kita sedang enak berbahagia selepas negara ini diterajui kerajaan bebas kleptokrasi. Ataupun mungkin yang sebetulnya, kita tidak pernah peduli sedikit pun hal isu pelarian?

Signal kemanusiaan kita hanya bergetar apabila Gaza diletup rejim Israel. Setiap kali itulah derma untuk Gaza menimbun-nimbun. Selepas solat jumaat kita berarak ke kedutaan Amerika di Jalan Ampang. Di pejabat, di meja makan, dimana-mana sahaja, kita bersyarah soal memboikot barangan buatan Israel. Israel kejam, Israel zalim, hancur Israel jerit kita!

Bagi kita, istilah pelarian merujuk kepada bangsa Syria yang mana wanita-wanitanya elok dikahwini kita demi menjaga kebajikan mereka. Pelarian juga menyegerakan ingatan kita kepada Rohingya - bangsa yang kita terima kemasukkan mereka tetapi tidak tahu berterima kasih, pengotor dan suka menipu harga jualan di pasar borong. 

Walaupun begitu, kita faham benar pelarian, mangsa perang dan golongan tertindas semuanya orang muslim.

Tapi tahukah kita, bukan orang Islam sahaja yang tertindas di muka bumi ini? 

Tahukah kita, sekurang-kurangnya 1.5 juta rakyat Venuezela kini menjadi pelarian? Tahukah kita bahawasanya mereka adalah bangsa tertindas, hidup merana dalam kelaparan,  keganasan dek kerana aturan ekonomi yang menghancurkan keseluruhan hidup mereka? Seperti yang dilaporkan Vice News pada 18 April 2018, setiap hari berlaku kes kematian kerana stok-stok ubatan terbatas. Namun Presiden Venuzuela Nicolas Maduro telah menghancurkan protes-protes dari massa malah mengetatkan cengkaman partinya terhadap kuasa, menyangkal kewujudan krisis kemanusiaan dan melumpuhkan harapan pembaharuan politik.

World Refugee Day disambut pada pertama kali pada tahun 2001 bertepatan sambutan 50 tahun tertubuhnya 1951 Refugee Convention. 

Ia bukanlah perayaan yang dilimpahi lampu-lampu neon, makanan-makanan lazat dan diraya penuh keterujaan melainkan bertujuan untuk melukis kesedaran publik dan masyarakat global tentang jutaan nasib pelarian yang melarikan diri disebabkan perang, konflik dan penganiayaan di negeri sendiri.

Pada tahun 2001, dianggarkan 12 juta pelarian mencari perlindungan / suaka di setiap pelusuk dunia. Selepas 17 tahun, dapatan UNHCR menyatakan terdapat 68.5 juta manusia yang kehilangan tempat tinggal manakala dari jumlah ini 25.4 juta adalah pelarian. 

Mengerikan bukan?

Pada titik terekstrem, pertambahan bilangan pelarian menjelaskan betapa nerakanya kondisi dunia sekarang.

Walaupun jumlah pelarian bertambah pada setiap tahun, dari konflik perang di timur tengah, krisis genoside di Rakhine, kemiskinan yang maha dahsyat di benua Afrika sehingga  krisis ekonomi di Venuezela - menyaksikan jutaan manusia keluar berbondong-bondong mencari perlindungan di negara-negara yang lebih selamat,  namun negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Itali dan Jerman bertindak sebaliknya.  

Menurut Madeleine Ngo yang menulis "3 Things We’ve Learned Since Last Year’s World Refugee Day" di portal Vox, mengatakan negara-negara kaya kini sedang menyusun pelan dan polisi untuk menutup pintu kepada pelarian-pelarian. 

Tulis Ngo, "Menurut UNCHR, peratusan besar orang yang terlantar sedang dihoskan di negara-negara membangun, sementara negara kaya seperti Amerika Syarikat dan Itali telah menjadikannya lebih sukar bagi pelarian untuk masuk. September lalu, Trump menurunkan jumlah pengambilan pelarian kepada 45,000 orang - jumlah terendah dalam tahun. Dan walaupun orang Syria adalah kumpulan terbesar orang yang melarikan diri dari konflik sekarang, dari Januari hingga April tahun ini, AS dilaporkan hanya menerima 11 pelarian Syria."

Trump baru-baru ini dikecam kerana polisi "zero-tolerance" membabitkan pengasingan anak dan ibu bapa berstatus imigran. Kelmarin, The Independent melaporkan "In a statement issued by the UN's Human Rights Council, experts said the president's recent executive order, ostensibly to halt the controversial separations, failed to resolve the problem and "may lead to indefinite detention of entire families in violation of international human rights standards".

Manakala Itali dibawah pemerintahan Parti Lega sebuah parti "right-wing" membuat keputusan yang membanggakan Musollini  dengan pendirian mereka untuk menghantar pulang 500 ribu pendatang haram yang kebanyakkannya datang dari Afrika berstatuskan pelarian.

Jerman juga begitu. Meski sebelum ini (2015) kerajaannya membuka sempadan kepada hampir 1.4 juta pelarian namun setelah desakan dari pihak konservatif, Jerman sedang dalam pelan menghantar pulang imigran dan pelarian ke negara asal mereka yang bergolak.

Bagaimana pula dengan Malaysia?
Tentu sekali negara ini bukan ahli 1951 Refugee Convention. Sekiranya negara barat dan maju yang merupakan anggota kepada 1951 Refugee Convention tidak serius kepada situasi pelarian yang berantakan, apalah sangat yang kita harapkan kepada negara bukan ahli seperti Malaysia.

Laporan Amnesty International Jun 2010 bertajuk "Diseksa Dan Ditinggalkan - Pelarian Dinafikan Hak di Malaysia" membariskan detail-detail berkaitan layanan pelarian yang memasuki Malaysia.

Tiada jumlah tepat, namun anggaran menyatakan terdapat 90,000 sehingga 170,000 pelarian berada di dalam Malaysia. Majoritinya berasal dari Myanmar. Sehingga penghujung Februari 2010, UNHCR berkata ia telah
mendaftarkan sekitar 82,400 pencari suaka dan pelarian, di mana
daripada jumlah tersebut, 18,500 orang adalah kanak-kanak. Dianggarkan seramai 2.2
juta pekerja asing sah bekerja di Malaysia, serta anggaran 2.2 juta
pekerja asing tidak sah (irregular) telah berhijrah ke negara ini. Apa yang tidak diketahui ialah peratusan penduduk pekerja asing
yang sebenarnya merupakan pelarian yang belum didaftarkan atau
tidak cuba untuk menuntut suaka.sumber laporan Amnesty).

Sehingga hari ini, undang-undang Malaysia menganggap pelarian perang, pencari suaka adalah pendatang haram. Kita tidak dapat membezakan salah satu darinya. Ini yang menyebabkan Malaysia mengaku di negaranya yang berdaulat tidak wujud pelarian.

Laporan Amnesty menyatakan kebrutalan yang dilakukan oleh pihak penguasa, polis dan jabatan Imigresen terhadap pelarian dan imigran. Hak mereka tidak diiktiraf ;  pelarian dan pencari suaka dikenakan
hukuman seperti penjenayah, gangguan, layanan buruk, pemerasan,
penahanan lama yang tidak sepatutnya dan berisiko, ‘refoulment’
(penghantaran pulang secara paksa).

Melihat kesan-kesan dari usaha penolakan terhadap pelarian imigran, memperlihatkan represif Negara melalui sempadan dan karenah birokrasinya. Bagi Mikhail Bakunin - tokoh falsafah anarkisme pernah menyuarakan perihal keangkuhan negara.  Baginya, Negara hanya ‘melindungi' warganegaranya—mengakui hak asasi manusia—hanya dalam batas-batasnya, baik teritori maupun regulasinya. Maka kemudian secara otomatis, Negara tidak akan mahu mengakui hak di luar batas—teritori dan regulasi—yang mereka tentukan.

Permasalahan pelarian mahupun imigran bukan lagi menjadi tanggungjawab Negara. Bahkan ia adalah tanggungjawab seorang manusia, warganegara, penduduk bumi keseluruhannya. 

Masihkah kita ingat kisah nelayan-nelayan Acheh yang menyelamatkan pelarian-pelarian Rohingya yang terhuyung hayang di atas bot melintasi perairan mereka?

Meski penguasanya melarang kerana keberadaan mereka nanti mengundang permasalahan lebih serius, apakah yang nelayan-nelayan itu ungkapkan?

"kerana mereka juga berhak hidup seperti saya"

Semudah dan seikhlas itu.
Nyatanya tindakan Negara, sempadan dan dasarnya-dasarnya tidak melindungi kemanusiaan. Meski tindakan mereka benar di sisi perlembagaan, ia tetap tidak bermoral disisi nilai kemanusiaan.

Seperti kata Harry Leslie Smith dalam tulisannya di The Independent  bertajuk "I'm nearly 100 Years Old, I Saw The 1945 Refugee Crisis Firsthand –and I need people to listen to my warning" , kata Harry, "Di era ini, kita hidup dalam ketaksuban yang tidak masuk akal dan kejahilan."

Sehingga masyarakat tidak lagi berdolak dalih antara semangat nasionalisme dan hak mengiktiraf hak semua pelarian merentasi agama, ras dan perbezaan lainnya, disitu akan bermulanya runtuhan birokrasi Negara dan Sempadannya.

Jika tidak, kita tidak akan penah berlaku jujur dalam memperkatakan isu kemanusiaan melibatkan pelarian dan kaum tertindas. 

Ahad, 4 Jun 2017

RAMADHAN: ANTARA KEBERKATAN DAN MALAPETAKA

Beberapa hari sebelum Ramadhan tiba dengan sinar lestarinya, satu imejan seorang sosok politikus agamawan berserta pesan-pesan Ramadhannya tersebar meluas di alam aplikasi Whatsapp. Entahkan benar, entahkan tidak pesanan qudus itu datang dari mulut tuan badan sendiri. Tetapi mesejnya lebih penting untuk diteliti.

Pesan politikus agamawan terkenal itu berbunyi begini,
“Kalau nak beli di Bazar, jangan tengok apa yang dia jual, tetapi tengok siapa yang menjual. Jangan beli dari tangan-tangan yang tak takut pada Allah. Jangan beli dari tangan yang tak tutup aurat. Jangan beli dari tangan-tangan yang tak solat. 12 jam kita berlapar, akhirnya kita berbuka dari makanan orang yang tidak taat pada Allah”.

Seperti layanan sistem dunia yang tidak adil; Negara yang mencurangi rakyatnya, tingkatan hieraki penguasa yang menjahanamkan sistem sosial, undang-undang yang menyebelahi kelas atasan, insititusi agama yang mengapungkan pesan-pesan tuhan berbau literal semata tanpa membumikannya– pesan agamawan itu juga sepertinya jelas berbunyi tempang dan tidak adil.

Ada kemungkinan imejan berserta pesan yang tersebar meluas itu mengeksploitasi sosok politkus agamawan itu dengan menggunakan mukanya, namun, tanpa imejnya sekalipun, pesanan agama itu sendiri memiliki kuasa mempengaruhi masyarakat.

Mengapa sikap paranoid semakin menjadi-jadi ketika Ramadhan tiba, sedangkan jika benar proses konsumsi antara si puasa dan si peniaga yang tidak menutup auratnya dan tidak solat dianggap sebagai “tangan-tangan” yang tidak takut kepada tuhan menjadi isu yang perlu diamalkan?

Soalanya, apa pula hukumnya membeli barang-barangan di luar bulan puasa dari manusia-manusia yang tidak menutup aurat? Bagaimana seorang pembeli dapat mengesahkan para peniaga itu cukup solatnya sebelum berlakunya transaksi pembelian? Andai pesannya bermaksud untuk mengelak dari bersekutu dengan peniaga yang tidak takut kepada Allah, hanya kerana dia tidak bertudung, memakai seluar pendek atau tudungnya tidak cukup mahal seperti tudung dagangan Neelofa atau Professor Dr. Muhay, bagaimana pula konsumsi sebahagian besar masyarakat terhadap barang-barangan yang diproduksi dari syarikat-syarikat yang mengeksploitasi tenaga buruh? Apa hukumnya membeli daging ayam yang mengalami penderaan dari awal proses menetas telur sehingga proses tumbesarannya yang bersandar pada kemikal,  lambakan sayur-sayuran di pasar yang berselut pestisid, para pekerja di ladang kopi yang terpanggang sinar terik mentari namun keuntungan besar hasil penjualan biji kopi yang berpihak kepada tuan majikan, para pekerja miskin di fabrik-fabrik pakaian dan sebagainya?

Kerana tidakkah jelas produk-produk itu dilihat “tidak takut kepada Allah” kerana tindakan pemilik produksi menindas pekerja dan hasil-hasil produksi yang dieksploitasi?

Jadi, bagaimana?
Mengapa pesan itu setiap kalinya Ramadhan berlangsung, setiap kali itulah ia bergema - dituju tepat kepada para peniaga kecil Bazar Ramadhan? Tidakkah masyarakat tahu, didalam kondisi sosial-ekonomi sekarang di mana atmosferanya kelam berasap kelabu, setiap unit masyarakat bersusah payah mencuba berdiri kukuh saat dirinya dipukul aturan hidup, dan salah satu cara untuk terus hidup mereka berbondong-bondong keluar berniaga?

Mengapa tidak ada pesan-pesan menentang keangkuhan industri-industri kapitalis? Mengapa pesan-pesan agama hanya berlingkar kepada soal aurat, solat-atau tidak peniaga kecil dan lebih teruk mereka-mereka ini (peniaga- peniaga kecil yang berpotensi besar tertiarap apabla dihembus ombak ekonomi yang berpihak kepada kaum pemodal yang lebih besar) dianggap sebagai tidak taat kepada tuhan!

Masyarakat perlu menjad lebih kritis dalam soal ini. Kita tidak menolak para peniaga di bazar Ramadhan selagi mana mereka berlaku jujur kepada hasil-hasil jualan mereka. Yang mesti ditolak ialah idea konsumerisme, budaya pasar yang menyerang lebih kuat selama Ramadhan muncul.

Situasi ini semestinya tidak terlepas dari perkembangan kapitalisme lanjut sebagai bentuk paling asasi di dalam sistem ekonomi kapitalis yang menempatkan proses membeli sebagai martabat paling teratas dalam aturan hidup kelas masyarakat.

Menjelang Ramadhan, masyarakat beragama Islam dilihat sebagai konsumer yang paling ideal untuk merancakkan keuntungan bisnis. Bisnis-perniagaan yang sedang kita bicarakan ini tidak tertumpu semata kepada penjualan ‘ayam percik’, ‘popiah’ di bazar Ramadhan malah kita sedang bicarakan produk-produk yang lantas dibalut relijius seperti hiburan ; drama-drama petang sebelum berbuka puasa yang bersangkutan dengan terma-terma agama, muzik-muzik yang sebelum ini berirama leleh cinta-patah hati pantas menukar iramanya kepada yang lebih dekat kepada tuhan bermatlamatkan bisnis. Tentu saja barangan seperti pakaian juga terkesan dengan lambakan ‘pakaian-pakaian suci’ ‘pakaian sunnah’ dijual di merata-rata.

Ramadhan, walau sakit untuk diakui ia adalah bulan bisnis. Bulan yang didera idea pasaran, demi sebuah keuntungan bisnis, sebuah komoditi yang rugi besar jika tidak dimanfaatkan.  Keberkatannya bukan lagi dirasai tentang pengalaman berpuasa dan kesan-kesannya kepada kondisi sosial-ekonomi dan politik, tetapi ia adalah satu festival. Dari awal jam bersahur sehingga laungan azan bergema di waktu senja, pergerakan proses konsumsi berjalan tanpa lelah demi satu permintaan kitaran sistem ekonomi.
Pelbagai bisnis dijalankan, dari produk yang dibeli untuk pemakaian diatas kepala, kain-kain yang membalut tubuh, lambakan makanan di bazar, makanan “sunnah” yang diimpot, tayangan-tayangan drama, ceramah-ceramah di media elektronik - kesemua ini satu keniscayaan bahawa puasa masyarakat itu seolah tidak cukup sempurna, sekiranya mereka tidak menjalankan ritual konsumsi.

Ini merupakan sebuah kenyataan. Masyarakat sudah digelapkkan matanya; membeli barangan yang tidak lagi sebagai keperluan tetapi diarahkan kepada satu penciptaan yang atifisial. Terima kasih kepada perkembangan kapitalisme global yang sudah lama melarut dalam lapangan bulan yang sepatutnya menjadi bulan resistensi kepada ketidakadilan yang berlaku.

Siapa pun tidak sedar bahawa kemajuan kapitalisme ini membuahkan kebrutalan selama ia membiak dalam struktur hidup masyarakat. Ia menempatkan kemanusiaan di bawah barang milik. Seperti yang dinyatakan Errich Fromm “ Benda tidak memiliki dirinya, dan manusia yang telah menjadi benda (merujuk kepada komoditi pada pasar tenaga pekerja) akan kehilangan dirinya ( ditulis didalam makalahnya he Sane Society).

Dan Fromm, walaupun seorang yang tidak pernah berbuasa disepanjang hidupnya barangkali lebih terkedepan dari masyarakat yang menganggap bulan Ramadhan sebagai bulan suci tetapi mereka rela melihat kesucian bulan ini dikontrol idea konsumerisme seehinggakan mereka ditinggal jauh pesan-pesan sosial, kepedulian, tanggungjawab sebagai seorang manusia kepada masyarakatnya.
Idea konsumerisme menyibukkan masyarakat dengan mengisi ‘kekosongan’ diri mereka. Mimpi-mimpi kebahagiaan, keberkatan dalam konteks bulan puasa ialah dengan menagalirkan laju not-not ringgit untuk ditukar kepada barangan-barangan berimejkan ‘sunnah’ dan ‘bertanda agama’.

Tentu sahaja, kita tidak melawan untuk tidak menikmati tahap hidup yang lebih tinggi atau memilik benda-benda material. Cuma idea konsumerisme (lagi-lagi di bulan puasa) dianggap sebagai satu penyimpangan disebabkan ketidaketikaan kapitalisme yang menciptakan ruang “alienasi” di kalangan masyarakat yang menghancurkan pemahaman individu akan identiti, marbabat dan peribadinya ( dirujuk daripada anarkis.org B.1.3 dalam bab Hieraki Nilai Macam Apa Yang Dibuat Kapitalisme)

Puasa ialah suatu aksi langsung – satu protes kepada kemewahan yag mengakibatkan sebahagian menikmati kekayaan dan sebahagian lain menikmati kemiskinan diatas platform sistem kehidupan yang berat sebelah, anti-solidariti dan anti-kemanusiaan. Puasa ialah proses kebersamaan, berpihak kepada kebenaran, meletakkan manusia di dalam satu baris yang sama.


Dan puasa bukan sekadar ritual bersahur dan kemudian berbuka, ianya relevan dengan kehidupan masyarakat global yang semakin kompleks dan ngeri, supaya dipedulikan dan diperjuangkan untuk melenyapkan ; peperangan, imperialisme, rasisme, kapitalisme, ketidakadilan ekonomi dan seribu satu macam keserabutan yang sedang melanda dunia.

Khamis, 18 Mei 2017

BUAH DADA IZARA AISHAH DAN 20 RIBU GRADUAN MENGANGGUR

"Kita tidak mahu membebaskan masyarakat. Kita mahu, masyarakatlah yang membebaskan diri mereka sendiri"-Errico Malatesta :, Anarkis & Pengorganisasian.

Isnin lepas, klip video berdurasi 18saat Izara Aishah, seorang aktress tempatan tersebar di seluruh pelusuk tanah air. 

Klip video itu memaparkan pakaian Izara yang menampakkan bahagian tepi buah dadanya (side boobs) ketika dia menghadiri sebuah acara menjadi tular sehingga mengundang keluh kesah masyarakat.

Masyarakat seperti ini yang berpegang teguh kepada prinsip mencegah kemungkaran tidak memerlukan masa yang lama untuk berdiskusi, berhujah balas, menyerang tindakan Izara dan mengingatkannya kepada adat resam dan praktis agama. Tidak kurang juga yang sempat mengkaji dan menganalisis struktur fisikal buah dada Izara meski berpandukan dari bahagian sisi bersumberkan klip video tersebut. 

Izara Aishah pantas mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada publik. Dia mengakui pakaiannya itu mengundang ketidakselesaan masyarakat dan peminatnya tetapi mengakui video itu ialah video lama. Kini, dia semakin matang dan sensitif dalam etika berpakaian. “Insya-Allah, suatu hari anda akan memaafkan saya” kata Izara.

Dan disebabkan permohonan maafnya, ketidaktentuan arah, hingar binger masyarakat semakin reda. Masyarakat pun kembali menyambung urusan harian mereka yang tertangguh semata-mata memenuhi tanggungjawab sosial "memperbetulkan" kesilapan Izara.

Inilah tugas masyarakat yang merdeka – mengambil peduli terhadap urusan pakaian dan aurat seorang actress. Sebenarnya masyarakat bersikap fetish -  mahu mendengar permohonan maaf instan dari mana-mana penyanyi dan pelakon yang melakukan kesilapan. Mereka, kemudian akan merasa lega dan tidak terganggu lagi. 

Pada 10 Mei 2017 yang lepas, Amran Ahmad menulis sebuah artikel di portal Malaysiakini bertajuk " Malaysia Maju : Siapa Makin Kaya Siapa Makin Miskin?.

Amran, di dalam artikelnya menyuarakan krisis ekonomi kelas pekerja hari ini, pengganguran kaum graduan, upah gaji kelas pekerja imigran dan jurang kelas antara kelas elit dan kelas pekerja yang semakin hari semakin meruncing.

Namun artikel serius begini hanya dikongsi seramai 2.2 ribu di ruangan Facebook dan hanya 106 komen dicatat di bahagian komen artikel. 

Begitu juga yang berlaku pada 28 April lepas apabila Berita Harian menyiarkan berita hutang isi rumah di Malaysia meningkat ke 89%. Peratusan ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara Asia tertinggi memiliki hutang isi rumah. Sebelum itu, Astro Awani pada 3 April melaporkan  “Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata sebanyak 80 peratus daripada hutang isi rumah diambil daripada sistem perbankan dan 20 peratus daripada institusi kewangan bukan perbankan

Astro Awani dalam laporannya yang sama menyambung "Lebih separuh daripada hutang isi rumah ini adalah untuk tujuan pembelian hartanah dan kenderaan, manakala pinjaman peribadi merangkumi 15 peratus dan kad kredit sekitar 3.5 peratus,".

Seperti kelazimannya, para Menteri cerdik pandai akan mencadangkan idea-idea avant-garde, melangkaui zaman dan berpesan-pesan kepada masyarakat supaya tidak berbelanja benda-benda yang tidak perlu dan membazir seperti yang ditulis dalam laporan Astro Awani,
"Beliau (merujuk kepada Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta Menteri Kewangan menyatakan nisbah hutang isi rumah berbanding dengan KDNK untuk tempoh lima tahun dan langkah yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan tabiat pengguna yang suka meminjam untuk tujuan bukan keperluan"

Berita-berita dan laporan berkenaan ekonomi dan kelas pekerja jarang-jarang menyerap ke dalam sensitiviti masyarakat kita yang teguh berprinsip mencegah kemungkaran.

Seperti yang Amran tuliskan,seramai 20,000 graduan universiti tidak mendapat peluang pekerjaan. Amran terus menyambung dengan mengambil data dari  laporan Jabatan Perangkaan, jumlah pekerja di Malaysia setakat bulan Oktober 2016 berjumlah 14.77 juta orang dengan majoritinya merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah.

Soalannya di sini ialah,

1.            Mengapa golongan mahasiswa yang berpenat lelah menghabiskan tesis di kelas dan terkongkong di dalam autoriti Universiti kini tidak bekerja? Dan 20,000 graduan yang menganggur itu, jurusan apakah yang mereka ambil sehinggasekarang mereka masih terkial-kial mencari pekerjaan?

2.            Jika jumlah graduan yang memiliki sekeping ijazah pun dibayar upah secara purata RM2,200 sebulan, berapa pula upah gaji majikan sediakan kepada majoriti kelas pekerja (14.77 juta orang)  yang cuma memiliki SPM dan kebawah? Adakah upah sebanyak RM2,200 ini mencukupi memandangkan hutang isi rumah di Malaysia antara yang tertinggi di Asia? Dan jikalau cukup, mengapa 80% hutang isi rumah berkaitan pembiayaan di sector perbankan? Tidakkah Menteri kita sudah berpesan ; jangan berhutang benda yang bukan-bukan dan tidak perlu?

3.            Mengapa begitu ramai yang hanya berkelayakan SPM dan ke bawah? Adakah anak-anak merasa tidak enak kepada Pendidikan lanjut? Atau Pendidikan itu adalah sejenis kasta? Siapa berduit, silakan, siapa yang tidak, baik lupakan?

Oh, jangan lalai, majikan dari kalangan syarikat korporasi besar yang menikmati jumlah kekayaan lebih dari jumlah pendapat kelas 99% (kelas pekerja) lebih berminat dengan pengambilan pekerja imigran kerana kos upah gaji yang jauh lebih murah dan dengan itu mereka tidak ghairah untuk menggajikan pekerja lokal. 

Hasilnya, konflik berlaku. Kesengsaraan tetap dirasakan kelas masyarakat biasa. Pekerja tempatan sukar mendapat kerja atau sekiranya bekerja pun diberi upah murah manakala pekerja imigran mendapat upah kecil tetapi tahap kondisi pekerjaannya teruk. Kedua-duanya teraniya dengan polisi dan kehendak majikan.

Matematik mudahnya; produksi mesti besar kosnya mesti minimal. Ini adalah formula supaya kelas korporat akan terus menghinggapi kehidupan mewah, pekerja, mahasiswa menganggur terus tersepit.





Masyarakat tidak perlu merasa hairan jika mendapat tahu seorang graduan Universiti yang memiliki ijazah dalam jurusan Geografi, mendapat keputusan akhir CGPA 3.58 ,berpengalaman dalam penyelidikan berkaitan jurusannya sanggup bekerja sebagai pekerja kontrak di syarikat "outsourcing" kerana tidak memiliki peluang yang sewajarnya,  bergaji pokok sebanyak RM 1, 500 sebulan dan bekerja dari 9pagi - 6petang di hari bekerja, 9pagi -2petang pada hari minggu.


Kemana hasilnya pendidikan, di saat anak-anak dikejarkan ke sekolah, disaring melalui peperiksaan dan kemudian memanjat tangga-tangga kuliah menyediakan tesis-tesis mendebarkan dan di akhirnya selepas bergambar di hari graduasi, dia tidak memiliki peluang mempraktis apa yang dia sudah pelajari sebaliknya bekerja kerana pengaruh ekonomi yang mencengkam? 

Bukankah pendidikan ini bermaksud untuk menyelesaikan masalah masyarakat? Bukankah ertian sebenar pendidikan ialah membina teknologi, mencipta kemajuan untuk memudahkan urusan harian masyarakat? Dan bukankah yang kita katakan sebagai pendidikan itu ialah produk melawan ketidakadilan, berani mendepani tirani, bercita-cita menumpaskan kemiskinan dan mencabar kaum elit penguasa yang menyusahkan?

Barangkali, yang perlu kita perbaiki, perbetulkan dan bereskan adalah cara-cara membangunkan pemikiran masyarakat sebelum kita berfikir strategi mengatur sistem baharu agar eksisnya dunia yang lebih baik kelak.

Tidakkah masyarakat harini yang diberkati dengan teknologi sedar bahawa bahagian tepi buah dada Izara Aisyah itu tidaklah menyakitkan dibandingkan dengan kerelevenan penderitaan ekonomi-sosial-politik yang mereka sama-sama tanggungi sekarang?

sumber
http://www.malaysiakini.com/news/381759
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/05/16/izara-video-maaf/
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelbagai-langkah-mengekang-pertumbuhan-hutang-isi-rumah-137843

http://www.bharian.com.my/node/148347