Rabu, 1 Februari 2017

BELETIAQ # 2

Amalan patriaki sering dikaitkan dengan dominasi satu gender ke atas gender lain; pastinya maksud disini ialah penguasaan laki laki ke atas wanita.
Dan tentu sekali apabila kita berbicara soal penguasaan kelas ia melibatkan kelebihan, "superior" yang diterima kelas yang mendominasi.
Patriaki, di satu bahagian memenangkan kaum lelaki dari segi ekonomi. Pekerja wanita tidak menerima upah yang sama hanya kerana perbezaan gender, atau juga pengkerahan terhadap wanita tetapi keuntungan terus licin masuk ke dalam poket sang lelaki.
Dalam hal rumah tangga, patriaki yang kita bincangkan di sini berlangsung dalam acara di mana perempuan; sebagai suri rumah berperanan total dalam mengurus hal rumah tangga tanpa penglibatan si laki-laki.
Bermula dari cuci kain-lipat kain-mandikan anak-masak memasak-mengemas rumah, sedangkan si laki-laki tenang terkangkang di hadapan tivi dengan bergaya sambil balas membalas mesej mesej di aplikasi Whatsapp.
Kerja rumah boleh dimaksudkan sebagai tempat produksi, wanita suri rumah sebagai pekerja, dan lelaki sebagai pemegang produksi yang mana keuntungan seperti makanan yang dihidang, baju seluar yang bersih setelah dicuci, urusan kebersihan rumah, urusan mengurus anak dimilikinya secara mudah.
Matematik mudahnya, segala kelebihan hasil dari mengurus rumah tangga diperoleh mudah laki-laki patriaki diatas kerja keras wanita suri rumah.
Di dalam budaya kita, amalan ini dianggap normal; laki-laki kerjanya mencari rezeki di luar, ada masanya dia perlu bersosial di kedai mamak bersama kawan-kawannya sehingga 2,3pagi demi tuntutan merendahkan tekanan kerja manakala si wanita suri rumah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerja rumah tangga. Amalan jurasik seperti ini masih dipandang munasabah dan tetap eksis meskipun masyarakat mencita citakan Iphone 7.
Di titik akhir, yang merasakan nikmat privilej "berumah tangga" ialah laki-laki patriaki, sedangkan urusan rumah tangga adalah urusan solidariti; lelaki dan perempuan memainkan peranan dan mengambil tempat menguruskan alat produksi (rumah tangga).
Suri rumah ialah satu pekerjaan,lebih besar ia adalah tanggungjawab yang dipikul tanpa upah. Namun kebanyakkan orang menganggap suri rumah kerjanya rileks-rileks kangkung, tak ada benda nak dibuat selain melayan sinetron pukul 3 petang.
Setiap suri rumah yang menentang patriaki sejenis ini adalah feminis, dan cita cita menghapuskan idea "seorang laki-laki tanggungjawabnya mencari nafkah zahir juga mendambakan perhubungan batin dan wajib dilayan seperti raja" merupakan cita-cita teragung.
Cita-cita ini mana mungkin jika kaum suri rumah sahaja yang merasakan pentingnya perubahan sikap. Kaum laki-laki yang anti penindasan juga mesti merobohkan amalan berat sebelah dalam rumah tangga.
Ada lelaki yang lagi feminis dari suri rumah feminis. Mereka adalah laki laki yang mengamal sikap bertoleransi, mengambil bahagian dalam menguruskan rumah tangga, yang tidak segan silu berkemban menjemur kain, membasuh pinggan mangkuk dan mencebuk berak anak.
Bayangkan feminis suri rumah bertemu feminis laki-laki dalam ruang kamar putih. Aduh, betapa bahagianya kehidupan bekeluarga, bukan?
Rumah tangga bukanlah sebuah drama yang selalu kita fahamkan- lelaki keluar bekerja-balik dan perlu dilayan. Atau apabila laki-laki mengambil alih rumah tangga si isteri pula lupa daratan.
Rumah tangga ialah siri-siri toleransi, hormat menghormati dan peluang untuk bersama sama memperbetul yang mana tidak sempurna.
Pernah kamu lihat lelaki di dapur memasak manakala suri hatinya bertukang kayu menyiapkan almari kecil meletak barang keperluan rumah?
Hah, itulah keluarga sakinah yang ustaz selalu sebut-sebutkan tu. Bukannya seperti gambaran si suami dengan tali pinggang si isteri pula redhakan saja demi imajinasi sebuah syurga.
*Catatan ringkas seorang laki-laki bertugas menjemur kain-melipat baju depan tv.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak