Sabtu, 31 Oktober 2009

harun harus buat keputusan

pagi ini 21hb, dingin dan ngilu. cuaca cerah dan langitnya biru. awan berkepul-kepul membentuk figura berkepala lembu.

harun, berbaju belang putih hijau, bersiap sedia mencari rezeki. hari ni, hari terakhir bekerja untuk minggu ni. tak sabar nak berfoya-foya esok hari.

jalan raya damansara lengang. sesuai sangat dengan cara pemanduan harun yang lesu. tangan harun lemah mengawal stereng kereta dek kerana mindanya mendap diselimuti selut mimpi semalam.

harun belok ke kanan dan masuk ke simpang kiri jalan. ah, tak semena mena dah tersangkut dalam kesesakan. tapi yang hairannya, semua pemandu kat situ semua keluar dari kereta. terhoyong hayang mereka menari di bibir jalan. pelik, sambil menari, perlahan lahan mereka berjalan meninggalkan kenderaan masing masing menuju ke hujung langit.

di hujung langit kelihatan bunga api yang tak henti henti meletus di udara. percikan warnanya menentang kecerahan sinaran mentari malah lampu neon masih lagi terang menerang terpasang.
harun lenguh, lalu dia keluar dari kereta dan berdiri di tengah tengah jalan yang sesak.

seorang pun tak pedulikan harun.
harun bingung kerana dia pasti hari ini sepatutnya hari bekerja. kenapa orang kat sini berpesta?sepatutnya esok lah. kalau benar sekalipun hari ini diumumkan sebagai hari cuti kenapa dia tak dimaklumkan?

manusia semakin bersesak sesak menuju ke hujung langit. bahu harun dirempuh. semakin sesak keadaan semakin harun tersepit.

mungkin ini masa yang sesuai bagi harun untuk membuat keputusan yang sematang boleh.
apa patut si harun turut berarak ke hujung langit bersama manusia-manusia tu, atau terus berjalan pulang untuk menyambung mimpinya yang di pertengahan jalan semalam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak