Ahad, 22 November 2009

cerita yang aku, engkau dan dia karang tentang seseorang makhluk kacukan..satu percubaan

baiklah, seperti yang kita persetujui, Kartika adalah nama yang terbaik untuk watak proantagonis yang jalan ceritanya berepik sesuai dengan profilnya yang prolifik.

aku cuma mahukan kartika ini digambarkan sebagai perempuan muda cantik berumur 24tahun, tinggi orangnya dan berdarah kacukan Inggeris-Melayu.
sudah tentu, takdir Kartika ini wujud sebagai pelajar kolej yang mengikuti jurusan media komunikasi yang dikenali bukan kerana pencapaian akademiknya tetapi kerana atas namanya sendiri; iaitu, Kartika.
dan aku sememangnya faham, agak tipikal bagi sebuah cerita melayu yang selalu mengagungkan seseorang yang berdarah kacukan dan ayat-ayat seperti ini:
a)Kartika seorang yang famous di kolej
b)Kartika sering diperhati kerana kecantikannya
c)Biasalah bila dah cantik, mesti kaya dan hanya bertemankan sahabat yang sama darjatnya sahaja
: sudah biasa didengari.

dan engkau datang dengan satu idea yang bagus untuk mengembangkan plot cerita Kartika ini. engkau menggunakan laluan pintas untuk membawa Kartika ke destinasi yang lain.
engkau kata, satu hari Kartika diberitahu oleh salah seorang rakannya di Hotel J.W Marriot akan berlangsungnya satu pertandingan pencarian model yang dianjurkan oleh salah satu produk kecantikan terkemuka di dunia.
dan berkat dorongan dan sokongan 'daddy & mommy' serta teman-teman, Kartika mendaftarkan diri dalam pertandingan itu dengan penuh semangat dan azam.
sekali lagi engkau permudahkan jalan Kartika dan dia dimahkotakan sebagai pemenang pertandingan pencarian model itu. Hadiah adalah seperti berikut:
a) jurucakap/duta produk
b)hadiah wang tunai rm15ribu
c) tiket pelancongan ke Eropah.

aku mengangguk setuju dan bersyukur. mungkin dengan kejayaan ini Kartika dapat menjamin masa depannya nanti. tak sempat engkau menyambung, dia mencelah dan berpendapat adalah lebih baik jika Kartika berhenti atau 'berehat' seketika dari pelajarannya kerana terpaksa menumpukan kepada karier barunya.
dan Kartika berjanji pada media yang menemu ramahnya yang dia akan menyambung pelajarannya nanti bila semuanya sudah selesai.

dia cuba meyakinkan aku dan engkau tentang kehidupan baru Kartika yang mula sibuk. teman-teman berbangga dan mula mempersoalkan kenapa ibu atau ayah mereka tak kahwin dengan lelaki/perempuan mat saleh . isunya kenapa tidak mengalirkan darah kacukan dalam tubuh mereka?

dia menyambung lagi- platform seorang model adalah untuk mempromosikan produk dan kadang kala harus pergi ke merata benua untuk tujuan itu.
Kartika wujud di atas peluang itu. dan jelas dia punya masa untuk mempromosi negara dan kaumnya sendiri. tapi apa yang selalu dipromosikan oleh Kartika hanyalah roti canai, nasi lemak kedai mamak 24jam dan adalah sekali sekala dia bercakap tentang adab ketimuran yang dia sendiri tak mendalami.

pada saat ini aku mahu cerita Kartika dikembangkan dengan perkhabaran perkahwinan Kartika. lalu aku tempatkan hati Kartika ke dalam hati seorang yang bernama Samuel (kacukan Belanda/Singh). Samuel merupakan seorang pengarah besar di salah saru syarikat korporat.

Samuel memeluk Islam dan mengahwini Kartika dalam satu majlis perkahwinan yang mega.
Engkau tak mahu fokus pada majlis itu tapi engkau mahu cerita ini dihiasi dengan kecantikan di mana sebulan selepas perkahwinan Samuel-Kartika adalah bulan ramadhan.

dia mencelah lagi mengatakan media sering bertanyakan tentang kehidupan Kartika dan suami di bulan ramadhan. Kartika sering menceritakan dia dan suami bahagia sangat dan mereka menyambut bulan puasa tahun ini dengan sederhana.
Kartika gemar keluar dengan suami ke bazar ramadhan untuk membeli makanan untuk berbuka tetapi mereka tidak gemar bangun sahur.kata Kartika, suami penat dan dia tak selesa bangun untuk makan.
mereka juga kerap mendapat jemputan ke hotel-hotel untuk berbuka puasa. tahun ini Kartika dan suami mahu beli warna baju melayu/kurung yang sama. baru sedondon!

cuma, dia kata Kartika tak pula sebut dia dan suami pergi ke surau untuk sembahyang tarawikh bersama-sama, paling tidak pun berjemaah bersama-sama di rumah.
aku tanya dia kenapa dia tak mahu selitkan cerita yang macam itu?
dia kata, entah..tak perlu kot..
engkau pula kata dah malas nak sambung cerita lagi..
emm, aku pun rasa macam dah malas. rasa macam dah ketandusan idea. tetapi aku merasakan cerita ini patut habis di situ dan membuatkan orang yang membaca cerita Karika ini bertanya kenapa dah habis atau kenapa cerita macam tergantung atau lagi bagus kalau orang itu kata cerita ini tak logik.
aku rasa memang patut aku titikkan satu noktah saja di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak