Sabtu, 7 Julai 2012

SEINDAH PETANG COFFEE & AIR SUAM (kredit title buat eifa capricano)

Di tengah tengah huru hara dunia, ada seorang perempuan muda yang tinggi, berkulit hitam manis, kacukan melayu-pakistan sedang berdiri menghembus puisi-puisi spontan yang atmosferik.
Puisi-puisinya lembut bergelumbang bersama suasana petang yang bising dengan ambien huru hara dunia. Namun ada di celah-celah puisi perempuan muda itu bernada  keras, diucapkannya sekali sekala. Mungkin, ia merujuk kepada emosi perempuan muda pada ketika itu.
Dan setiap kali, puisinya tamat, dia akan mengucapkan terima kasih, seterusnya menghembus puisi yang lain pula.
Untuk siapa ucapan terima kasih itu? Entah! Tiada seorang pun yang lalu lalang di hadapan perempuan muda itu berhenti mendengar hembusan puisinya, jauh sekali hendak menepuk tangan!
Cuma, ada dua kelibat manusia sahaja yang menonton sesi percuma hembusan puisi-puisi perempuan muda tu, iaitu John Bennet & Pari-pari Polka Dot.
Mereka asyik menghayati puisi perempuan muda itu sambil minum petang.Coffee pekat buat sang Pari-pari Polka Dot, hanya air suam buat John Bennet.
Dia tak boleh minum air lain, batuknya sudah berbulan-bulan tak sembuh. Lagipun, nanti  Pari-pari Polka Dot marah kalau kalau dia tahu  John Bennet minum air lain selain air suam.
Di ambang senja, perempuan muda itu sudah lelah. Dia berhenti berpuisi. Mukanya berminyak, nampak benar dia keletihan. Dan dia kemudian berjalan menuju ke arah John Bennet & Pari-pari Polka Dot. Lalu dia mengeluarkan 2 biji keychain dari kocek jeansnya dan memberi kepada John Bennet & Pari-pari Polka Dot. 
Terima Kasih kerana setia mendengar, jupa lagi.
Perempuan muda tadi terus berlalu pergi bersama awan merah hati. Ditinggalnya sekabus puisi yang berkepul kepul di lorong Binjai ini, membuatkan suasana indah bagi John Bennet & Pari-pari Polka Dot tapi cukup bising bagi manusia yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak