Isnin, 14 November 2016

MENYOAL PERBANKAN BERJUBAH PUTIH

Sebenarnya, setiap dari kita sememangnya tertanya tanya apakah pilihan yang kita ambil dengan meninggalkan perbankan konvensional dan beralih kepada servis perbankan islam adalah pilihan yang diredhai.?

Mahu atau tidak, melalui pengalaman sendiri, kita juga sering tertanya-tanya dimana perbezaan antara perbankan konvensional dan perbankan islam? Ada riba ke tidak? Kalau terlewat membuat bayaran apakah bank akan mengenakan caj? Bagaimana pula dengan bayaran ansuran bulanan-lebih mahal atau lebih murah dari perbankan konvensional?

Namun setiap kali  persoalan persoalan begini menghantui dan merusuh, kita damaikan rempuhan persoalan dengan keimanan kita kepada kewajipan mematuhi ketetapan ahli panel syariah ;  apa sahaja bentuk yang melibatkan suruhan / larangan agama acuan mereka, kita turutkan meski keimanan sejenis itu tersangatlah naif dan rapuh.

Lalu,  pertanyaan pertanyaan itu akhirnya ditinggalkan,  diperam bertahun lamanya sehingga menjadi jeruk masam yang tiada berguna lagi.

Melalui hujah Tariq Ramadhan, cucu kepada pengasas Hizbul Muslimin, Imam Hassan al Banna, kita mungkin merasa terkejut, terpana dengan analisa beliau yang jauh sekali bertentangan dengan kebanyakkan golongan ustaz ustazah, agamawan, mufti dan ahli panel syariaah di sini.

Dalam bukunya, Radical Reform, Prof. Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya.

Menurutnya tidak ada sama sekali apa yang dinamakan sebagai Islamic Economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam.

Bagi beliau, Islamic Eonomy tidak pernah wujud namun yang mesti ditekankan ialah nilai etika Islam dalam ekonomi. “There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of the economy”.

Ia mungkin soal pengislahan, tetapi yang hendak ditekankan apakah faedahnya meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariaat Islam itu sendiri. Jika dinamakan perbankan islam tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak beragama Islam, hanya sekadar istilah arab dah syariaah saja yang dipentingkan, apalah maknanya? (Minda Tajdid, Januari 9, 2014).

Jika bagi Tariq tiada istilah islamik dalam ekonomi, maka ia adalah penanda kepada tiadanya istilah islamik dalam industri perbankan. 

Pertama tama kali, mengapa perlunya membangunkan satu sistem yang menindas dalam acuan relijius semata mata untuk meneruskan keseinambungan sistem itu sendiri?

Mengislamkan sektor perbankan adalah satu cara mengalih perhatian terutama sekali individu beragama untuk menyambung tradisi penggantungan masyarakat kepada  kepada institusi perbankan. Ia mempelbagaikan pilihan, walaubagaimanapun jelas, perbankan islam bukanlah alternatif tulen.

Perbankan islam sama sekali tidak menjadi solusi, ia nyata meneruskan acara memeras kelas masyarakat, lagi-lagi dalam keadaan ekonomi yang tercipta dari pendominasian kelas elit. Ia bukanlah aras tanda kepada pembebasan masyarakat dari fasisme ekonomi, malah lebih tragis, ianya merupakan satu lagi  produk beragam anjuran kapitalisma.

Secara asas, tanpa merujuk kepada detail mekanisme yang diaplikasi perbankan islam, dari mana sebenarnya datangnya sumber keuntungan buat mereka?

Riba atau caj tersurat mahupun tersirat dilarang sama sekali oleh mana mana agama , malah dari konteks kemanusiaan, ia adalah bentuk manipulasi, penipuan dan satu bentuk penzaliman dalam urusan hutang-piutang.
Konvensional bank tanpa malu-malu menjelaskan sumber keuntungan datang dari caj lewat bayar, kadar faedah serta beratus jenis urusniaga yang dikenakan kepada pelanggan yang melanggani produk bank.
Lalu bagaimana caranya perbankan islam mendapatkan keuntungan sekiranya mereka benar-benar keras menyatakan produk mereka bebas dari riba?

Di dalam perbankan islam istilah caj lewat bayar tidak wujud. Namun, adanya satu terma sebagai penggantian kepada caj lewat bayar yang dinamakan sebagai caj tadwidh.

Tujuannya ialah untuk mendisiplinkan pelanggan supaya mereka tidak melewatkan pembayaran dan melindungi hak-hak bank dari kerugian.

Melihatkan tujuan begitu, bukankah ia bersanggah dengan anjuran kitab quran, surah ali imran ayat ke 130 yang bermaksud "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah" (Riba disini merujuk kepada riba nasi'ah. Menurut sebahagian besar ulama', riba nasi'ah itu selamanya haram walaupun tidak berlipat kali ganda). 

Mengambil sesuatu yang berlebihan dari amaun pinjaman asal adalah bersifat menindas, tidak bermoral dan memperhambakan si penghutang.

Sungguh lucu apabila perbankan islam menghalalkan riba dengan penukaran terma kepada bahasa arab. Namanya sahaja berbeza, fungsinya kekal sama.

Nilai caj tadwih itu sendiri ditetapkan (dalam lingkungan satu peratus dari jumlah baki pinjaman) selepas mendapat restu  panel syariah dan "board member" (baca: golongan elit) yang katanya berpegang teguh kepada isi kandungan quran dan sunnah.

Jadinya, di mana sebenarnya kadar nilai  mendisiplinkan penghutang dinyatakan dalam kitab suci quran? Di mana bezanya antara bank konvensional dan bank yang mempraktis "patuh syariaah" apabila berdepan dengan situasi apabila penghutang terlewatkan pembayaran?

Memang benar, menurut praktis "syariaah compliance", kadar caj lewat bayar atau nilai gharrah akan diasingkan. Maksudnya, caj tersebut itu samada disalur kepada urusan kebajikan atau digunakan untuk membayar servis legal.
Namun kembali kepada asal persoalannya, apakah caj tambahan ini adil? Bukankah ini juga dimaksudkan sebagai riba - penambahan nilai dalam amaun asal pinjaman?

Seorang individu yang meminjam sejumlah wang daripada pihak bank (pinjaman rumah/kenderaan atau pinjaman peribadi) tidak mungkin akan membayar semula amaun asal yang dipinjam. Sebaliknya, dalam tempoh maksimum bayaran, bank sudah mengumpul keuntungan. Bagi konvensional, nilai pembayaran semula tidak dinyatakan jelas, manakala bagi perbankan islam, nilai akhirannya jelas dinyatakan dari pihak bank kepada pelanggannya awal-awal lagi.

Walaupun begitu, kedua duanya tetap sama - penghutang membayar lebih dari jumlah pinjaman (tanpa mengira caj-caj ekstra sepanjang tempoh pembiayaan) . Nyatalah, ini bukan soal membantu urusan hutang-piutang ummah. 

Ini adalah bisnes!

Mana-mana bank, konvensional mahupun islamik menganuti akidah dan berkongsi kiblat yang sama ;  melipatkaligandakan keuntungan laba. Apa yang lebih utama bagi institusi perbankan ialah keuntungan, sentiasa dipelihara dan dipertahankan oleh undang-undang juga menanggung risiko seminimal boleh.

Penjelasan perbankan islam mengenakan caj lewat bayar bertujuan melindungi hak bank adalah satu penjelasan yang bermotif laba.

Tidak ada satupun bank rela menerima risiko maka dengan itu terciptalah polisi-polisi mempertahankan aktiviti bank yang sah di sisi legal. Bank, mahupun perbankan islam akan sentiasa memastikan yang menanggung risiko paling besar bukan dirinya tetapi para pelanggan.

Di dalam dunia yang diselaputi kapital, masyarakat dirantai tangannya untuk menghambakan diri kepada institusi bank. Kerana tiadanya kontrol total dari pemerintah dan langkah-langkah pembaikan dalam urusan ekonomi, bank adalah jawapan terbaik buat masyarakat untuk melengkapi urusan keperluan kehidupan.

Pada tahun 2014, Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) melaporkan seramai 60 orang rakyat Malaysia dalam kalangan pemuda berusia 33-40 tahun muflis setiap hati. Lima faktor yang mengakibatkan muflis ialah sewa beli kenderaan (26.41%), pinjaman perumahan (17.6%), pinjaman peribadi (15.5%), pinjaman perniagaan (12.39%) dan hutang kad kredit (4.18%). 

Manakala statistik Mdl sejak tahun 2007 membuktikan aliran peningkatan individu muflis daripada jumlah 13,238 (2007), 13,855 (2008), 16,228 (2009), 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 (2012) dan 21,987 (2013) dengan keseluruhan kes bangkrap bagi tempoh itu mencecah 134,550 orang.

Dari laporan Mdl, apakah kita yakin perbankan islam dapat menyelamatkan anak-anak muda Malaysia dari kebangkrapan? Adakah perbankan islam jawapan kepada persoalan ekonomi yang menghimpit?

Kerana bank tetap sebah bank.
Ia adalah kalimat yang tidak perlukan penjelasan detail, sudah cukup ia menjelaskan definasi fugsi perbankan.. Konvensional mahupun islamik, masing-masing dengan tujuan yang sama, masing-masing bersaing membesarkan skala keuntungan dan masing-masing wujud kerana pola sosio-ekonomi yang dibentuk kaum kapitalis.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak