"Kita tidak
mahu membebaskan masyarakat. Kita mahu, masyarakatlah yang membebaskan diri
mereka sendiri"-Errico Malatesta :, Anarkis & Pengorganisasian.
Isnin lepas, klip video berdurasi 18saat Izara Aishah, seorang aktress
tempatan tersebar di seluruh pelusuk tanah air.
Klip video itu memaparkan pakaian Izara yang menampakkan bahagian tepi
buah dadanya (side boobs) ketika dia menghadiri sebuah acara menjadi tular
sehingga mengundang keluh kesah masyarakat.
Masyarakat seperti ini yang berpegang teguh kepada prinsip mencegah
kemungkaran tidak memerlukan masa yang lama untuk berdiskusi, berhujah balas,
menyerang tindakan Izara dan mengingatkannya kepada adat resam dan praktis
agama. Tidak kurang juga yang sempat mengkaji dan menganalisis struktur fisikal
buah dada Izara meski berpandukan dari bahagian sisi bersumberkan klip video
tersebut.
Izara Aishah pantas
mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada publik. Dia mengakui pakaiannya itu
mengundang ketidakselesaan masyarakat dan peminatnya tetapi mengakui video itu
ialah video lama. Kini, dia semakin matang dan sensitif dalam etika
berpakaian. “Insya-Allah, suatu hari anda akan memaafkan saya” kata Izara.
Dan disebabkan permohonan maafnya, ketidaktentuan arah, hingar binger
masyarakat semakin reda. Masyarakat pun kembali menyambung urusan harian mereka
yang tertangguh semata-mata memenuhi tanggungjawab sosial
"memperbetulkan" kesilapan Izara.
Inilah tugas masyarakat yang merdeka – mengambil peduli terhadap urusan
pakaian dan aurat seorang actress. Sebenarnya masyarakat bersikap fetish
- mahu mendengar permohonan maaf instan dari mana-mana penyanyi dan
pelakon yang melakukan kesilapan. Mereka, kemudian akan merasa lega dan tidak
terganggu lagi.
Pada 10 Mei 2017 yang lepas, Amran Ahmad menulis sebuah artikel di
portal Malaysiakini bertajuk " Malaysia Maju : Siapa Makin Kaya Siapa
Makin Miskin?.
Amran, di dalam artikelnya menyuarakan krisis ekonomi kelas pekerja hari
ini, pengganguran kaum graduan, upah gaji kelas pekerja imigran dan jurang
kelas antara kelas elit dan kelas pekerja yang semakin hari semakin meruncing.
Namun artikel serius begini hanya dikongsi seramai 2.2 ribu di ruangan
Facebook dan hanya 106 komen dicatat di bahagian komen artikel.
Begitu juga yang berlaku pada 28 April lepas apabila Berita Harian
menyiarkan berita hutang isi rumah di Malaysia meningkat ke 89%. Peratusan ini
meletakkan Malaysia sebagai antara negara Asia tertinggi memiliki hutang isi
rumah. Sebelum itu, Astro Awani pada 3 April melaporkan “Dalam
jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata sebanyak 80
peratus daripada hutang isi rumah diambil daripada sistem perbankan dan 20
peratus daripada institusi kewangan bukan perbankan
Astro Awani dalam laporannya yang sama menyambung "Lebih separuh
daripada hutang isi rumah ini adalah untuk tujuan pembelian hartanah dan
kenderaan, manakala pinjaman peribadi merangkumi 15 peratus dan kad kredit
sekitar 3.5 peratus,".
Seperti kelazimannya, para Menteri cerdik pandai akan mencadangkan
idea-idea avant-garde, melangkaui zaman dan berpesan-pesan kepada
masyarakat supaya tidak berbelanja benda-benda yang tidak perlu dan membazir
seperti yang ditulis dalam laporan Astro Awani,
"Beliau (merujuk kepada Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta
Menteri Kewangan menyatakan nisbah hutang isi rumah berbanding dengan KDNK
untuk tempoh lima tahun dan langkah yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan
tabiat pengguna yang suka meminjam untuk tujuan bukan keperluan"
Berita-berita dan laporan berkenaan ekonomi dan kelas pekerja
jarang-jarang menyerap ke dalam sensitiviti masyarakat kita yang teguh
berprinsip mencegah kemungkaran.
Seperti yang Amran tuliskan,seramai 20,000 graduan universiti tidak
mendapat peluang pekerjaan. Amran terus menyambung dengan mengambil data dari
laporan Jabatan Perangkaan, jumlah pekerja di Malaysia setakat bulan
Oktober 2016 berjumlah 14.77 juta orang dengan majoritinya merupakan lepasan
Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah.
Soalannya di sini ialah,
1. Mengapa golongan
mahasiswa yang berpenat lelah menghabiskan tesis di kelas dan terkongkong di
dalam autoriti Universiti kini tidak bekerja? Dan 20,000 graduan yang
menganggur itu, jurusan apakah yang mereka ambil sehinggasekarang mereka masih
terkial-kial mencari pekerjaan?
2. Jika jumlah graduan
yang memiliki sekeping ijazah pun dibayar upah secara purata RM2,200 sebulan,
berapa pula upah gaji majikan sediakan kepada majoriti kelas pekerja (14.77
juta orang) yang cuma memiliki SPM dan kebawah? Adakah upah sebanyak
RM2,200 ini mencukupi memandangkan hutang isi rumah di Malaysia antara yang
tertinggi di Asia? Dan jikalau cukup, mengapa 80% hutang isi rumah berkaitan
pembiayaan di sector perbankan? Tidakkah Menteri kita sudah berpesan ; jangan berhutang
benda yang bukan-bukan dan tidak perlu?
3. Mengapa begitu
ramai yang hanya berkelayakan SPM dan ke bawah? Adakah anak-anak merasa tidak
enak kepada Pendidikan lanjut? Atau Pendidikan itu adalah sejenis kasta? Siapa
berduit, silakan, siapa yang tidak, baik lupakan?
Oh, jangan lalai, majikan dari kalangan syarikat korporasi besar yang
menikmati jumlah kekayaan lebih dari jumlah pendapat kelas 99% (kelas pekerja)
lebih berminat dengan pengambilan pekerja imigran kerana kos upah gaji yang
jauh lebih murah dan dengan itu mereka tidak ghairah untuk menggajikan pekerja
lokal.
Hasilnya, konflik berlaku. Kesengsaraan tetap dirasakan kelas masyarakat
biasa. Pekerja tempatan sukar mendapat kerja atau sekiranya bekerja pun diberi
upah murah manakala pekerja imigran mendapat upah kecil tetapi tahap kondisi
pekerjaannya teruk. Kedua-duanya teraniya dengan polisi dan kehendak
majikan.
Matematik mudahnya; produksi mesti besar kosnya mesti minimal. Ini
adalah formula supaya kelas korporat akan terus menghinggapi kehidupan mewah,
pekerja, mahasiswa menganggur terus tersepit.
Masyarakat tidak perlu merasa hairan jika mendapat tahu seorang graduan
Universiti yang memiliki ijazah dalam jurusan Geografi, mendapat keputusan
akhir CGPA 3.58 ,berpengalaman dalam penyelidikan berkaitan jurusannya sanggup
bekerja sebagai pekerja kontrak di syarikat "outsourcing" kerana
tidak memiliki peluang yang sewajarnya, bergaji pokok sebanyak RM 1, 500
sebulan dan bekerja dari 9pagi - 6petang di hari bekerja, 9pagi -2petang pada
hari minggu.
Kemana hasilnya pendidikan, di saat anak-anak dikejarkan ke sekolah,
disaring melalui peperiksaan dan kemudian memanjat tangga-tangga kuliah
menyediakan tesis-tesis mendebarkan dan di akhirnya selepas bergambar di hari
graduasi, dia tidak memiliki peluang mempraktis apa yang dia sudah pelajari
sebaliknya bekerja kerana pengaruh ekonomi yang mencengkam?
Bukankah pendidikan ini bermaksud untuk menyelesaikan masalah
masyarakat? Bukankah ertian sebenar pendidikan ialah membina teknologi,
mencipta kemajuan untuk memudahkan urusan harian masyarakat? Dan bukankah yang
kita katakan sebagai pendidikan itu ialah produk melawan ketidakadilan, berani
mendepani tirani, bercita-cita menumpaskan kemiskinan dan mencabar kaum elit
penguasa yang menyusahkan?
Barangkali, yang perlu kita perbaiki, perbetulkan dan bereskan adalah
cara-cara membangunkan pemikiran masyarakat sebelum kita berfikir strategi
mengatur sistem baharu agar eksisnya dunia yang lebih baik kelak.
Tidakkah masyarakat harini yang diberkati dengan teknologi sedar bahawa
bahagian tepi buah dada Izara Aisyah itu tidaklah menyakitkan dibandingkan
dengan kerelevenan penderitaan ekonomi-sosial-politik yang mereka sama-sama
tanggungi sekarang?
sumber
http://www.malaysiakini.com/news/381759
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/05/16/izara-video-maaf/
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelbagai-langkah-mengekang-pertumbuhan-hutang-isi-rumah-137843
http://www.bharian.com.my/node/148347
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak