Selasa, 3 Disember 2013

DOA BUAT SULTAN

Pejabat aku di Jalan Ampang berhampiran dengan Tabung Haji dan Masjid As-Syakirin, KLCC. Tiada masalah bagi lelaki muslim yang berkerja di kawasan Jalan Ampang untuk bersama-sama mengerjakan solat jumaat. Isteri aku kata, di tingkat 2 Menara Kembar KLCC ada surau yang digunakan untuk solat Jumaat. Ini menunjukkan ramai lelaki muslim di kawasan itu dan kemudahan di berikan dengan baik untuk menampung jumah jemaah yang sememangnya ramai.

Aku dari sejak mula bekerja di sini, sekitar tahun 2007 selalu mengunjungi Tabung Haji untuk solat Jumaat. Sebelum tu, perut kena isi dulu bersama rakan-rakan pejabat yang lain di bangunan PNB yang sangat dekat dengan Tabung Haji.Di situ ada food court.  Sekali sekala, kami makan di depan Tabung Haji, ada ramai penjaja yang menjual makanan. Jadi, tiada masalah bab makan. Masalahnya, bila perut kenyang, mata jadi  kuyu dan terhangguk hangguk  bila dengar khutbah jumaat. Macam mana nak dapat pahala jumaat kalau perangai macam tu?

Sejak akhir ni, aku mengambil tindakan drastik untuk solat jumaat di Masjid India, Kuala Lumpur. Khutbah di situ berbahasa tamil. Aku tak bercakap dalam bahasa tamil jauh sekali nak memahaminya. Jadi apa yang menariknya?
Aku dapati, kebanyakkan khutbah lewat ini semakin melampau. Tersasar jauh dari matlamat, dan tersesat dalam teks-teks yang di bikin pejabat agama.  Khatib tidak segan silu membaca teks khutbah yang berat sebelah tanpa rasa bersalah seolah-olah memang tujuannya menggelapkan minda para jemaah.

Dan yang paling aku rasa tak relevan ketika mendengar khutbah adalah doa buat sultan.  Kalau tidak mendoakan sultan pada hari jumaat, tidakkah rakyat malaysia khususnya jemaah jumaat sedar yang ia sedikitpun tidak mencacatkan rukun khutbah? Yang rukunnya ialah, mendoakan kesejahteraan muslim. Bukan dengan doa 'mengampu' Free Loader.

Bila mendengar khutbah-khutbah yang acuannya sebegini buat aku sedar yang mimbar suci itu telah digunakan untuk menjadi platform yang ampuh untuk mencandu jemaah.

Ketika Perdana Menteri mengumumkan pelannya untuk merombak semula ekonomi Bumiputera, ia disambut baik oleh pak khatib. Jarang-jarang sekali rasanya aku mendengar khutbah yang berkaitan ekonomi. Tetapi bila mendengar pak khatib dengan khusuknya mengdoktrin jemaah dengan bahasnya mengenai ekonomi, aku jadi hampa. Mana mungkin kekuatan ekonomi bumiputera menjurus kepada kekuatan Islam? Sila beri aku isi yang kuat di mana ekonomi bumiputera memberi kemenangan pada Islam? Tidakkah Islam menggariskan keadilan sebagai asas utama dalam pentadbirannya waima dalam urusan ekonomi? Apa orang selain bukan Islam tidak boleh bersaing dalam urusan ekononomi dengan sihat? Dan apa kaitan Islam dengan bumiputera? Kalau Ah Chong yang beragama Islam tetapi tidak berstatus bumiputera, adakah dia terkecuali dengan pelan Perdana Menteri kita?

Banyak sungguh persoalannya kan? Cuma pak khatib sahaja yang bingung, kerana modal pelan ekonomi bumiputera ini telah di jana sejak tahun 70an lagi, masih ekonomi bumiputera mundur, dan di sebabkan itu, sentimen bumiputera di mainkan lagi demi menarik minat melayu islam khususnya menyambut baik rancangan 'berulang-ulang' Perdana Menteri'. Rancangan yang semata-mata untuk memperkasa 'political survival' pemerintah. Period.

Satu lagi ingatan aku ketika duduk berikhtikaf dalam masjid dan mendengar khutbah ialah, berkenaan umat Islam di malaysia yang suka sangat berhutang dan membazir. Khutbah ini di bicarakan sehari , dua hari selepas berita tentang ketirisan empat kementerian dalam laporan audit negara.

Aku ingat pak khatib nak belasah empat kementerian tu. Tapi lain pulak jadinya. Pak Khatib tu menghentam rakyat pulak yang tak habis-habis berhutang dengan bank demi memenuhi nafsu untuk hidup mewah. Tidak pulak dia sentuh tentang apa yang dilaporkan dalam laporan Audit Negara. Maksud aku, di mana relevannya menyalahkan rakyat yang berhutang dengan 'dosa' yang di lakukan kementerian-kementerian yang membazir duit rakyat sesuka hati? Ketirisan mereka tidak dibicarakan sedangkan yang menanggung adalah sekalian rakyat. Dan sempat lagi, pak khatib di akhir khutbahnya mempromosi isu kalimah Allah sebagai modal utuk mempertahankan akidah. Tak ada 'critical minded' langsung! Sangat mengecewakan!

Inilah masalahnya.

Khutbah tidak lagi digunakan untuk memberi peringatan kepada muslim tentang urusan dengan Maha pencipta dan urusan sesama manusia. Khutbah bukan lagi satu masa yang diperuntukkan untuk memuhasabahkan diri, menyedari kesilapan, menyeru pada kebaikkan, mencintai kepada perpaduan  dan paling penting memberi teguran pada sesuatu isu yang terkait pada waktu-waktu terdekat.

Dari satu sisi yang lain, khutbah adalah method yang jelas untuk memperkasa ummah dan dari minggu ke minggu kekuatan ummah dipertingkatkan dengan peringatan, nasihat dan kritikan yang membina.

Bukan untuk memuji-muji pemerintah jauh sekali membakul sampahkan isu yang berkait rapat dengan ummah.
Teks-teks khutbah ditulis untuk menutup kesilapan pemerintah. Ditulis bagi memenangkan si pesalah dan menghukum yang ditindas.  Ditulis untuk mengampu yang berkuasa dan membebalkan yang diperintah.

Aku semakin pasti, semakin banyak khutbah semurah ini diperdengarkan, semakin cepat kita merasa geram dan suatu hari tidak keterlaluan jika aku katakan kitalah yang akan menjatuhkan mereka-mereka ini. Mereka-mereka yang segak bergaya dengan jubahnya, di bayar mahal pada setiap hujung bulan dan mereka-meraka yang sombong dengan jawatan yang disandang  iaitu, pegawai-pegawai agama yang berkiblatkan penguasa,elitis yang zalim.

Tulisan ini tidak mengkritik kewajipan khutbah pada hari jumaat. Tetapi ianya mempersoal intisari khutbah yang sudah jauh dipesongkan dari tujuannya. Siapalah aku untuk mengkritik syariat Allah, mengkritik Allah yang menciptakan aku, mengkritik Islam. Tulisan ini tidak lebih sebagai satu manifestasi yang lahir dari kegelisahan aku yang mendengar saban minggu kesongsangan khutbah yang istiqamah menipu jemaah.

Jadi apa signifikannya aku mendengar khutbah berbahasa tamil di masjid india?
Aku jawab soalan yang ditanya oleh salah seorang brader otai di pejabat , ' tak paham tak apa, janji tak ada doa untuk sultan!'




2 ulasan:

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak