Khamis, 19 Jun 2014

FENOMENA MAT DELAY a.k.a MAT PENYEGAN

"Of all the things i've lost,
I miss my mind the most"

Mark Twain

Sejak aku pulang dari backpacking 3 bulan lepas, hidup aku makin keliru. Bukan. Bukan keliru, tapi kelam kabut. Ada saja benda yang tak kena.  Dan ada saja yang membuatkan aku semakin mundur ke belakang dari sehari ke sehari. Entah, aku tak tahu sebab apa jadi macam ni.

Aku semakin penat. Malas untuk berbuat apa saja. Penyakit lembab dah menguasai lebih separuh dari hidup aku. Aku lebih suka bermalas malasan. Aku lebih gemar untuk menangguh nangguhkan kerja yang aku perlu siapkan. Bayangkan, nak ambik baju dan campak dalam mesin basuh pun aku boleh delay sampai 2 ke 3 jam. Itu belum lagi cerita balik kerja saja terus tidur. Selalu kalau balik kerja terus tidur ni, aku akan terjaga sekitar 3 pagi dan aku akan kemas rumah atau basuh baju atau mop lantai. Paling kurang, aku akan sapu sampah.

Ini tidak, bangkit dari tidur tengok jam dah pukul 6. Kepala otak semalam yang masih fikirkan hal kerja menjadi berganda ganda tepunya, lembab, lengai, mandom dan sebagainya.

Oleh kerana itu, tidak syak lagi aku sudah menjadi putera pemalas yang negatif disebabkan suasana sekarang yang bagi aku tersangatlah pasif. 

Hidup aku ni macam sudah didesain dalam sistem. Bangkit tidur, mandi, pergi kerja macam orang gila dan balik sambung tidur. 

Pernah tengok filim yes man, lakonan jim carry yang memainkan watak seorang lelaki sinis dan anti sosial? Watak yang dimainkan oleh jim carry bukan setakat bersikap sinis dan anti sosial, malah dia juga adalah lelaki yang menjengkelkan, pemalas dan paling tak boleh blah, setiap perkara yang hadir dalam diri dia, dia akan tolak dengan mengatakan tidak tanpa mencuba dahulu atau sekurangnya memberi peluang. Cakap dan ajaklah apa saja, dia pantas berkata tidak berserta ekspresi muka yang meminta penumbuk. Sehinggakan kawan dia nak ajak tengok american fottball pada hujung minggu pun dia tolak dan beri pelbagai alasan yang memualkan.

Aku sekarang sudah jadi macam jim carry dalam cerita tu.
Serius.

Di opis, aku lah yang paling handal dalam menghantar report yang sudah berbulan bulan tertangguh setelah due date. Aku jugalah yang paling mahir dalam melengah lengahkan kerja yang sedia berlambak lambak. Dan aku lah juara bertahan dalam acara merungut paling banyak.

Aku selalu menyalahkan kerja kerja di opis yang membuatkan aku menjadi pemalas dan negatif. Disebabkan kerja ad hoc bertambah macam 'tiada penghujung', semakin hari aku semakin lemau tak bermaya dan hanya mampu berkata ' kerja banyak gila la' pada bos bila dia tanya sudah siap belum report yang dia nak tu.

Ekspressi muka tak perlu aku cerita disini.
Orang yang malas dan negatif kan handal dalam membuat mimik mimik muka.
Jadi tak perlu aku terang dengan lebih lanjut bila orang di sini tanya aku, ' err, emel semalam tu dah reply ke belum ek'?

Itu tak termasuk lagi dengan pelbagai karenah baik dari customer mahupun pekerja yang report di bawah aku yang aku mesti hadap. Serius aku rasa nak pengsan. Dan bila pengsan, tolong berhentikan aku dari bekerja dan hantar saja aku ke rumah aku balik supaya aku dapat tidur lagi selama seminggu tanpa perlu bangun. Kali ni, aku nak bermimpi mandi di sungai yang mengalir dari celahan bukit di iceland.

Di kala manusia  manusia lain selamber saja menyiapkan kerja kerja mereka serta mendapat pujian pujian menggunung, aku sudah menulis ayat "pemalas" di atas dahi aku. 

Selamat jalan Year End Appraisal. 
Kalau bernasib baik, dapatlah rating 3,kalau tidak akan terima surat untuk menyertai program pemulihan prestasi selama 3 bulan. Kalau tak perform jugak, aku nak mintak tolong hang yang membaca ni untuk bersama sama kemas barang aku di opis dalam kotak. Ada banyak khazanah yang kena bawak balik. 

Siapa yang nak simpan harta si pemalas, betul tak?

Dek kerana hal opis yang super boring, kehidupan aku di luar opis pun terikut sama. Aku sudah jadi mamat berjambang yang lesu dan membosankan. Kadang bila aku duduk di sofa sambil menonton tv yang terpasang siarannya, aku tak sedar yang otak aku sudah jauh melencong ke sebuah daerah yang tak berpenghuni. Sudah letih melencong, aku dakap bantal dan perlahan lahan aku pejam mata dan tidur. Konon nak sidai baju yang dah basuh tadi, silap haribulan esok malam pun belum tentu aku dapat sidaikan sebab seorang  mat delay yang sukses, dia akan berusaha sepayah boleh untuk mendelay kerja. Semakin lama delay semakin sukses lah dia. Dan semakin sukses mendelay, semakin dia menghampiri title raja pemalas.

Ini nasihat yang tak perlu diikut pun, okie? Baca saja. Jangan tiru. Jangan terpengaruh, nanti bini marah.

Entah macam mana, aku seolah ditarik keluar dari lohong hitam yang pahit ini pagi tadi.

Aku dapat bernafas dengan baik semula. Aku dapat rasakan darah darah suam mengalir dalam badan dengan tenang, jantung berdegup selesa serta urat urat kepala yang tegang terlihat di sekitar dahi menyurut. Bebola mata pula bersinar sinar, semua benda yang terlihat bergemerlapan indah. Udara yang aku sedut sekarang sungguh segar tak seperti udara di lohong hitam yang meletihkan. Rasa sihat, otak menerima oksigen yang cukup dan aku sudah tidak menguap 24jam macam selalu.

Aku pasang tekad, hari ini adalah hari perubahan. Nak pinjam kata budak budak muda sekarang, iaitu revolusi. Ya, hari ni aku mesti cetuskan revolusi dalam hidup aku. Merombak dan merobohkan tembok delay yang terbina kukuh. Dah lama sangat aku jadi mat delay dan mat 'penyegan'. Aku mesti kembali cergas seperti dulu. Aku mesti ambik bom jangka dan pasang pada tembok delay ni kasi hancur terus. Bukan masa dah nak ambil tukul ketuk sampai malam baru nak runtuh. Kerja noble macam ni kena cepat. Hati mesti bersih. Jiwa mesti besar. Semangat kena tebal. Yang paling penting, keyakinan untuk berubah mesti sentiasa berbunga. 

Memang aku bekerja dengan kapitalis, tapi aku tak boleh jadi macam sekarang. Macam mana nak lawan kapitalis kalau nak pegang penyampu sampah untuk sapu rumah sendiri pun malas, kan?

Benda elok jangan tunggu lama lama. Itu pesan orang tua tua untuk budak muda yang nak kahwin. Aku tukar ayat itu pada situasi aku. Tak salah rasanya.

Untuk itu, sebagai langkah pertama,aku nak tidur awal malam ni. Aku perlu mandi dulu, solat isyak, buang baju kerja ni dalam mesin basuh, mop lantai sebab sang quds tadi sudah kasi tuang yougurt atas lantai dan paling penting set alarm untuk bangun awal esok pagi dan mulakan hidup dengan jayanya.

Harap harap dapatlah bangun. Kalau tak, nak kena pergi klinik di taman sri gombak ambil mc. Situ senang sikit. Doktor tak banyak tanya. Hehe.

Perangai serupa taik kucing!

1 ulasan:

  1. Sebab tuan dah tua. Tiada yg menarik di tempat kerja tuan jadi tuan xpunya arah tuju. Apa yg tuan buat bukan pd minat tuan. Jgn bermalasan lama , ia membunuh.

    BalasPadam

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak