Ahad, 3 Ogos 2014

APABILA PANDA MENYEPAK BOLA, KITA BERSORAK RIANG

Aku masih bercuti. Jadi aku ada banyak masa terluang. Entah macam mana terasa nak menulis pasal hal di bawah ni. 

Di kesempatan itu, aku tanya cik google tentang kos yang kerajaan Brazil gunakan untuk mengacara acara prestij 4 tahun sekali di dunia iaitu piala dunia yang dah pun melabuhkan tirainya hampir sebulan yang lepas. Tak lupa juga, aku bertanya cik google tentang kos kos yang kerajaan Malaysia gunakan untuk membela dua ekor panda yang kerjanya hanya memakan batang buluh tu.

Berikut adalah jawapan-jawapan yang cik google berikan. Aku nak mengucapkan terima kasih kepadanya terlebih dahulu kerana tanpa cik google, setiap pertanyaan aku akan hanya tinggal kenangan saja.

Baiklah, Brazil telah mendapat mandat dari FIFA untuk menjadi hos piala dunia untuk tahun 2014 selepas Afrika Selatan. Sebaik saja mendapat mandat, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berjanji pada rakyatnya yang kerajaan tidak akan menggunakan dana awam sebagai modal persediaan menjadi hos.

Nampak gaya janji tinggal janji. Setakat bulan Julai, Bank Pembangunan Brazil mengumumkan yang Brazil sudahpun berhutang pada bank dunia sebanyak USD3.5 billion!

Amaun USD3.5 billion ini sebenarnya digunakan untuk pengubahsuaian 12 buah stadium dan USD7.5 billion dibelanjakan pula untuk 56 projek insfrastruktur melibatkan maintenance di kawasan lapangan kapal terbang dan projek keretapi bawah tanah untuk beberapa kawasan bandar.

Maka dengan itu, kerajaan Brazil telah pun membelanjakan USD11 billion secara total iaitu jumlah perbelanjaan yang dua kali ganda dari jumlah perbelanjaan yang digunakan oleh Afrika Selatan pada 4 tahun sudah ketika mereka menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Macam biasa, Presiden dan kerajaan bermati-matian mempertahankan tindakan mereka berbelanja sakan dengan memberi alasan bahawa Brazil bakal mendapat keuntungan apabila ramai pelancong dari serata dunia datang untuk menjadi penonton pertandingan bola sepak terulung. Ini dipersetujui oleh Ernst & Amp; Young yang meramalkan keuntungan sebanyak R$112.79 billion akan diperoleh seterusnya menstabilkan ekonomi Brazil.

Namun, perbelanjaan besar ini bukanlah berita gembira buat rakyat Brazil yang kebanyakkannya handal ber'joga bonito'. Tindakan kerajaan Brazil telah menimbulkan kemarahan sebahagian rakyatnya. Mereka menganggap menjadi hos kepada kejohanan berprestij ini sebagai malapetaka besar. Pemborosan yang melampau itu telah menjemput rakyat yang datang dari latar belakang kelas kelas pekerja, pemuda  mahasiswa dan kaum miskin kota untuk mengorganisasi siri siri demonstrasi dan mogok mogok bagi mengajukan keluh kesah mereka terhadap kerajaan yang gagal mendahului prioriti rakyat.

Soalan rakyat Brazil ialah, jika USD11 billion boleh dibelanjakan untuk stadium stadium dan fasiliti fasiliti baru semata mata untuk menjadi tuan rumah, kenapa tuan Presiden tidak boleh mengeluarkan dana yang sama untuk disalurkan kepada bahagian-bahagian yang lebih penting buat rakyat seperti pendidikan, pembangunan sosial, kesihatan, transportasi dan juga upah yang lebih baik untuk kaum buruh?

Bukankah ini yang lebih penting dari menjadi tuan rumah?

Maka, festival yang sepatutnya diraikan dengan jayanya bertukar menjadi satu goncangan keras kerana pada setiap hari, rakyat akan memenuhi ruang ruang jalan untuk berdemostrasi, membantah tindakan kerajaan yang melebihkan kepentingan sendiri dari mencipta kesejahteraan buat rakyat kebanyakkan.

Itu cerita di Brazil, mari kita siggah sebentar di tanah tumpah darah kita, Malaysia.

Lebih kurang 2 bulan sebelum Piala Dunia, Malaysia telah menerima 2 ekor panda dari negara China atas semangat persahabatan antara dua negara selama 40 tahun. Sebelum itu, China dan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi pada 15 Jun 2012.

Simbolik pada 'penghijrahan' panda dari tanah besar China ke tanah Malaysia antara lain ialah;
  • China mengiktiraf Malaysia sebagai sekutu yang dipercayai dan dihormati
  • Malaysia adalah antara negara teristimewa yang mendapat penghormatan seperti ini
  • China mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengannya.
Selalunya, hubungan persahabatan terjalin atas niat yang suci dan ikhlas. Melihatkan kepada hubungan persahabatan Malaysia China ini buat aku rasa pelik. Sebabnya, walaupun China kononya menghantar 2 ekor panda itu ke Malaysia atas dasar persahabatan , Malaysia pula yang terhegeh hegeh kena bawak keluar duit untuk perbelanjaan. 

Duit belanja ni pulak bukan 10 ringgit 20 ringgit buat beli buluh brader. Main juta juta tu.
Kita akan membela panda panda untuk tempoh 10 tahun dan kita kena bayar pada China RM3 juta pada setiap tahun. 10 tahun maknanya 30 juta. Betul? Kos rumah 2 ekor panda itu pula dibelanjakan sebanyak RM25 juta, RM 15 juta dibayar oleh 1Malaysia Development (1MDB) dan bakinya oleh kerajaan. Baca betul betul, bakinya oleh kerajaan. Bukan dari poket individu pak menteri. Hang faham-faham sendirilah ya duit baki tu siapa yang sebenarnya bayar. Umur dah layak mengundi takkan tak reti lagi.

Okie, kos penjagaan pula dianggarkan sebanyak RM1.5 juta setahun. Dan kalau 2 ekor panda tadi mengawan dan membanyakkan zuriat keturunannya, kita kena bayar sebanyak RM2 juta dan bayi panda itu kita boleh bela selama 2 tahun. Lepas tu, bayi panda yang kiut miut tu kena hantar balik tanah besar. 

Kalau tanya aku, aku suruh saja pegawai zoo mandulkan 2 ekor panda tu awal-awal lagi. , Kemudian kita salahkan China sebab bagi panda mandul untuk cover line. Kita juga bagi alasan pada China, mana mungkin Panda boleh jadi mati pucuk hanya kerana cuaca panas. Hujah kita akan bertambah konkrit disebabkan kita sudah belanja berjuta untuk rumah idaman panda. Rumah rakyat pun tak semahal macam tu. Lagipun tak nampak perjanjian yang mengatakan China akan mendenda Malaysia kalau ada percubaan meng'kasi' itu panda.

Kedatangan 2 ekor panda merupakan stratergi Malaysia untuk menambah duit poket. Mengikut kata seorang pak menteri, rakyat Malaysia kini sudah tidak perlu lagi menghabiskan duit untuk terbang  ke China semata mata untuk melihat panda panda comel . Kita boleh terus saja hidupkan enjin kereta kancil, masuk lebuhraya MRR2 yang gila jem itu selama 2 jam dan belok masuk ke Zoo Negara untuk menyaksikan 2 ekor panda yang kini sudah selamat menghuni mahligainya. Jangan marah dekat panda sebab hang mampu menyewa rumah saja sehingga ke hari ini. Selain itu, ada kajian kukuh yang menganggarkan keuntungan dari pelancong luar yang datang dan membeli cenderahati sahaja mampu menyara kos penyeleggaraan panda.

Hebatnya!
Kan? Kan?

Setakat itu sajalah aku nak sampaikan.

Oh ya, hang mesti nak tanya bagaimana dengan reaksi rakyat Malaysia tentang perbelajaan kerajaan terhadap 'persahabatan tak ikhlas' Malaysia-China ni? Adakah ini juga dianggap sebagai  pemborosan dan kerajaan kita terlepas pandang dalam mengurus tadbir keperluan rakyat? Ada tak tunjuk perasaan di jalan raya membantah persahabatan berat sebelah ni? Macam mana pula dengan pendidikan kita, pembangunan sosial, kesihatan, transportasi dan juga upah yang lebih baik untuk kaum buruh Malaysia?

Malas aku nak cakap. Esok aku dah kena kerja. Nak kena hadap jem, naik LRT yang belum tentu lagi tepat masa. Hujung bulan tiba masa untuk klik perbankan online untuk bayar PTPTN, duit kereta, duit sewa rumah, hutang personal loan, barang barang rumah lagi. Kalau ada lebih sikit sikit, boleh belanja bawak anak isteri tengok panda. 

Itupun kalau ada lah.










2 ulasan:

  1. Aku teringin nak tengok panda tu..tengah setting time paling cun nak pi sana..jom laa kita pi sama-sama..

    BalasPadam
    Balasan
    1. sat aku kena check dulu duit belanja. wahahaha

      Padam

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak