Selasa, 16 September 2014

BALADA SEORANG PEMUDA

Seorang pemuda berpagi-pagian untuk ke pejabatnya. Dengan semangat yang membuak buak untuk mempertingkatkan prestasi diri dan memacu kejayaan kompeni, nyatalah tiada satu pun yang dapat menghalang kemaraan pemuda ke pejabat dari terus lena mendamparkan diri di atas tilam puaka.

Pemuda tiba awal di pejabat. Tidak seperti pekerja pekerja  lain yang datang awal ke pejabat tetapi tidur di surau sementara menunggu pukul 9, atau bersarapan pagi dengan kawan kawan dan memulakan ritual mengutuk Umno kaw-kaw, atau lepak hisap rokok berkotak kotak sambil baca Utusan atau bersosial di laman fesbuk dengan meng'update' status " feeling so happy, baru sampai di office", Pemuda langsung menyambung dan menyelesaikan tugasan-tugasan hariannya. 

Sebenarnya, ada perkara penting bakal berlaku pada pagi ini. Pemuda mengemas kini kertas kerjanya untuk dibentangkan kepada bos perempuan pada jam 10pagi. Kertas kerja ini menjadi penanda aras untuk prestasi akhir tahun pemuda. Andai kata kertas kerjanya berjaya membeli keangkuhan bos ,tiada ragu ragu lagi yang pemuda bakal menikmati rating yang gempaq, namanya akan dijaja dan dijulang tinggi serta kenaikkan gaji yang pasti menambah kebongkakkan pemuda.

Tepat jam 10 pagi, pemuda terus membentangkan kertas kerja kepada bos perempuan. Setiap poin poin penting tidak ditinggalkan. Pemuda cekap memberi penjelasan terhadap poin poin yang dibangkitkan. Hujah hujah terhadap ideanya diutarakan secara detail agar bos faham akan 'direction idea' yang dipandu pemuda. Diselang seli dengan itu, pemuda membawa bos kepada teori-teori teknikal bagaimana ideanya dapat diimplementasi dan kebaikkan yang kompeni akan peroleh sekiranya idea pemuda diberi peluang. 

Namun setelah selesai 45minit sesi 'presentation', bos perempuan tidak menunjukkan sebarang reaksi. 'Em' tidak, 'Uh' pun tidak. Tetapi mukanya agak kemerah merahan. Dia hanya tertunduk dan berkata 'awak boleh keluar sekarang' dalam nada yang sangat rendah.

Pemuda tak pasti apa yang tidak kena. Bos perempuan tidak seperti selalu, jika ada yang salah, dia akan lantang menyuarakan, jika ada keraguan, dia pasti bertanya bertalu talu dan jika pembentangannya tidak memuasakan, bos perempuan tidak akan teragak agak untuk menyuruhnya berhenti dan pergi memperbetulkan apa yang patut. 

Pemuda jadi bingung. Benar-benar bingung.
Mula timbul rasa risau meraja dalam dirinya. 

Sehinggalah dengan takdir tuhan, pemuda tersedar yang zip seluarnya ternganga punya la besar dan segala-galanya sudah terlewat untuk diselamatkan. Pemuda menarik narik zip seluar dengan harapan untuk memperbetulkan keadaan, tetapi bak kata orang-orang tua, nasi sudah menjadi bubur. Zip seluar pemuda gagal berfungsi. Maruah pemuda bagaikan jatuh tergolek ke tanah sebelum dikoyak-koyak oleh sang gagak dan lalu ditinggal hina.

Sekarang, baru pukul 11pagi. Ada kira-kira 7 jam sebelum waktu bekerja tamat. 
Doa kita semua, semoga pemuda tabah menjalani sisa baki hidup di pejabat bersama zip seluar yang tidak bisa diperbetulkan. 

Pandai-pandailah hang cover, okie!

1 ulasan:

  1. Ini lah cerita pemuda yg lain dari pemuda-pemuda ada. Setiap pemuda ada cerita mereka. Goodluck.

    BalasPadam

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak