Dalam dunia ini, ada banyak pintu-pintu yang sudah
tersedia. Dari pintu-pintu yang kau bukakan, nyatalah kau akan berkenalan
dengan makna-makna cinta, kasih sayang, hormat-menghormati, kegelisahan,
keperitan atau kemurungan dan seribu satu macam perasaan yang lain-lain.
Di sini, kau akan tahu, hidup ini tak lebih dari satu
permusafiran yang tak pasti lamanya kerana ada masanya, kau akan senyum umpama
bintang yang melestari di langit kelam dan ada ketikanya, kau akan menangis
seperti tiada penghujungnya.
Aku bertemu kau buat pertama kali di padang yang
menghijau itu. Di sana, kau sedang duduk di bawah sepohon pokok yang menghijau.
Dek kerana teduhnya suasana yang kau alami, kau lemparkan satu senyuman buat
aku yang masih asing di kawasan itu.
Kau sangat ramah.
Kau mulakan bicara, dan semakin lama, bicara kita sudah
seperti kita sudah kenal sejak terbit dari rahim ibu lagi. Kita ketawa sehingga
bertahun lamanya dan hidup aku sudah kau separuh kunjungi dan hidup kau aku
sedang melewati.
Aku juga selalu hilang ketika kau galak berbicara. Ada
dunia yang lain terkadang memanggil dan realiti dari dunia-dunia itu ada
torehan yang melukakan.
Namun, cerita kau aku tak pernah buang. Cerita kau aku
simpan. Pernah sekali aku katakan pada kau, 'di dalam ruang vakum ini, aku
menyendiri, aku memerhati dan aku menulis. Kau - wujud dalam bahagian-bahagian
cerita itu.
Kau hanya diam dan mengangguk.
Di atas padang ini, malam sudah lama mansuh. Yang ada
cuma, hujan enak yang sering turun. Aku mungkin harus pergi kerana ketetapan
bukan berada di tanganku. Perasaan yang kita timbulkan ini rasanya untuk kita
rayakan saja. Aku tiada jawapan untuk masa depan yang di dalamnya ada kita
berdua. Mungkin ada atau mungkin tidak. Atau kita harus tunggu saja. Dan
kalau-kalau sehingga roh kita sudah di jemput, apa aku sudah terlalu
keterlaluan jika aku berdoa untuk bertemu kau kelak di syurga?
Ah, yang sebenarnya, yang aku takutkan ialah, adakah
perasaan yang ada ini adalah satu dosa yang tidak memungkinkan aku menghuni
syurga .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak