Jumaat, 9 Mei 2014

DALAM BARISAN

Along yang sedang berdiri dalam barisan menunggu giliran untuk mendapatkan semangkuk bubur gandum itu baru berumur sekitar 3 ke 4 tahun. 

Dan aku mengenali Along pada pertama kali pada malam itu. Kerana kecomelan dan usianya yang membuatkan dia layak dimanjakan, seorang pemuda gelandangan yang beratur bersama Along membisik sesuatu sambil menunjuk jarinya pada aku. 

Aku langsung menghampiri Along dan pemuda gelandangan tadi dan bila aku sudah dekat dengan mereka, Along kata pada aku, " Along lapar".

Aku senyum pada Along dan aku balas, 
'tunggu sekejap ya Along, abang ambilkan bubur gandum.'
Terus aku menyuruh adik aku memberi semangkuk gandum berserta 2 keping roti dan secawan air untuk di bawa kepada Along.

Ayah dan ibu Along juga ada di situ. 
Mereka berdua kelihatan sungguh bahagia dengan 'usikan usikan' yang aku lihat sangat kasar bagiaku tetapi cukup membahagiakan buat mereka. 

Adik Along yang baru lahir sedang tidur di satu sudut terpecil di kaki lima. Baru berumur 6 bulan lebih kalau tak silap aku.

Habis mengagihkan makanan yang kami bawa tadi, aku lepak dan bersembang dengan ayah Along. Orangnya agak rendah, kurus, rambutnya separa panjang dan beralun dan dia cukup ramah. Banyak sungguh kisah yang dia mahu ceritakan. 

Kerana ayah Along suka bercerita hal-hal yang kelakar, kami tak berhenti henti gelak . Sebentar kemudian isterinya datang dan menanyakan suaminya " eh, awak dah ambil pampers yang diaorang nak bagi tu? awak pergi la ambilkan, pampers dah nak habis tu."

Isterinya mencubit cubit ayah Along dan ayah Along ketika itu terus memeluk isterinya untuk memberhentikan cubitan isterinya. Dan mereka berdua bergurau senda di depan aku.

Aku cakap dalam diri aku " manusia ini sama sahaja. tak kisahlah dia tidur di mana sekalipun, kebahagiaan itu sudah dicampak dalam hati mereka sejak lahir lagi".

Aku nampak Along berlari masuk ke dalam barisan lagi. Kali ni bukan untuk mengambil bubur yang aku bawa tetapi untuk mengambil makanan lain yang di bawa oleh satu NGO yang baru sampai. 

Aku nampak dalam diri Along ada sejuta harapan. 
Harapan sebagai seorang kanak-kanak untuk membesar dalam keadaan normal seperti budak budak kecil yang lain. Ketika kawan-kawan sebaya Along sedang menonton sesame street di Ipad masing-masing, along masih di jalanan bermain tin kosong. Ketika kawan-kawan sebaya Along dibawa ke kedai fast food upin & ipin, Along masih beratur dengan sabar untuk mendapatkan makanan percuma dan ketika anak-anak sebayanya dapat merehatkan diri setelah penat bermain di katil empuk, Along hanya beralaskan surat khabar atau kalau nasibnya baik,, dia tidur beralaskan kotak tebal di satu sudut di tepi kaki lima. 

Along layak membesar seperti anak-anak yang lain.
Tetapi di mana tempat dia membesar?
Along layak untuk bersekolah dan mendapat pendidikan seperti yang lain, layak untuk menjalani kehidupan kanak-kanaknya yang penuh dengan fantasi dan imaginasi yang memberdaya impiannya.
Tetapi masih ada peluangkah bagi Along?

Bubur yang aku bawa hanyalah satu penghubung untuk bertemu Along. Tidak mungkin bubur yang aku beri sekali pada setiap hujung bulan ini dapat menjadikan Along seorang yang berjaya kelak. Tidak mungkin juga dengan bubur ini, Along dapat tidur di katil empuk. Dan bukan bubur ini  yang Along dan teman-teman gelandangan perlukan. Mereka perlu lebih dari itu, yakni kasih sayang, perhatian dan pembelaan yang sewajarnya.

Untuk mengharap pada pemerintah, ahli politik dan para - para imam, aku sudah kecewa.
Kata seorang teman, biarlah tangan-tangan kita dikotorkan untuk bersama yang di bawah.

Cuma, aku harap selain dari mengotori tangan dengan menyediakan bubur ini, masih banyak lagi aku dan pari-pari polka dot serta kawan-kawan yang lain mampu lakukan buat kaum yang dilepas pandang ini. Kaum yang menzahirkan betapa tidak pedulinya mereka yang so called pemimpin manusia.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak