Isnin, 23 Jun 2014

PAK AMRAN DAN YANG DIPERTUAN AGONG

Pertama kali aku mengenali Pak Amran bukanlah bertemu dengannya secara fizikal. Tetapi aku bertemu dengan Pak Amran dalam satu artikel yang aku baca melalui portal projek dialog yang ditulis oleh saudara zul fikri zamir. Artikel itu diterbitkan pada ramadhan yang lepas.

Melalui pembacaan itu saja telah membuatkan aku kagum dengan sosok gelandangan yang berumur sekitar 60 tahun ini. Tutur katanya begitu dalam dan berisi. Aku sungguh tak sangka seorang gelandangan seperti Pak Amran boleh memberi idea idea bagaimana masyarakat boleh mengotorkan tangan tangan mereka untuk memenuhi apa yang gelandangan perlukan.

Kata kata Pak Amran juga ada kalanya keras, tetapi itulah realiti bagaimana kaum gelandangan dilayan masyarakat. Menurut Pak Amran, ada AJK AJK masjid yang tidak membenarkan kaum gelandangan untuk menggunakan tandas masjid untuk  membersihkan diri. Dihalaunya mereka keluar. Mungkin AJK masjid tadi merasakan rasa bertanggungjawabnya mereka untuk membersihkan rumah Allah dari dikotori kaum seperti kaum yang tidak berumah ini.

Pada satu malam, aku menyertai satu kumpulan NGO untuk mengagihkan makanan makanan pada kaum gelandangan di sekitar Puduraya. Kami membawa beberapa jenis makanan dan juga air untuk diagihkan agihkan pada mereka. 

Kami tak mengambil masa yang begitu panjang untuk menghabiskan bekalan makanan. Kurang dari sejam, habis langsung makanan siap diagihkan.

Tiba tiba ada seorang pakcik tua, berumur lebih kurang awal 60an datang menghampiri belakang aku. Dia bertanya, 'dah habis ke makanan?'
'Minta maaf pakcik, baru saja habis' balas aku.

Pakcik yang bertopi varetta dan berbag galas itu hanya senyum dan dia terus berehat di satu tempat duduk. Ketika rakan rakan lain sibuk mengemas, aku dan adik aku menghampiri pakcik tadi. Kami saja mahu berbual bual. Pakcik itu sangat mesra. Banyak benda yang dia ceritakan. Katanya, kaum gelandangan ini datang dari pelbagai masalah. Ada yang lari dari rumah, ada yang dihalau keluarga dan ada juga yang tidak berumah kerana kesempitan hidup. Mereka juga kebanyakkannya bekerja. Namun begitu, mereka masih tidak mampu untuk meyewa rumah apalagi memilik rumah kerana kos sara hidup yang terlalu tinggi. Kata pakcik itu juga ada  diantara mereka yang terlibat dengan dadah dan sudah beberapa kali keluar masuk pusat pemulihan.

Disebabkan kesempitan dan kejerihan hidup yang mereka hadapi, kaum gelandangan ini ada yang memiliki emosi yang tidak stabil. Pesan pakcik tadi, kerja kerja charity seperti yang kebanyakkan NGO lakukan memerlukan jiwa yang besar dan berani. Tambah lagi bila berhadapan dengan karenah karenah dari mereka yang jiwanya tak stabil. Sebilangan kecil gelandangan mudah marah jika disuruh untuk beratur supaya senang proses pengagihan makanan. Mereka juga kadang kadang bergaduh sesama sendiri ketika berebutkan pakaian pakaian yang diberikan.

Bukan itu saja, pakcik ini menasihatkan kami untuk tidak memaksa diri dalam melakukan kerja kerja seperti ini. Sebabnya kata pakcik itu, biarlah sedikit saja bantuan sejenis ini diberikan tetapi ikhlasnya besar dari terlalu banyak bantuan disalurkan namun keikhlasannya sangat kecil. Tambahnya lagi biar konsisten walaupun tidak kerap.

Sampailah ketika pakcik ini bercerita hal masjid berdekatan, tergerak hati aku untuk bertanya akan namanya.
Katanya, namanya Amran.
Langsung aku bertanya lagi, inikah Pak Amran yang baru baru ini ditemu ramah pada bulan puasa yang lepas. 
Pak Amran senyum dan kata ya.

Saya kenal Pak Amran. Saya sudah baca cerita pasal Pak Amran dalam temu ramah yang lepas, kata aku teruja.

Sejak dari pertemuan itu, hampir setiap bulan pada minggu ke tiga atau ke empat, aku bersama adik adik dan kawan kawan yang lain turun ke Puduraya untuk memberi sedikit makanan kepada gelandangan. 

Aku sudah tidak bersama NGO. Aku lebih selesa untuk bergerak sendiri bersama adik dan rakan rakan aku. Kami tidaklah aktif sangat, cuma mencuri masa kami paling lama pun 2 jam untuk memberi makan dan bersoasial bersama mereka.

Dan setiap kali itulah aku akan bertemu Pak Amran. Bila aku sampai dia akan menjerit memanggil namaku. Aku suka bersembang dengan Pak Amran. Dia sering mengingatkan aku pada realiti sosial yang begitu perit. Tapi Pak Amran tidak pernah sekalipun menangis atau beriya bercerita mahukan simpati.

Ada kalanya Pak Amran akan menyanyi untuk kami. Ada kalanya, dia akan bercerita perihal rakan rakan gelandanganya. Mereka seperti satu unit keluarga. Mereka akan duduk makan bersama sama dan jika salah satu rakannya masih lapar, mereka sendiri akan menceduk makanan dari bekas makanan mereka sendiri untuk diberikan pada rakan tadi.

Banyak cerita Pak Amran yang dia kongsikan pada aku. Katanya ada sekali pegawai gereja berkata padanya, 'jika satu hari nanti pihak gereja sudah tidak mampu memberi bantuan pada gelandangan, kami berharap sahabat kami di masjid masjid dapat pula membantu'.

Dari pengalaman Pak amran sendiri, pihak gereja tidak pernah menjalankan aktiviti mengkristiankan kaum gelandangan yang beragama islam. Itu hanya retorik masyarakat melayu islam. Pihak gereja jauh ke depan dalam memberi bantuan bantuan pada gelandangan yang memerlukan. Bukan sahaja dalam bentuk makanan, gereja juga memberi ruang pada gelandangan untuk menggunakan fasiliti fasiliti mereka untuk gelandangan membersihkan diri dan membasuh baju. Mereka juga memberi kad medikal pada gelandangan yang sakit untuk pergi ke kelinik kelinik panel dan tiada caj yang perlu dibayar.

Berbeza dengan kaum yang menggelarkan diri mereka 'penghuni syurga'. Layanan yang diberikan mereka sangat menyedihkan. Pak Amran selalu mengajukan soalan pada aku. Soalannya berbunyi begini. 'Apa yang pihak masjid buat dengan kutipan pada hari jumaat? Selain dari mencantikkan masjid, tidakkah duit itu milik pada manusia manusia yang lebih memerlukan?

Setiap kali Pak Amran mendengar khutbah jumaat, hatinya tersentuh, lagi lagi bila Pak Khatib sering  berkata, orang muslim wajib melakukan kebaikkan sepanjang hidup untuk membolehkan mereka masuk di dalam syurga. Dan apa yang diperhatikan Pak Amran, melayu islam di malaysia kebanyakkannya sibuk dengan hal hal ibadah sehingga menyisihkan tanggungjawabnya pada masyarakat. Mereka menganggap kaum gelandangan adalah satu masalah kepada mereka. Gelandangan adalah virus dan terdiri dari mereka mereka yang pemalas dan asyik mengharapkan bantuan. 

Tetapi tidak sekalipun mereka turun untuk mengenali dan menyelidik masalah kaum gelandangan. Gelandangan tidur beratapkan langit malam. Sedang mereka yang mengaku mengamalkan sunnah nabi, tidur lena di kamar masing masing dan kalau sebolehnya tidak mahu tahu kenapa ada manusia di luar sana yang masih tidur di atas lipatan lipatan kotak.

Pak Amran pernah bertanya pada aku, apa orang seperti kami tidak layakkah untuk menghuni syurga bila kami sudah mati kelak?
Aku tak menjawab kerana aku tak tahu bagaimana untuk menjawab. Aku gantikan jawapan yang sepatutnya dengan satu senyuman.

Aku yakin, Pak Amran sudah ada jawapannya.
Dia mungkin cuma mahu berkongsi apa yang dia dan rakan gelandangan yang rasa.

Lagipun, manusia semuanya sudah lupa akan janji mereka pada tuhan. Kasih sayang dan kemanusiaan saban hari sudah tertanam kemas dalam besi besi cerucuk yang meneguhkan bangunan bangunan tinggi sebagai satu simbol pemodenan. Entah bila kemanusian ini dapat timbul semula agar manusia dapat mengenal erti mengasihani.

Oh ya. 
Hari ini hari keputeraan yang dipertuan agong. Hari keputeraan ini macam hari kelahiranlah. Aku suka hari ini sebab ianya hari cuti. Bukan sebab untuk meraikan agong.

Nak tergelak aku baca satu artikel mengatakan agong atau sultan adalah payung pada rakyat. Memayungi mereka dari segala keperitan dan kesengsaraan hidup. Agong dan sultan adalah pemerintah yang berdaulat dan kerana ada merekalah martabat bangsa melayu dijulang tinggi. Dan agama islam akan terpelihara berpanjangan dengan adanya sokongan dan ketaatan rakyat pada institusi raja dan kesultanan. Artikel itu menyeru semua rakyat malaysia untuk tunduk dan patuh pada raja dan sultan sebagai pemerintah yang tertinggi di negara Malaysia. Juga disebutkan dalam artikel itu petikan ayat dari al quran berkenaan kewajipan rakyat untuk mentaati pemerintah. Senang cakap, jangan pernah derhala pada mereka yang makannya lebih dari cukup dan tidurnya lena di katik empuk. 

Aku nak cakap, apa apa sajalah.
Tulislah lagi cerita macam tu. Yang menulis tu bukan calang calang jawatannya. Pegawai besar agama juga. Jadi tulisan yang macam tu punya murah pun tak boleh disanggah apalagi orang yang dipertahankan tu.

Agong, sultan , pak menteri, golongan bangsawan, politikus mahupun rakyat biasa sekalipun meraikan hari jadi sendiri saban tahun. Tapi bagi mereka yang perutnya kosong, bagi jasad jasad yang ditindas, bagi tubuh badan yang dinafikan haknya dan anak anak kecil yang tidur di jalanan tak pernah meraikan hari jadi. Kek berserta lilin? Mungkin sampai mati pun tak dapat mereka merasa.

Hari jadi tak penting bagi mereka. Tidak pula mereka mencatatnya dalam kalendar.  Kaum gelandangan, orang miskin dan rakyat yang tertindas dengan sistem kapitalisma, monarki yang gila serta nasib yang tak diperjuangkan politikus barbarian hanya meneruskan perjalanan hidup sementara masih belum dijemput malaikat maut.

Sekali sekala terdetik juga dalam hati mereka, adakah syurga menanti buat mereka seperti mana kita yang perasan ini?







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak