Sabtu, 3 Januari 2015

PENCINTA RASUL DAN TENTERA TENTERA IBLIS.

Sehari selepas berlangsungnya majlis Malam Cinta Rasul, Azizan Osman dalam post beliau di fesbuknya mengatakan,

"Semoga 'pembaziran' penganjuran #MalamCintaRasul ini mendapat redha Allah swt serta membantu sedikit sebanyak mengajak lebih ramai kepada Allah swt dan Rasulullah saw dan pada masa yang sama dapat pula membantu mangsa bencana banjir Insya Allah".

Setakat hari ini yang aku check, sebanyak 11,538 orang telah 'like' post Azizan dan 342 komen telah tercatat dalam post beliau.

Antara post-post yang menarik perhatian aku ialah,

Mengikut seorang yang copy paste dari group whats appnya, ada sekumpulan budak budak punk yang kebetulan berada di dataran turut menadah tangan bila dibacakan doa dan ada di kalangan punker itu menangis bersama sama hadirin majlis malam cinta rasul.

Dikatakan juga dua remaja melayu islam yang sebelum ini murtad telah kembali kepada Islam.

Dan komen yang paling super duper aku baca ialah dari seorang mamat yang mungkin sudah konfirm keahliannya sebagai ahli syurga menulis begini, 'tentera-tentera iblis sudah gagal semalam'.

Ya tuhan, power betul!
Siapalah agaknya tentera tentera iblis yang dimaksudkan oleh mamat itu?
Agaknya mamat tu merujuk kepada makhluk-makhluk yang mempertikaikan kos 200K yang digunakan untuk program Malam Cinta Rasul.

Tunggu sehingga di akhir peranggan,tulisan ini juga akan dicop sebagai tulisan dari tentera tentera iblis yang gagal menyekat kemaraan program Malam Cinta Rasul.

Di ketika ini, aku langsung tak bernafsu untuk berdebat tentang amalan nak berselawat beramai ramai ni. Aku juga tak ingin nak mengupas di mana relevannya anjuran memanggil agamawan agamawan untuk hadir bersama ratusan ribu manusia yang lain untuk berselawat di dalam satu majlis besar. 

Aku berasa sangat malas untuk berdebat tentang trend amalan selawat perdana. Masing masing akan bertempur dengan mengeluarkan poin-poin dan hujah hujah bersandarkan hadith-hadith untuk memenangkan apa yang dia pegang. Walaupun perkara sebegini tidak dianjurkan atau dipraktis oleh para sahabat, kita tetap 'berperang' untuk menjadi yang alim lebih dari yang benar benar alim. Jadi terserah, kalau mahu teruskan silakan, jika tidak jangan lupa untuk berselawat sendirian.

Cukuplah aku dengan pendirian dengan mengikuti anjuran Nabi untuk berselawat ke atasnya kerana perintah Allah. Kerana Allah dan malaikat juga berselawat ke atas Nabi. Jadi siapa kita untuk menyanggah anjuran junjungan yang paling mulia?

Namun, aku tidak menegah, mengeji atau mempertikaikan sesiapa yang mahu ke sana untuk bersama dalam program selawat perdana.

Aku cuma ada masalah dengan pembaziran walau melibatkan program program yang berkait dengan agama. Dan aku juga ada masalah dengan program program agama yang tidak menunjukkan kebersamaan dan simpati kepada isu isu semasa nasional.

Dikatakan seramai 200 ribu manusia telah hadir pada malam cinta rasul semalam. Juga dilaporkan sebanyak RM325 ribu telah dikutip untuk 200ribu+ mangsa banjir di pantai timur. Secara tidak langsung, ia sudah menjadi hujah paling ampuh untuk membuktikan yang majlis di malam tahun baru itu adalah majlis yang diberkati.

Apalah yang dajjal sangat sebenarnya kalau Malam Cinta Rasul ini ditangguh seketika? Sungguhpun aku tidak bersetuju dengan program selawat begini di waktu mana sekalipun, aku nak bertanya di mana salahnya jika majlis ini ditangguh sementara waktu? Sedang seramai 200 ribu manusia di pantai timur sedang bergelut dengan bencana dan kita di sini beryahanana? Sedang anak-anak kecil menangis tak henti henti kerana susunya tiada, sedang ibu bapa yang memeluk erat anak-anak yang kesejukkan dan sedang mereka yang sudah uzur tidak ada tempat untuk berpaut, di Kuala Lumpur kita pula mahu anjurkan program yang menelan kos sebanyak 200 ribu ringgit?

Aku tak kisah pun dengan amaun 325 ribu yang berjaya terkumpul di malam selawat perdana semalam. Aku juga tidak kisah berapa juta yang mahu disedekahkan penganjur atau para habib kepada mangsa banjir. Aku lagi tidak kisah kalau rumah besar Azizan Osman dijual semata mata untuk diberi bantuan kepada mangsa banjir.

Aku tahu Azizan Osman juga mengerahkan jenteranya untuk memberi pertolongan pada mangsa banjir. Aku rasa setiap rakyat Malaysia yang terkesan dengan apa yang berlaku di pantai timur , sedaya mampu untuk memberi pelbagai bantuan.

Tetapi,

Ini bukan soal berapa yang kamu beri atau bantu semata mata.
Ini soal prihatin, soal simpati dan kebersamaan kita pada mereka yang sedang bergelut.

Takkanlah orang tengah menghadapi musibah, kita pula disini melambai lambai tangan berqasidah, kemudian kita kata kita juga simpati pada mereka lalu mengutip wang untuk didermakan?

Andai dianjurkan konsert-konsert hiburan di malam tahun baru, mungkin penganjur konsert akan mengutip derma dari hadirin untuk didermakan pada mangsa banjir. Tidak ada beza pun dengan majlis Malam Cinta Rasul dengan konsert yang kita anggap maksiat sangat tu. Derma yang dikutip dan disumbang sekurang kurangnya akan menjadi satu justifikasi atas 'keperimanusiaan' pengunjung.

Kebanyakkan kita tak nampak yang rasa kebersamaan dengan mangsa juga adalah dengan menangguhkan sebarang aktiviti atau majlis keramaian. Sudahlah kos majlis sahaja memakan 200 ribu untuk satu program berselawat, kita pula bermati matian mengatakan teguran untuk menangguhkan program ini adalah usaha tercela. Adakah melayu islam di Malaysia ini hanya nampak, dengan memberi duit dalam jumlah yang banyak adalah bantuan yang termulia?

Nak berselawat pun kena keluar kos sebanyak 200 ribu. Amalan selawat telah dikomoditi dengan jumlah tertentu seterusnya menghasilkan satu produk yang eksklusif. Kenapa saja kos yang dijanakan tidak diberi terus pada mangsa kalau benar mahu menolong? Biarlah mereka yang menderma itu terus menderma, tak perlu pun di war warkan dengan anjuran Malam Cinta Rasul ini 325 ribu berjaya dikumpulkan hanya untuk membuktikan bahawa program ini tidak sia sia dan tidak membazir.

Aku tertunggu-tunggu ustaz-ustaz yang pro pada Malam Cinta Rasul dan sekalian habib-habib yang hadir untuk menyeru kepada penangguhan majlis tersebut. Jelas apa yang aku tunggu adalah penantian yang sia-sia. Seperti di hujung tahun 2013, mereka yang di Kuantan bersedih hiba kerana rumah ditenggelami banjir, di Kuala Lumpur diadakan majlis Ya hanana dan di pengakhiran tahun 2014 yang paling menduga, kita masih bersikap yang sama. 













Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak