Khamis, 30 April 2015

MAYDAY : MENCINCANG CINCANG KEALPAAN KAUMPEKERJA

"Modal bisa memenjarakan manusia bekerja tanpa henti,
Dari pukul 5 subuh hingga 8 malam untuk kekayaan orang lain"
Tan Malaka                                                                                          

Sebelum kaum buruh/pekerja turun beraksi sempena Mayday Jumaat ini untuk menuntut cukai GST dimansuhkan, adalah lebih afdal bagi mereka untuk mengambil sedikit masa mengenang kembali apa yang telah berlaku pada perhimpunan Mayday tahun lepas di Dataran Merdeka.

Puluhan ribu diberitakan telah membanjiri Dataran Merdeka untuk menuntut kerajaan Barisan Nasional melupakan hasrat mengenakan cukai GST yang bakal dijalankan pada April 2015.

Namun, melihatkan sekalian yang hadir, menimbulkan pertanyaan, apakah kehadiran mereka  sebagai seorang pekerja ataupun sebagai sebagai penyokong kuat parti pembangkang?

Jelas sebilangan besar yang datang pada 1 May pada tahun lepas lebih berminat untuk mendengar ceramah ceramah politik dan galak bertempik "Jahanam Umno" dari membentuk saf saf pekerja, mempotraitkan semangat kaum pekerja dan kebersatuan mereka dalam mendepani isu- isu buruh/pekerja yang masih terancam.

Lebih mengelirukan apabila mereka beransur pulang setelah pemimpin mereka memberi arahan tanda berakhirnya hari yang dikenang sebagai hari memperingati jasa, perlawanan dan kejayaan kaum pekerja.

Tidakkah pekerja ingat akan kejayaan mereka merebut kembali hak jam bekerja mereka yang mereka peroleh ratusan tahun dulu dan kerana itu, dunia memartabatkan 1 May sebagai hari penghargaan buat kaum pekerja?

Sukar untuk menjelaskan, atas semangat apakah puluhan ribu yang hadir pada tahun lepas. Apakah 1 May dirayakan dengan semata mata mendengar ceramah politik dan setelah itu bersurai  tanpa menyedari hari pekerja adalah lebih daripada itu?

Dimanakah agaknya semangat "Pekerja sedunia,bersatulah" menghilang?

Lalu, wajar buat semua pekerja persoalkan,
Seandainya kerajaan Umno/Barisan Nasional tidak mengenakan cukai GST, adakah kaum pekerja akan mengisi cuti umum 1 May dengan melepak di rumah sambil melayan filem filem ulangan tayangan Astro?

Iya, cukai GST dikenakan ketika Jabatan Audit mengeluarkan laporan mengenai kelemahan dalam menguruskan dana dan ketirisan berbillion yang berlaku melibatkan wang pembayar cukai (tax payer). Cukai GST dilaksanakan ketika pekerja di Malaysia belum lagi menikmati standard gaji minima. Dan cukai GST diimplemen bertujuan menampung lopak lopak besar hasil dari korupsi yang berlaku dalam urusan pentadbiran negara. Dalam keadaan yang terkontang kanting, kaum pekerja dipaksa membayar cukai dengan ayat berlapik memualkan, "membangun dan maju bersama".

Sebenarnya, cukai GST tidak sepatutnya dilihat sebagai satu satunya perkara utama buat kaum pekerja untuk turun berdemo pada 1 May. Tetapi, ianya perlu dilihat sebagai petrol yang disimbah menyemarakkan api yang sedang membara. Ianya patut dijadikan alasan yang kukuh untuk bersepakat dalam mengorganisasi satu tindakan keras memerangi perlanyakkan demi perlanyakkan ke atas kaum pekerja.

Kaum pekerja mestilah meyakini bahawa selain isu GST, kapital adalah musuh yang nyata. Ianya isu yang berpanjangan, perkara asasi yang menuntut perlawanan keras yang konsisten.

Seperti yang ditulis Michael A. Lebowiz dalam makalahnya,"Sosialisma Sekarang" kapital adalah satu kuasa di mana ianya membeli tenaga, masa dan segela kederat yang ada pada pekerja untuk memproduksi keuntungan demi kepentingan kapital secara total. Pertambahan laba bermakna setiap sisi yang ada pada seorang pekerja diekploitasi,dijarah demi kepentingan kapital.

Di saat pekerja memerlukan sejumlah wang untuk meneruskan kehidupan, kaum pemodal mengekploitasi hak-hak basis pekerja demi satu tukaran yang diperlukan mereka. Kapital bukanlah sesuatu yang kita gelarkan sebagai "telur angsa emas" buat pekerja. Bahkan kerana sikap manusia yang menganggap kapital sebagai sumber lapangan pekerjaan,pendapatan dan kontribusi kehidupan terhadap masyarakat, kaum pekerja diperbudakkan hanya kerana keperluan mereka untuk memenuhi keperluan-keperluan kehidupan.

Percayalah, kapital adalah perompak. Mereka, sang aparat pemodal-pemodal merompak segalanya galanya dari kaum pekerja dari jam bekerja, upah gaji, perkembangan diri (self development), hak hak waktu untuk menjalani pendidikan, untuk perkembangan intelektual, keperluan untuk mempraktis unsur unsur demokratik dalam persekitaran bekerja dan juga memenuhi fungsi fungsi serta kebertanggungjawaban terhadap unit sosial dan kekeluargaan.

Ambil contoh sebagaimana yang berlaku di beberapa daerah Amerika Syarikat, pekerja pekerja "fast food" menuntut upah yang sepadan dengan tenaga dan kederat mereka yang telah lama dicuri. Mereka menuntut sejumlah upah yang bertepatan pada setiap jam waktu bekerja memandangkan syarikat syarikat besar "fast food" yang saban hari mengaut keuntungan tetapi menafikan upah yang adil.

Begitu juga dengan apa yang terjadi di sini. Buruh buruh binaan, pekerja-pekerja imigran yang dimasukkan bagi menampung tenaga kerja di sektor sektor seperti sektor sekuriti, perladangan, restoran dan sebagainya. Mereka telah dinafikan hak untuk dilindungi insurans  (bagi yang bekerja di sektor buruh binaan), tempat tinggal yang selesa, dan juga upah yang sepadan.

Lihat saja berapa ramai pekerja asing yang tinggal berhimpit himpit dalam sebuah rumah kecil yang sewanya dibiayai majikan mereka? Apakah kita pasti bahawa , seseorang yang bekerja sebagai buruh binaan dilindungi insurans ketika mereka berhadapan dengan kerja kerja merbahaya di tapak binaan? Atau berapa ramai pekerja-pekerja dari sektor  perbankan, perkilangan, ladang, pertanian dipaksa bekerja lebih masa tetapi upah yang diberikan tidak sepadan.

Faktor faktor pincang sebeginilah yang perlu diperjuangkan. Kaum pekerja tidak boleh bertindak hanya apabila merasakan hak dirinya sendiri diancam tetapi jauh dari itu, setiap pekerja mesti mengambil sikap untuk peduli tentang apa yang terjadi pada pekerja yang lain. Semangat solidariti untuk membawa sebarang isu yang berkaitan pekerja wajib diterap ke dalam diri masing-masing samada mereka yang dibawah kesatuan pekerja ataupun tidak. 

Amatlah malang bagi kita semua sekiranya kita merasakan penggantian kepada kapitalisma adalah sesuatu yang mudah. Sememangnya, krisis yang tercipta dari sistem kapitalisma ini mempunyai alternatif  tetapi ianya tidak mungkin akan disingkirkan secara otomatis.

Malah bagi Karl Marx sendiri yang menulis kitab Capital, selain dari mengorganisasi praktik praktik revolusioner bagi meruntuhkan hegemoni kapitalisma, apa yang lebih penting di peringkat awalnya ialah kesedaran dari kaum pekeja akan penindasan yang dibawa oleh sistem anti manusiawi ini.

Tanpa kesedaran perlawanan tidak muncul. Tanpa kesedaran juga maka masyarakat hanya berfungsi tidak lebih dari seorang hamba yang selamanya mengabdikan diri mengkayakan apparatus kapitalis.

Selamat Hari Pekerja.
Rayakannya sebagai seorang pekerja yang berjiwa besar dan bermaruah.

Salut!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak