Ketika Malaysia dihuru harakan dengan isu pembelian tanah oleh Tabung Haji ke atas tanah milik 1MDB bernilai RM 188.5 juta, Dr Maza selaku mufti Perlis menulis di halaman media sosialnya, menyeru dengan tegas kaum alim agama untuk tidak berdiam diri dan bertindak atas "kemungkaran" yang telah berlaku.
Jelas Dr Maza, apa yang telah berlaku boleh menjatuhkan maruah umat Islam dalam negara ini. Di sinilah praktis "amal makruf nahi mungkar" mesti dijalankan kata Dr Maza lagi selain menggesa setiap individu yang terlibat di bawa ke muka pengadilan.
Agaknya mungkin Dr Maza terlupa.
Oleh yang demikian, tidaklah menjadi kesalahan pun bagi kita yang hina dina ini untuk mengingatkan Dr Maza semula.
Andai kaum alim agama di Malaysia mengambil sikap peduli akan hal urus tadbir pemerintah, struktur sosial, hal ekonomi dan sebagainya, maka sudah pasti Malaysia ini paling jauh ke hadapan. Tiada isu rasuah, tiada isu penyelewangan serta ketirisan berbillion seperti yang dilaporkan Jabatan Audit, kemiskinan dilawan habis habisan, gelandangan dibantu untuk berjalan semula, anak anak yatim juga orang cacat terbela mahupun jurang antara kaya dan miskin dikurangkan.
Sayang seribu kali sayang.
Bagaimana mungkin kaum alim agama bertindak sekarang sedangkan ribuan kes korupsi dahulu mata mereka tertutup rapat?
Apalah yang besar sangat harapan kita pada kaum yang gaji bulanannya dibiayai pemerintah, rumah rumah besar itulah mereka diami, batang tubuh mereka disarung pakaian mahal-mahal, parkir khas di kawasan masjid disediakan untuk kereta mewah mereka, dipandang mulia oleh masyarakat sehingga menjadikan mereka golongan "untouchable"?
Sebahagian besar kaum alim agama hidup dibuai angin angin kemewahan. Mereka hidup bergayut di hujung tali leher pemerintah. Mereka hidup untuk membenarkan, menghalalkan tindak tanduk taukeh taukeh mereka dan kemudian mengarahkan sekelian umat untuk terus bersyukur.
Seruan Dr Maza nampaknya tidak diendahkan, seperti biasa.
Ditambah pula Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez berkata, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyatakan pemebelian tanah TRX itu adalah sah di sisi syariah. Kenyataan Azeez disokong Profesor Emiritius Tan Sri Dato Abdul Shukor yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Kata Profesor, traksaksi pembelian tanah itu adalah sah kerana tidak melibatkan perkara perkara yang meragukan (gharrar). Pembelian tanah itu dilihat telus seperti mana kaedah kaedah yang dianjur Islam seperti yang dilaporkan pada 10may lepas oleh Utusan Malaysia Online.
Berikutan itu, Dr Maza sekali lagi menulis di laman sosialnya mengatakan, beliau sebagai ahli Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dipanggil bermesyuarat pun ketika Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terbaru mereka.
Kawan,
Perkara sebeginilah membuatkan kita tergelak hingga terburai isi perut.
Bukankah yang selalu kita fahami, tidaklah sesenang itu fatwa dikeluarkan?
Bukankah sesuatu fatwa itu menuntut proses yang panjang untuk berdiskusi, berbincang, diteliti dengan sehabis baik, mengambil kira kesan pro dan kontranya pada masyarakat dan menuntut ahli ahlinya bekerja keras, meramas setiap dari detailnya agar fatwa yang bakal diberitahu kelak kepada publik adalah produk yang adil dan saksama?
Tahniah buat Majlis Fatwa Kebangsaan kerana usaha keras tanpa mengenal siang malam dengan mengurangkan kos masa bagi melahirkan satu lagi fatwa instant!
Sehingga kini, tiada bantahan yang benar benar membantah fatwa Majlis Kebangsaan apa lagi mendesak individu individu yang terbabit dalam pembelian tanah TRX milik 1MDB ditahan untuk proses "so called" keadilan.
Kalian dibenarkan untuk marah. Makilah mereka di facebook, bawak berbincang atau berhujahlah 7 hari 7 malam di kedai kopi. Hasutlah ibu bapa, jiran sebelah rumah, saudara mara, pakcik makcik di kampung pergi ke pejabat Tabung haji untuk keluarkan duit simpanan. Hentamlah Tabung Haji di group whatsapp bersama kawan-kawan yang lain ataupun tulislah panjang panjang di blog buat tatapan pembaca. Atau mungkin berdebatlah siapa benar siapa salah selepas solat maghrib di surau. Buatlah apa saja pun.
Itu semua tak kemana.
Itu semua boleh pergi mati.
Kerana baru-baru ini, Najib sudah mengarahkan tanah TRX sekangkang kera itu mesti dijual balik kepada 1MDB. Kesemua yang terlibat, dari Pengerusi sehinggalah tukang fotostat salinan asal surat jual beli patuh pada arahan Perdana Menteri. Orang orang atasan yang bersongkok, berkot dan bertali leher berkongsi meja "press conference" bersama sama mengumumkan Tabung Haji akan menjualkan semula tanah itu, bermakna tamatlah segala skandal yang meribut tak sampai sebulan ini.
Dan kemarahan kita tadi semua reda, secepat padamnya api kecil yang disimbah sebekas baldi besar berisi air sejuk. Kita, teruskan hidup seperti biasa. Merangkak turun dari katil seawal pagi ke tempat kerja sehingglah langit bertukar warna, kita pulang merangkak semula ke rumah.
Korupsi yang keberapa kali ini disisip perlahan masuk ke bawah karpet merah, juga seperti biasa.
Kawan,
Satu yang perlu aku dan kamu tahu,
Bilamana melibatkan kuasa, wang dan pengaruh, manusia di ceruk mana sekalipun menganuti agama yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak