Sehari sebelum ramadhan aku ternampak seorang lelaki tua yang cacat kakinya terbaring meratap di kaki lima stesen LRT ampang park. Di sisinya ada sebuah cawan plastik yang berisi beberapa keping not ringgit.
Lelaki tua itu berpakaian lusuh, ketayap berwarna cokelat yang dipakainya sudah kotor, kaki kanannya kurus melidi dari kaki sebelah kirinya (ya, dia cacat) dan dan dari wajahnya yang menderita itu, dia bukan berbangsa Malaysia. Dia mungkin dari Bangladesh, atau Myanmar atau dari mana mana sahaja.
Itu tak penting.
Yang pentingnya dia kelihatan sangat terseksa. Boleh jadi dari raut wajahnya, dia memberi isyarat kepada yang lalu lalang supaya melarikan dia pergi dari kaki lima. Membawanya lari untuk membebaskan diri dari meniarap di jalanan. Dia tidak kepingin pun not not ringgit yang dilempar masuk ke dalam cawan plastik. Kerana wang wang yang terkeronyok di dalam cawan plastik tidak akan menjadi miliknya pun.
Entah celaka manalah yang membawa dan membiarkannya terbaring di situ aku terfikir.
Si celaka itu mungkin sedang enak mengenakan kopi panas di kedai sebelum datang semula untuk memungut hasil dari hambanya, si tua cacat.
Ramai dari kalangan kita mengatakan situasi seperti itu didalangi sindeket sindeket tertentu. Mereka menyuruh budak, orang cacat dan perempuan perempuan yang entah dari mana mereka kutip untuk dibuat hamba.
Aku tak tahu. Tapi melihatkan lelaki tua yang tidak berupaya itu aku yakin tidak mungkin dia boleh "berjalan" dan membaringkan diri di kaki lima untuk meminta sedekah.
Aku harap syaitan yang menindas golongan-golongan sebegini cepat cepat mati. Cepat cepat dijilat api neraka. Serakus mana mereka mengerjakan golongan ini serakus itu jugaklah harapnya api neraka meratah batang tubuh mereka.
Seperkara mengenai ramadhan yang dikenali sebagai bulan memuhasabah diri, ia adalah bulan di mana proses mengajar umat untuk berakhlak mulia. Berpuasa adalah satu platform/pratik praktik mengambil peduli akan hal kesusahan orang lain, menyerah diri untuk berbuat baik tanpa mengharap balasan, menghakis diri dari sifat materialisme dan bersederhana serta beribu lagi perkara perkara yang mengajar manusia untuk memanusiakan manusia.
Ia bukan semata mata ritual tahunan yang wajib diikuti. Ianya tidak hanya bermula dengan bersahur kemudian berlapar dan apabila matahari terbenam makanan yang melimpah bertalu talu ditelan masuk ke dalam perut. Berpuasa adalah satu ruang untuk mengabdikan dan mendekatkan si hamba pada tuhan yang esa. Berpuasa jugalah mengajar kita untuk bertoleransi, memartabatkan sikap hormat menghormati serta menjalankan tugasan manusia untuk berpihak pada yang tertindas. Kerana mendekatkan diri pada yang esa juga beerti peranan peranan si hamba pada persekitarannya.
Kamu dan aku mesti bersetuju yang bulan puasa ini adalah bulan meraikan bazar-bazar ramadhan, promosi barang-barangan dan jualan besar besaran. Kerana bazar-bazar yang menjual seribu macam makanan, baju, aksesori dan macam macam lagi tumbuh melata di setiap inci jalanan. Belum pun berpuasa, pusat beli belah sudah memulakan jualan potongan rendah sempena aidilfitri.
Masyarakat menyambutnya dengan hati yang girang. Cuba kamu lihat majoriti yang keluar dari bazar ramadhan atau dari pusat membeli belah, berapa jumpah plastik yang mereka pegang? Berapa pula jumlah total yang telah mereka belanjakan?
Anehnya, mereka-mereka ini sering berpesan pesan akan kesederhanaan manusia mulia, nabi Muhammad saw ketika berbuka puasa. Mereka selalu menggambarkan mulianya akhlak nabi dalam setiap aktiviti harian baginda.
Tetapi cubalah lihat akhlak mereka. Berapa banyak makanan makanan yang berderet deret penuh disusun di atas meja. Cuba lihat akhlak mereka ketika membeli belah untuk persediaan hari raya. Akhlak seperti inilah yang membuatkan kita keliru. Akhlak beginilah yang terang-terang mempersembahkan ramadhan sebagai satu festival. Ianya satu pesta yang dilihat luar sebagai memperagakan kesucian bulan sementara di dalamnya sesak dan hingar dengan tawar menawar.
Walau begitu, ada juga di suatu sisi yang mana aku berfikir, mengapa ya para peniaga sebagai contoh, peniaga-peniaga di masjid jamek yang sanggup berniaga selama 24 jam ketika ramadhan?
Adakah mereka terpaksa menyibukkan diri untuk mencari wang demi survival diri? Atau mereka tidak mempunyai apa-apa pilihan selain dari merebut peluang sebulan ini untuk menampung kehidupan yang semakin sukar? Atau juga, adakah kerana faktor ekonomi yang tidak stabil, sistem ekonomi yang tidak adil menyebabkan mereka yakni peniaga dengan rela hati terpaksa berkorban masa, menolak untuk bersama keluarga, anak-anak dan mempunya ruang untuk diri sendiri?
Bagi aku, tiada manusia yang mahu menyusahkan diri untuk semua itu andai ekonomi nasional diurus tadbir dengan baik. Manusia mana yang mahu meninggalkan suami atau isteri dan anak-anak dirumah semata mata untuk bergelumang dengan kepayahan jika hak-hak mereka terjaga. Selama mana akhlak berperanan dalam memberi hak kepada yang berhak, selama itulah manusia akan hidup dalam aturan yang dipermudahkan.
Bulan puasa juga dilihat sebagai bulan mengejar pahala. Sebolehnya mereka yang berpuasa mahu membuat amal jariah sebanyak boleh. Tidak hairan kita melihat ramai yang sanggup menghabiskan wang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, orang-orang miskin dan tidak kurang juga yang sanggup berjalan di tengah kota pada awal pagi untuk memberi golongan gelandangan makanan sahur.
Terhibur apabila membaca status seorang kawan yang aktif mengadakan kelas tambahan untuk anak-anak di chow kitt memberi nasihat kepada yang mahu memberi sahur seeloknya menghunbungi mana mana NGO yang aktif menyalur bantuan pada gelandangan supaya makanan yang diedarkan tidak membazir. "itu bukan rahmat, itu sampah" katanya.
Keadaan ini sedikit sebanyak menjelaskan pada kita yang sebenarnya masalah kebuluran atau masalah ketidakcukupan makanan boleh diselesaikan sendiri dengan tangan tangan masyarakat. Namun apa yang menyedihkan, aktiviti begini hanyalah bernyala marak ketika ramadhan. Bila habis saja ramadhan, anak-anak yatim tidak lagi dikunjungi, gelandangan berterusan hidup di celah celah lorong, anak anak kecil di jalanan ditinggal tanpa disantuni.
Rupanya masyarakat hanya terkejar kejar pada pahala. Mereka lupa, tanggungjawab sosial begini yang disemai pada ramadhan wajib diteruskan. Ianya kesinambungan dalam mengejar status akhlak yang baik, akhlak yang berpihak pada mereka yang ditinggalkan di belakang.
Entah apa masalahnya pahala yang dikejar dalam ramadhan tidak berterusan di bulan yang lain. Atau kita hanya fikir yang penting adalah pahala. Rasa belas dan kebertanggungjawaban pada mereka yang memerlukan itu tidak penting.
Jadi melihatkan si tua berkaki cacat di kaki lima stesen ampang park mempersoal aku, bagaimana ramadhan kali dapat membentuk akhlak kita untuk memperjuangkan nasib dirimya dan kawan kawannya yang lain?
Tidak, kita tidak bercakap soal berapa keping not kita taburkan ke dalam cawan plastik milik dia. Kita bercakap soal, bagaimana masyarakat akan mengangkat si tua berkaki cacat ini keluar dari kemelut perhambaan. Jika benar dia adalah hamba kepada sindeket celaka itu, cara apakah yang akan membatu nisankan aktiviti sindeket ini?
Ia semuanya persoalan akhlak. Di akhirnya kita akan melihat samada puasa ini memperbaharui akhlak seterusnya berterusan diaplikasikan di bulan bulan yang lain atau kita memperolehi berpuluh jenis makanan di atas meja, berhelai helai pasang baju baru atau beratus ratus gambar berserta hashtag "alhamdulillah, iftar dengan anak-anak yatim" yang berjaya memperoleh beratus like dalam bulan mulia ini.
Oh ya,
2,3 hari yang lepas, harga minyak naik lagi.
Agak-agaknya, Bagaimana ya akhlak yang seharusnya berdepan pemerintah sebarbarik ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak