Isnin, 4 Januari 2016

DILEMA AURAT PRAMUGARI MAS DAN SECAWAN ARAK

Membaca posting Dr Maza mengenai keluhan hiba seorang wanita pekerja MAS kerana terpaksa untuk tidak memakai tudung dan menyediakan arak kepada penumpang menimbulkan beberapa persoalan.

Masyarakat, terutama dari kalangan melayu islam begitu senang sekali menggelupur apabila isu arak, tak pakai tudung , anjing, babi digendangkan. Seolah keimanan yang mereka bajakan setiap hari begitu rapuh seperti kayu yang digigit anai-anai. Sehingakan ada dikalangan mereka yang sensitivitinya di tahap longkang mengatakan antara faktor kapal terbang MAS yang hilang dan ditembak itu adalah kerana balasan tuhan berfaktorkan MAS membenarkan arak dihidang dan pramugarinya yang memakai kebaya sendat.

Kebebasan untuk mempraktis apa jua religius yang kamu imani itu adalah anjuran yang sangat besar. Betapa diktatornya majikan atau siapa saja yang menghalang pekerja atau mana mana individu mempraktis tuntutan agamanya hanya kerana polisi organisasi/perniagaan yang dijalankan. Justeru, jika ada pramugari yang mahu mengenakan tudung walau ketika bertugas, tiada salahnya untuk menerima.

Begitu juga isu arak yang dihidang di dalam kapal terbang. Jika pemerhatian dialih ke sisi lain, alkohol yang disediakan (buat penumpang yang memerlukan) dijadikan sebagai daya penarik. Buat mereka yang mengkonsum, arak menjadi pilihan kerana itu adalah minuman yang sering diminum. Perlu diakui juga arak, adalah satu dari daripada bisnes yang berbasiskan keuntungan. Religius atau tidak, syarikat syarikat gergasi arak memproduksi alkohol keraja tujuan bisnes dan bermatlamatkan keuntungan dari konsumer. Anjuran untuk tidak menyediakan arak tidak saja sepatutnya berlegar kerana sentimen religius semata, keuntungan perniagaan malah lebih dari itu ianya merayakan kepentingan menjaga kesihatan. Maka orang orang seperti Ian Mckaye (minor threat/Fugazi/the evens) dan kugiran staright edge lokal seperti Second  Combat misalnya, mungkin akan bergembira dan bersetuju untuk berkata tidak kepada penggunaan alkohol.

Tetapi, itu bukan poinnya. Samada pakai tudung atau tidak, menyediakan arak di atas kapal terbang atau tidak itu bukan perkara yang mahu dibincangkan.
Poinnya ialah, mengapa majoriti masyarakat begitu terkejar dengan bab aurat pramugari MAS dan arak  tetapi kerap kali menutup mata kepada permasalahatan besar seperti isu kebajikan pekerja ( dalam konteks ini, kita bercakap perihal pekerja MAS).

Dengan kemunculan "airline" baru yang mengkomoditikan sentimen relijius, Rayyani Air, masyarakat secara tiba-tiba berkongsi papan kekunci mendesak MAS untuk segera "patuh syariaah" dengan mengusahakan pramugarinya menutup aurat dan menghapus penyediaan alkohol saat penerbangan.

Mungkin masyarakat sengaja melupakan dosa MAS tahun lalu apabila Christopher Mueller, CEO MAS mengumumkan seramai 20,000 pekerja MAS diberhentikan. 6,000 pekerja diberhentikan terus, 2,000 yang lain diberikan kontrak sementara bakinya seramai 14,000 pekerja ditawarkan sebagai pekerja di syarikat MAB (syarikat penerbangan malayisa) sebuah gantian kepada MAS.

Penstrukturan semula yang dibawa MAS dengan cara memberhentikan pekerja menjelaskan kepada semua bahawa agenda kapitalisma digunakan sebagai keputusan muktamad. 

Apa? Agenda kapitalisma? Apakebendanya tu?

Kontrak kerja sementara yang ditawarkan adalah satu penganiayaan kerana dalam kebanyakkan situasi pekerja berada dalam risiko dimanipulasi dan dizalimi majikan kerana tiada jaminan hak saksama seperti pekerja tetap. Manakala yang diberi jawatan baru di MAB pula, beberapa manfaat kerja seperti yang diperoleh ketika bersama MAS dahulu telahpun dihakis dan semestinya pendapatan bulanan telah dikurangkan.

Manakala kesatuan kerja MASEU (kesatuan kerja sistem penerbangan malaysia) juga telah dibubarkan merancakkan lagi pelan majikan menggagalkan partisipasi pekerja dalam kesatuan dalaman.

Satu yang paling pasti, ketika ketirisan dan kelemahan majikan kapitalis terserlah, kelas pekerjalah yang menjadi mangsa. Masa depan mereka diragut menjadi korban kepada kriminal kelas kapitalis yang sewenang wenang berbuat keputusan untuk kelangsungan keuntungan tembolok mereka.

Khazanah sebagai agen pelaburan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kesilapan pengurusan MAS yang menjadi punca kerugian mega sepatutnya menggalas tanggungjawab bukan dengan menjadikan kelas pekerja sebagai mangsa. Pembuangan pekerja ini dilaporkan sebagai pembuangan kerja yang paling besar dalam sejarah.

Di sinilah soalan klise tetapi tetap relevan bergema lagi, "di mana barisan orang orang agama, pejabat mufti, pejabat agama dan masyarakat majoriti ketika pekerja MAS disingkirkan?

Tidak ada satupun di kalangan mereka yang menitiskan air mata. Tidak ada satupun dari mereka datang berjumpa dengan pekerja untuk menyatakan kebersamaan. Tidak ada satupun dari mereka mengorganisasi pelan-pelan untuk mendesak MAS supaya tunduk memberikan keadilan kepada kaum pekerja terlibat.

Yang ada hanyalah nasihat-nasihat memualkan "bersabarlah" ,"rezeki ada di mana-mana" , begitu lemah longlainya mereka-mereka yang katanya begitu fasih hukam hakam melibatkan halal haram mendirikan menara kebenaran di tengah-tengah medan penindasan. 

Begitulah hakikatnya apabila masyarakat dididik untuk menuruti sistem. Mereka diajar menuntun punggung punggung pemerintah, autoriti, orang-orang agama yang tidak jujur untuk tidak melihat apa sebenarnya di hadapan mereka.

Soalnya,
Sampai bila masyarakat mesti bersikap lembik membiarkan diri mereka yakni kelas pekerja sebagai golongan majoriti dipecah pecahkan dengan rancangan-rancangan barbarik sang penindas?

*disiarkan di malaysian insider 6 Januari 2016


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak