Khamis, 24 November 2016

JIHAD SELFIE

"Terinspirasi" aku anggap sebagai sebuah anugerah, hadir tanpa diduga, langsung menghinggapi hati dan perlahan lahan mencorak sikap dan perbuatan kita.

Terinspirasi ialah pemberian dari Tuhan semesta alam. Itu perkara yang tak mungkin dapat disangkal.

Anugerah Noble (literasi) baru baru ini memartabatkan penyanyi folk-rock legenda, Bob Dylan sebagai pemenang kerana kerja-kerja seninya yang bertahun.

Walaupun penganugerahan terhadap Dylan dikritik, cuba kita congak berapa juta umat telah terinspirasi akan hasil seni Dylan? Lagu-lagu dan tulisannya mengenai anti - perang, mesej-mesej keamanan, keadilan sosial sudah menginspirasi berjuta umat dari detik pertama dia di pentas dan sehingga hari ini, kita semua masih bersiul lagu-lagunya.

Maafkan aku. Tidak pulak aku ingat tajuk dokumentari yang mahu ceritakan disini. Namun, aku sentiasa mengingati watak utama dokumentari tersebut.

Watak utamanya adalah seorang lelaki muda, imigran dari Mexico di Amerika. Datang dari keluarga yang susah, melarikan diri ke Amerika dengan cita-cita mengubah nasib diri, isteri dan keluarga. Lelaki imigran ini bekerja sebagai buruh binaan (kalau tak silap). Hidupnya biasa- sama seperti kelas pekerja lain.

Setiap hari selepas pulang dari tempat kerja, isterinya sudah menyediakan puluhan pek kertas mengandungi makanan dan minuman. Si lelaki imigran tadi akan meletakkan pek-pek makanan tadi ke dalam trak kecilnya dan kemudian menuju ke lorong-lorong di pekan untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan-gelandangan.

Kerja berkongsi makanan itu diteruskam setiap hari. Tanpa rungutan, tanpa rasa jemu dan yang paling mengagumkan, si lelaki imigran tersebut hanya seorang buruh.

Berapa banyak gaji kecilnya digunakan untuk tujuan menyediakan makanan kepada gelandangan setiap malam?

Kebiasannya, bapaklah orang yang paling seronok masa aidilfitri. Jadual beraya kami cukup padat setiap tahun, tiada ruang luas buat aku dan adik-beradik lain menonton rancangan raya di tv. Paling kurang, selama tiga hari berturut-turut bapak akan mengusung kami beraya ke rumah pakcik-makcik, saudara mara kenalan lain dari pagi sampai ke malam.

Aku masih ingat malam raya kedua, ketika bapak sedang memandu ke rumah Tok Tam, tiba tiba dia berhenti. Kemudian dia keluar dari kereta dan menuju ke seorang lelaki yang yang sedang menunggang basikal. Di bahagian belakang lelaki tadi, ada seorang perempuan dan anak kecil.

Aku nampak bapak menghulurkan sejumlah wang kepada lelaki tadi, dan mereka bersalam salaman.
Sampailah ke hari ini, aku masih ingat kejadian tu, kerana bangganya aku kepada bapak membantu keluarga itu walapun aku tahu nilai ringgit diberi bapak tidaklah banyak.

Jadi kalau ada orang tanya aku, kenapa aku sanggup habiskan jam jam di hari minggu berkongsi makanan dengan gelandangan, jawapannya mudah - kerana terinspirasi dengan lelaki imigran dan bapak.

Aku pernah mengikuti beberapa NGO menyediakan makan malam kepada gelandangan di sekitar KL. Tapi tak lama. Kerana aku tak suka dengan halatuju sestengah NGO yang bergerak atas dasar kelangsungan politikal. Ada satu NGO tu terang-terang muncul dari cawangan parti politik dan kerja depa mengambil gambar sebanyak yang boleh ketika mengagihkan makanan kepada gelandangan.

Bersama Zamri, Yaser, Najiv, Sharul, Anuar, Faizul, Ijon, Sly, kami mulakan langkah pertama kerja sosial kami pada tahun 2013. Nama buburborjuis itu sendiri sangat misteri, sampai sekarang kami pun tak tahu siapa yang berikan nama tu.

Buburborjuis tidak menetapkan spesifik harapan, misi, cita-cita nak mengubah dunia yang besar. Cukup sekadar konsistensi dalam menjalankan aktiviti berkongsi makanan dengan gelandangan.

Di awal-awal tahun, bububorjuis menumpukan fokusnya di sekitar Puduraya. Kami bermula dengan berkongsi duit untuk membeli nasi lemak dan minuman panas. Namun selepas beberapa sesi, kami menukar menu kepada bubur gandum, bubur kacang hitam, roti dan minuman panas. Ini kerana Pak Amran seorang kenalan gelandangan memberi pendapatnya kepada kami. Katanya, gelandangan tidak memerlukan makanan berat pada waktu malam, cukup dengan makanan ringan seperti bubur dan roti.

Kami kemudian berkenalan dengan Religion Of Love kendalian Hussin dan langsung kami putuskan untuk menyediakan makanan kepada anak-anak chowkit selepas kelas tuisyen mereka kendalian ROL.
Sehinggalah hujung tahun 2015, kami mula memikirkan pelan lain. Disebabkan sudah ramai individu-NGO yang memberi makanan pada waktu malam, keadaan menjadi tak terkawal; banyak pembaziran makanan, kawasan tempat tidur gelandangan menjadi sangat kotor.

Aku terus mesej Aini, untuk bertanya pendapatnya tentang idea menyediakan sarapan kepada kawan-kawan gelandangan.

Aini merupakan seorang kawan yang mengatur jadual penyediaan makanan di kelas tuisyen ROL dulu. Orangnya cergas, bersemangat dan sentiasa sibuk.

Kebetulan masa aku mesej dia, Aini sedang menjadi sukarelawan di Germany untuk kerja-kerja sosial. Aini pantas mesej aku dan berkata "why not? Good idea anyway!"

Disember 2015, aku berjumpa Aini untuk berbincang pasal projek koloborasi kami dan awal Jan 2016 sehingga kini, buburborjuis X happybank mengadakan sesi bersarapan untuk 200 gelandangan di 5 kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Aku pernah menulis dulu pasal kerja berkongsi makanana ni. Kerja begini bukannya susah pun. Kamu ada wang, ada sedikit pelan, panggil dua, tiga orang kawan - nah, kamu dah boleh beri makan kepada mana-mana gelandangan.

Tapi kerja begini menuntut konsistensi. Awal-awal aktiviti, semangatnya kamu sampaikan tak boleh ditukar gantikan dengan jutaan ringgit malaysia-dengan misi nak ubah dunia kononnya, dengan kamera nak muatnaik gambar di facebook untuk tatapan abah dan mak di kampung dan azam yang menebal meneruskan kerja mulia berkongsi makanan.

Tapi persoalannya, sampai bila kamu boleh marakkan semangat macam tu?

Kerja senang cepat menjemput kebosanan. Lama kelamaan, bila like gambar di facebook dah berkurang, komen-komen pujian makin merudum, dana pulak dah macam tak ada siapa nak carikan, mulalah kamu rasa malas. Selfie stick yg kehulu kehilir kamu bawa masa beri makanan pun dah kamu campak entah ke mana.

Ada orang cakap "sampai bila nak beri makan pada gelandangan? Bukankah ia memanjakan mereka? Bukankah juga itu bukan cara efektif memberdaya mereka? Bukankah kita mesti mencari jalan memberikan apa yang mereka perlukan?

Dalam video yang disiar AJ+, di Amerika ada sekumpulan sukarelawan mencari dana yang besar dan kemudiannya menyediakan rumah pada gelandangan-gelandangan Amerika. Di akhir video berdurasi kurang empat minit itu, seorang gelandangan kelihatan sangat gembira dan mengatakan pemberian rumah inilah melengkapkan apa yang dia perlukan.

Aku bersetuju jika kamu mengatakan dengan memberi makanan sahaja tidak akan beri penyelesaian kepada isu gelandangan.

Krisis gelandangan sebahagiannya berpunca dari jurang kaya-miskin yang makin menebal hasil tataan sistem ekonomi yang pincang, tapi ia juga berpunca dari masalah dalaman ; ada juga individu/keluarga bergelandangan kerana dibuang keluarga.

Bagi aku, isu gelandangan adalah isu yang akan sentiasa wujud. Terserah bagaimana peranan masyarakat membereskan isu sehingga krisis begini merudum seminimum mungkin.

Dalam buku Down and Out in London & Paris, bab ke-36,  George Orwell merakamkan pendapat peribadinya, "seorang manusia yang kesusahan tidak akan ditanggung oleh jiran-jirannya.."
Kita tidak hidup dalam suasana di mana jika ada sesiapa di persekitaran mengalami kesusahan, kira mengambil tanggungjawab untuk memperbaiki kesusahan yang dialami supaya individu/komuniti itu kembali menjalani kehidupan semula.

Mahu atau tidak, perlu diakui, kita hidup paling kurang untuk merasa belas dan bersyukur atas sebab tidak menerima musibah yang dihadapi orang lain. Justeru, keperluan untuk merubah musibah ditinggalkan.

Kata George Orwell,
"Masalah sebenar yang perlu diselesaikan adalah tentang bagaimana untuk mengubah seorang gelandangan yang melalui hidup yang membosankan dan separuh mati kepada manusia yang menghargai diri sendiri."
Aku bersetuju dengan keselesaan dalam erti menyediakan makanan, baju kepada gelandangan tidak akan mengubah nasibnya.

Kebanyakkan gelandangan merasakan mereka bukan lagi sebahagian dari masyarakat, lagi-lagi apabila jenis keselesaan yang masyarakat berikan itu membuka jurang kasta "antara pemberi dan penerima".

Aku berkeyakinan kerja membereskan hal gelandangan memerlukan tempoh yang infinit, tidak ada titik akhir dan sentiasa progresif. Kuncinya bagaimana kelas masyarakat berpartisipasi untuk menguruskan dari urusan pertama sehingga urusan terakhir yang mana kita sudah melihat gelandangan dapat berdikari dan kembali kepada masyarakat.

Bagi aku, apa yang dapat merubah nasib gelandangan ialah dengan mendapat kerja dan gaji yang diterima adalah sama seperti mana yang diberi kepada pekerja lain. Ertinya, paling kurang, gelandangan yang diterima bekerja mesti digajikan dengan standar gaji minima, supaya dia boleh memenuhi keperluan kehidupannya.
Bukan setakat diberikan kerja dan gaji malah perlahan-lahan mereka mesti dimonitor dari sehari ke bulan sampai ke tahun sehinggalah gelandangan itu sudah membebaskan diri dari kemelut hidupnya dan kini dapat berjalan seiringan dengan kumpulan masyarakat yang lain.

Dan ini tidak semudah menulis atau membahas idea, ia menuntut dedikasi dan keperluan partisipasi kelas masyarakat dan jaringan yang sangat besar dalam memberdayakan teman-teman di jalanan.


Buburborjuis bukanlah siapa-siapa. Mereka hanyalah kumpulan kolektif kecil yang cuba cuba mengambil bahagian. Apalah sangat dengan usianya yang baru mencecah empat tahun, yang lebih utama soalannya; dimana kumpulan ini berada pada sepuluh tahun mendatang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak