Khamis, 24 November 2016

MENCABAR TEMBOK KEANGKUHAN MASJID

Sengaja tajuk di atas ditulis untuk memberi mesej provokasi.

Tunggu sehingga noktah terakhir, kalian dibenarkan berteriak histeria, mencaci setiap baris perenggan malah dibolehkan membakar agar anak cucu kalian terpelihara dari sogokan-sogokan yang dipromosi tulisan ini.

Kadang-kadang, mengkritik insititusi (pengurusan) masjid boleh menjadi terlalu klise, membosankan dan sia-sia. Apalagi jika kritikan-kritikan itu berunsur cacian semata tanpa bermatlamat menumbuh kesedaran umat yang semakin difeudalkan pengurusan masjid. 

Kiranya sudah ramai, terutama sekali anak muda menulis perihal kekecewaan mereka terhadap masjid. Mesej makian sahaja tidak cukup produktif, kita mahukan lebih dari itu kerana bukankah kita mengimani bahawa setiap masjid adalah markas penrganisasian umat?

Sekarang bolehkah kalian  memandang masjid berhampiran komuniti kalian.
Apa yang kalian nampak? Apa yang menarik perhatian kalian?

Keindahan, kecantikkan, kemegahan struktur binaannya, bukan? 

Baik, tanggalkan selipar kalian dan mulakan langkah memasuki ke dalam ruang masjid. Ceritakan, apa pula yang boleh kalian saksikan?

Dua TV Plasma sekurang-kurangnya dilekatkan di bahagian kiri dan kanan penjuru. Karpet lembut mewah yang mendakap tapak kaki pengunjungnya. Atmosferanya yang segar lagi menyenangkan kerana deruan penghawa dingin. Almari kayu jati, tempat menyimpan kitab-kitab Quran dan buku-buku hadith. Manakala lampu Chandelier yang gah dengan ribuan kristal memayungi bahagian siling.

Jika benar inilah apa yang kalian saksikan, maka benarlah yang ditulis Eko Prasetyo dalam bukunya terbitan Resist Book "Assalamualaikum, Islam Itu Agama Perlawanan" - Agama memang harus bersentuhan dengan budaya pasar. Ikatan agama yang memiliki banyak nilai-nilai kebajikan kemudian beradaptasi dengan nilai-nilai pasar. Kompetisi yang jadi nilai utama diadaptasikan dalam bentuk berlumba-luba untuk membangunkan masjid yang megah. Di tiap kampung rasanya belum afdol kalau masjidnya kecil dan tidak mempunyai pendingin. Masjid dipersolek habis-habisan dengan kepercayaan kalau rumah Allah mesti indah dan megah. Bangunan masjid yang megah kerapkali berlawanan dengan jumlah jemaah yang meramaikannya. Aristektur masjid yang menawan tidak diimbangi oleh kualitas kegiatan dan ini yang membuatkan masjid yang kehilangan spirit. 

Kita tidak menyangkal kegiatan siri-siri kuliah/tazkirah yang dikendali agamawan di ruang masjid. 

Namun yang kita soalkan mengapa masjid kerapkali membelakangi soal kesusahpayahan yang dihadapi masyarakat. Mengapa yang dipentingkan masjid ialah menganjurkan majlis selawat yang menelan perbelanjaan besar sedangkan dana awam yang diperolehi boleh digunakan untuk memberdayakan kelas masyarakat yang perlu dilindungi? Mengapa ahli-ahli jawatankuasa masjid lebih suka mempromosikan anjura berwakaf dengan harapan masjid boleh diperbaharui solekannya ; pagar baru, karpet yang lebih berkualiti tatkala dan lain-lain. 

Apakah fungsi masjid hanya menyediakan siri-siri kuliah harian, forum perdana, selawat perdana, mengacau bubur asyura, menambah jumlah derma dan bergotong royong?

Ramai dikalangan kita mengangkat tangan tanda setuju apabila mengatakan di zaman Nabi, masjid bukan sekadar tepat beribadah, malah masjidlah menjadi acara pentadbiran negeri, ruang berpolitik, platform merangka struktur-struktur memberdaya masyarakat. 

Jadinya, mengapa sekarang, yang ada hanyalah pesan-pesanan seolah meletak hal-ehwal urusan dunia di bahagian belakang sementara wajah masjid itu disolekkan dengan kemegahan? 

Masjid bukanlah tempatnya berdiskusi kecurangan pemerintahan. Ia sama sekali jauh dari peranan mengkader umat-umat bukan sahaja membenci korupsi, rasuah dan penyelewengan, bahkan ia tidak menyedarkan kumpulan kepentingan membanteras kecelakaan. 

Berapa banyak masjid yang membuka ruang diskusi saat kelas masyarakat ditekan dalam rangka ekonomi yang didominasi kelas pemodal? Berapa banyak masjid berbincang perihal cukai yang saban hari semakin membebankan. Berapa ramai penceramah datang ke masjid untuk memberi mesej jelas kepada masyarakat membanteras kemiskinan?

Lihat Masjid Negara Kuala Lumpu sebagai contoh. Pagarnya, tembok-tembok gagah yang mengelilingi masjid, keluasannya yang dahsyat, tarikannya sebagai mercu tanda banda raya yang kononnya punya roh relijius tidak mampu menyelesaikan masalah puluhan gelandangan yang tidur di kawasan datarannya. Lebih selekeh, pintunya tidak pernah terbuka kepada mereka yang berbumbungkan langit kelam, bertilamkan lantai dingin. 

Lalu bagaimana seharusnya masjid-masjid diubah paksinya, fungsi dan memaksimakan peranannya?
Tentu sekali, pengurusannya perlu dibebaskan dulu dari tangan-tangan yang tidak progressif dan digantikan dengan praktis-praktis agama yang sebenar.

Perubahan pasti tidak berlaku melainkan hari ini, kita semua sudah mula berani mencabar keangkuhan tembok tembok masjid!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak