Isnin, 14 Januari 2013

#112 : SOLIDARITI SELAMANYA

"Geylang si paku geylang,
Geylang si rama-rama,
Pulang, marilah pulang,
Marilah pulang,
Bersama- sama,
Pulang, marilah pulang,
Marilah pulang,
Bersama-sama"

Bangsa Malaysia yang hadir berdemonstrasi pada hari Sabtu, 12 Januari 2013 lepas, benar-benar merayakan  demokrasi yang sudah  lama dirindui.
Demokrasi yang sudah lama didera dengan pancutan ganas air kimia, gas pemedih mata, ancaman dan penghinaan daripada pihak kerajaan dan juga penipuan dari media-media yang korup terhadap bangsa Malaysia yang tegar menuntut perubahan.

Hari Sabtu, 12 Januari 2013 yang lepas merupakan hari raya buat bangsa Malaysia yang merdeka. Mereka rayakan dengan aman dan menyantuni demokrasi. Sentimen perkauman mereka runtuhkan, mereka nyalakan semangat solidariti.
Di kala panas terik yang dipancar matahari, keadaan yang sangat sesak, mereka, bangsa Malaysia tetap senyum dan melaung kata-kata perpaduan rakyat yang utuh. Apalah sangat dengan panas terik matahari dibandingkan dengan semangat perjuangan,yang mahu membebaskan Malaysia dari rejim yang semakin hari semakin angkuh dengan kuasa yang di salahgunakan.

Bayangkan,
Sepasang suami isteri yang sudah tua, datang dari utara, menaiki bas selama hampir 5 jam untuk hadir bersama-sama ratusan ribuan yang lain untuk bersolidariti di tengah-tengah kota yang terhimpit.
Jika diikutkan, himpunan rakyat tidak akan tempang sama sekali walaupun mereka tidak hadir.
Pasangan suami isteri ini bukanlah anggota NGO yang terlibat, jauh sekali merupakan ahli pimpinan parti yang terbilang.
Tetapi dengan semangat mahukan perubahan, mereka hadir, berpatisipasi untuk menzahirkan keinginan mereka menghirup atmosfera perubahan.
Inilah kuasa rakyat. Kerajaan tidak mampu lagi menghentikan rakyat daripada terus ditindas. Rakyat bukan lagi si dungu yang menuruti rejim yang zalim.

Abaikan sahaja laporan media-media korup. Sudah semestinya kita dapat menjangkakan apa yang akan dilaporkan dalam liputan mereka nanti. Bermula dari ayat pertama sehingga ke titik akhir, semuanya kita sudah hafal.

112 bukanlah hari penamat. Ianya bukan juga hari kemenangan lagi.
Kemenangan hanya dicapai bila rejim UMNO/BN sudah jatuh. Ini hanyalah hari permulaan kebangkitan rakyat. Kita semakin matang.
Ayuh Rakyat!
Bersama kita teruskan momentum yang garang ini. Kita jatuhkan rejim.
Kita bukan lagi bangsa Malaysia yang dijajah!

Solidariti Selamanya!

1 ulasan:

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak