Khamis, 24 November 2016

MENGAPA BEREDAR DARI DATARAN?

Warna kuning yang berselerak di sepanjang Jalan Ampang mudah benar melusuh saat manik-manik multi halus turun dari awan kelabu.
Ironinya, ribuan yang sebelum ini bertempik bersemangat "kita lawan" berjuta kali, pantas memenuhi ruang medan makan, restoran-restoran makanan segera di dalam menara berkembar sejurus dijerkah sang guruh sebelum dihalau air hujan.
Suasana kembali seperti sediakala. Kenderaan mula bergerak pantas mengambil posisi masing-masing kembali menyesakkan Jalan Ampang seperti hari-hari kebiasaannya.
Selepas bersalaman dengan Poji dan seorang pakcik yang baru dikenali, aku dan cikgu kelas artikel pergi menyelesaikan urusan solat. Kemudian, sementara menunggu keadaan sesak di stesen KLCC beransur tenang, kami membuang masa di Kinokuniya.
Bukan untuk membeli buku, tapi untuk mengasihani diri sendiri, menginsafi dan memperingatkan poket kontang akan halangan memiliki buku buku bagus di kala tengah bulan.
Di bahagian rak Science Politic, aku menjumpai buku Gene Sharp, penulis buku From Dictator to Democracy. Harganya macam biasalah. Buatkan kamu rasa sendu. Tapi aku bernasib baik kerana memiliki buku tu selepas memuat turun dari blog Rahmat Haron secara percuma.
Tahun ini tak seperti tahun lepas yang mana Dataran terbuka luas. Nak nampak polis dan FRU pun bukan main susah.
Tahun ini, Dataran dipagar. Jadi tak boleh masuk. Dari melepak tak tentu arah, penganjur ajak semua berkumpul di KLCC. Aku terima imejan tweet arahan tu dari mesej Aini. Di sepanjang stesen masjid jamek, ramai yang bertempik mengajak sekalian yang ada untuk bergerak menuju KLCC. Maka berbondong bondonglah kuning berjalan ke sana.
Aku dan Cikgu kelas artikel tertanya-tanya. Masakan begitu mudah semuanya berganjak. Begitu senangnya kita mengalah. Begitu tenang kita meninggalkan dataran (simbol reklaim akan tuntutan-tuntutan) tanpa sedikitpun merasa adanya signifikan berkumpul di sana. Dan lebih meresahkan, apakah ini tandanya kita sudah mula berkompromi?
Gene Sharp sang penulis From Dictatorship to Democracy berkemungkinan besar tidak gembira dengan tindakan kita.
Walau Gene Sharp menolak keganasan dalam merampas semula demokrasi dari tangan si angkuh pemerintah,(sepertimana yang ditulisnya), namun Gene dilihat tidak pro kepada perbincangan, sikap berkompromi.
Tulis Gene,
"Jika menyangkut isu-isu mendasar, perlawanan, bukan perundingan, adalah hal terpenting untuk menuju perubahan. Pada hampir semua kasus, perlawanan harus dilakukan untuk mengusir diktator. Keberhasilan tidaklah ditentukan oleh kesepakatan yang dicapai melalui perundingan, tetapi melalui perlawanan dengan cara yang tepat, berkesinambungan serta tangguh."
Jadinya mengapa kita beredar dari dataran? Seolah-olah kita bersetuju dengan "rundingan", tidak dibenarkan berkumpul di dataran.
Macam mana kita boleh terlepas pandang? Dataran itu simbol kepada kebebasan, cita ciata dan tuntutan kita, bukan? Jadinya sekali lagi aku bertanya mengapa ke KLCC?
Dan apa kejadahnya semua orang beramai ramai diperbudakkan dengan mendengar ucapan Mahathir, Muhyidin Yasin di hadapan KLCC?
Cukupkah sekadar berarak, bersorak bertempik, bergambar, mendengar ucapan-ucapan sampah
dan pabila hujan turun, kamu semua beramai ramai mengenakan secawan kopi panas di kafe O Brien bersama baju T Bersih?
Macam tu gayanya kamu angkuh katakan satukan tenaga?
Macam tu??

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak