Khamis, 24 November 2016

JIWA MEMALI DI DATARAN

Untuk mereka yang lupa, tak tahu atau buat buat tak ingat, hari ini adalah hari ulang tahun peristiwa Memali yang ke 31.
Aku bersengkang mata pukul 3 pagi menulis tulisan ringkas ini untuk memperingatkan diri sendiri akan tiadanya perang di dunia ini selain dari perang kelas.
Perang kemiskinan, perang antara 99% dan 1%, perang darjat, perang kasta ; semua ini adalah perang kelas yang mana peperangan yang kita sedang hadapi sekarang.
31 tahun lamanya, kaum petani, orang miskin di Kampung Memali mengajar kita erti keberanian. Mereka meninggalkan ingatan buat generasi sekarang tentang peri pentingnya berprinsip, berpendirian teguh dalam menghadapi hari hari sukar mendepani tirani.
Memali mencorakkan sejarah perlawanan atas sebab ketidakadilan, ketidaksamarataan antara masyarakat kampung dan elit pemerintah.
Mahathir dan Musa Hitam merupakan figura besar yang terlibat dalam sketsa berdarah Memali. Masakan kita lupa, kerana ketidakadilanlah menyebabkan generasi pasca Memali sehingga saat ini bergelut kehibaan dalam naratif gelap yang sehingga kiamat takkan mampu dipadamkan. Bayangkan, 13 syuhada pantas memanjat langit saat peluru-peluru dilepaskan, anak-anak kecil kehilangan ayah tersayang, isteri dan keluarga dimalukan dibawa ke penjara, tuduhan palsu yang melenyek maruah hanya kerana mereka berani menyatakan sikap, berani mendepani kereta kebal, berani berkata tidak walau status mereka sebagai kelas bawahan menghadapi kuasa kelas atasan.
Aku terkilan teruk.
Sepanjang minggu ini, anak-anak muda yang ghairah berdiri beramai ramai di Dataran Merdeka tengahhari nanti berkongsi video ajakan seorang bekas Perdana Menteri yang pernah dulu mereka gelarkan firaun. Mereka bangga, seorang tua berusia 90 tahun masih bersemangat mengajak masyarakat menuntut perubahan. Tetapi, anak-anak muda ini jugalah yang lupa bekas Perdana Menteri itulah terlibat dan bertanggunjawab atas peristiwa Memali. Anak-anak muda inilah yang malas mencari kebenaran, beragama feudal dan kesudahannya mereka kemiskinan prinsip. Anak-anak muda ini lupa 13 keluarga dan orang kampung yang berjiwa besar itu lebih mulia dari mereka semua.
Semalam aku menulis tentang Bersih 5 dan kematangan kaum 99%. Ada yang merespon "tak boleh 'brain' mengapa demo aman tidak subversif".
Untuk mereka yang berfikiran begitu, aku ucapkan terima kasih membaca meski merasa kasihan kerana tidak boleh "brain" walaupun berjaya membaca artikel sebanyak 1000 lebih patah perkataan.
Kalian pernah dengar ungkapan"puisi sebagai senjata" atau "sebuah idea lebih tajam dari sebutir peluru" atau paling tidak "kata-kata lebih tajam dari sebilah pisau"?
Jika bukan kerana tulisan militan seorang yang bernama Bung Pram dan Buya Hamka, Kerajaan Indonesia tidak mungkin mengambil langkah membakar beratus-ratus tulisan mereka. Bung Pram tidak mengangkat senjata, dia cuma menulis . Dan tulisannya, ideanya, ajakannya lah yang bersifat subversif.
Protes/demonstrasi umpama sehelai baju T bercetak. Ia menggambarkan sekeping imej, mesej yang mahu disampaikan.
Tapi apalah gunanya baju T sahaja yang "gempak" jikalau jiwa sang pemakai itu selembik sotong?
Yang subversif itu ialah sikap, idea, pendirian, emosi massa.
Anjurkanlah protes untuk seribu tahun lagi.
Tetapi kalau yang dibawa ke lapangan protes ialah vuvuzela, kamera dan selfie stick, maka menangislah kalian untuk seribu tahun yang kemudian.
Jadi esok, tinggalkan vuvuzela, tinggalkan selfie stick, tinggalkan angan-angan memuatnaik gambar protes bersama elit politikus untuk tatapan isteri,tunang,kekasih hati di rumah. Bawa hati dan jiwa. Bawa keberanian. Bawa cita-cita merubah dunia walau sepayah manapun. Ingatan untuk menerajang status quo ialah impian yang menelan jangka masa yang panjang.
Selamat berprotes kawan-kawan.
Buat mereka yang ke Rockaway, kirimkan salam kepada kugiran The Get Up Kids dan Taking Back Sunday.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak