Selasa, 7 Ogos 2018

ISLAM POLITIK : MEMBELA SUNNAH ATAU MEMBELA ELIT AGAMAWAN?



Yang paling lucu dalam kontroversi kartun karya saudara Amin Landak  di portal Malaysiakini hampir seminggu lepas ialah cara penerimaan PAS dan penyokong-penyokongnya.

Terang-terang, PAS pantas tidak nyaman dengan usikan sinis saudara Amin. Di laman facebooknya dan di lidah rasminya, Harakah,  PAS dengan lantang menyatakan karya satira itu begitu biadap.

Bertambah lucu, apabila adanya penyokong yang menganggap kartun satu muka surat itu sebagai suatu penghinaan terhadap pakaian sunnah! (dua watak dalam kartun itu dilukis berpakaian jubah dan berserban)

Tunggu sekejap!

Bagaimana kartun tanpa dialog yang jelas menyampaikan mesej sinikal mengkritik "hubungan dan dokongan erat" PAS kepada UMNO itu boleh sampai 'terlajak simpang' ke hal pakaian sunnah?

Katakanlah, sekiranya saudara Amin menggambarkan dua watak PAS dalam kartun yang sama berpakaian biasa, apakah respons "terasa terhina" akan tetap timbul?

Besar kemungkinan jawapannya, YA!

Tuan-tuan,
Didalam nuansa politik yang dijenamakan, dilabelkan dengan dokongan kepada praktis agama (Islam) yang diyakini berkiblatkan kitab suci dan sunnah, bukan sahaja ahli PAS, bahkan penyokong-penyokong (baca : individu atau kelompok masyarakat) mengamini bahawa apa sahaja cara, percakapan, persoalan, karya satira juga kritikan terhadap PAS dan mana-mana lembaga/organisasi berkaitan Islam dianggap sebagai satu penistaan terhadap agama.

Keimanan ini nyata disempurnakan dengan alasan bahawa elit-elit agamawan yang mengimami saf hadapan parti, organisasi dan lembaga mereka ini teguh berpandukan ajaran quran dan sunnah. Iktikad mereka bahawa inilah wajah sebenar  politik berpaksikan Islam (Islam Politik) tanpa ada keraguan walau sebesar zarah.

Maka, apabila adanya kritikan dari segi apa sekalipun,  PAS melalui ahli-ahlinya juga penyokong-penyokongnya membela, memprotes segala jenis serangan yang dituju kepada mereka mengatasnamakan pembelaan ke atas agama.

Soalannya,
Apa benar tindakan pembelaan ini untuk agama atau saja untuk membela elit agamawan yang menerajui parti politik, organisasi atau lembaga yang berjenama agama?

Roy Murtadho di dalam eseinya "Aksi Bela Islam : Antara Bela Agama dan Bela Orligarki" menggariskan definisi Islam Politik.

Kata Roy, "pada dasarnya, Islam Politik berwatak reaksioner dan anti perubahan. Islam Politik tak hanya di Indonesia, tapi juga di belahan dunia Islam lainnya, mereka tak pernah menjadi bahagian dari perjuangan pembebasan rakyat, bahkan seringkali terlibat melegitimasi undang-undang yang tidak berpihak kepada rakyat. Ikhwanul Muslimin di Parlimen Mesir, misalnya, sebagaiman ditunjukkan Samir Amin, memberi dukungan pada undang-undang yang berisi penguatan hak-hak kepemilikan peribadi yang merampas hak-hak petani yang merupakan majoriti petani kecil di Mesir."

Sekali imbas, kedengarannya, apa yang berlaku di Indonesia, Mesir dan belahan dunia lain, gerakan yang mempromosi Islam Politik tak ada bezanya dengan apa yang berlaku di Malaysia.

PAS dan organisasi Islam lain seringkali menjunjung slogan kepada Quran, Hadis dan Sunnah, tetapi bila kali terakhir masyarakat mendengar mereka membela separuh pekerja Malaysia yang menerima gaji bulanan kurang dari 2 ribu ringgit sebulan?

Apakah Islam Politik gagal menganalisa kegagalan membereskan tuntutan upah yang menyihatkan bakal menyebabkan bala kepada aturan sosial masyarakat?

Bila kali terakhir masyarakat mendengar PAS atau organisasi Islam lain membela kepayahan masyarakat sedangkan perbelanjaan istana rancak berlangsung?

Atau, bila kali terakhir golongan yang menyeru kepada pengembalian kepada kitab suci mendesak polisi dan dasar kenegaraan diperketatkan supaya alam ini dibela dari menjadi mangsa korban kapital demi sebuah kemodenan?

Beberapa minggu sebelum Pilihanraya Kecil di Sg Kandis, ada dua peristiwa berlaku selain kontroversi kartu Amin Landak.

Pertamanya, Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar lantang bersuara di Palimen mengatakan PAS tidak bersetuju dengan gesaan mengharamkan perkahwinan bawah umur kerana "bertentangan  dengan Islam". (Malaysiakini 25 Julai 2018.)

Nik Amar berkata"Kalau mengharamkan terus (perkahwinan melibatkan kanak-kanak) saya sebenarnya tidak bersetuju, sebab dari segi agama ia tidak salah, tetapi kita boleh mengawal".

Masalahnya sekarang ialah ada 5,362 permohonan perkahwinan bawah umur direkodkan Jabatan Kehakiman Syariaah Malaysia sejak 2013 sehingga Disember tahun lepas . (Berita Harian Online 19 Julai 2019)

Bagaimana mahu mengawalnya wahai Nik Mohd Amar?

Tidakkah kita tahu kesan fisikal, emosi terhadap anak-anak yang dikahwinkan seawal 13 tahun? Adakah tuhan merahmati tindakan melegalkan perkahwinan anak-anak ini?

Keduanya ialah desakan  PAS untuk menyediakan pakaian yang mematuhi syariah bagi Pramugari PAS. Mereka menganggap kenyataan balas Anthony Loke supaya "meredahkan pandangan" bila berhadapan dengan pramugari  sebagai tidak bertanggungjawab. (Harakahdaily 2 Ogos 2018).

Nah, dalam banyak-banyak soal yang lebih membela keperluan masyarakat hari ini, PAS ternyata lebih konsisten memfokus isu aurat, isu pakaian berbanding isu yang lebih merakyat.

Itulah watak dan cerminan perjuangan PAS dan organisasi Islam lain. Para Pencetus Ummah yang lain pula kini bersolidariti diatas pentas demi mencegah "kemungkaran" isu Safie Ilyas.

Jangan tanya bila mereka mahu bersolidariti atas ketidakadilan yang berlaku dalam dunia ini. Kerana ianya takkan berlaku.

Walaupun begitu, arguemen dan kritikan terhadap Islam Politik ini tidak boleh diremehkan. Ini kerana Islam Politik mempunyai kekuatan mempengaruhi massa yang majoriti besaprnya dari golongan muslim.

Sehingga detik ini, terlalu ramai muslim yang menegakkan sokongan terhadap keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan gerakan Islam.

Hujah mereka ringkas, "siapa lagi yang lebih benar antara pimpinan yang berbasiskan seruan agama dari pimpinan yang tidak?"

Nyatalah, selama ini dokongan massa yang cenderung kepada Islam Politik bukan kerana kiblatnya yang mendokong perjuangan membela masyarakat tetapi membela elit agamawan politikus yang "untouchable".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak