Sewaktu zaman persekolahan, subjek sejarah merupakan
subjek kegemaran aku. Aku gemar pada sejarah kerana, sejarahlah yang tidak jemu-jemu
menceritakan kegemilangan, kehebatan atau kejatuhan tentang peristiwa-peristiwa
yang telah berlaku yang secara langsung menyedarkan
dan memberi panduan untuk manusia pada hari ini. Pada sejarah, ia adalah method
yang ampuh untuk kita jadikan rujukan untuk bergerak maju di masa depan.
Sehingga hari
ini, sejarah akan selalu menangkap perhatianku untuk belajar dan berdikusi
walaupun aku sudah tak perlu membelek buku teks sejarah yang tebal-tebal tu.
Masa aku di tingkatan 1, cikgu sejarah aku bernama Cikgu
Aini (kot?). Dia ni garang, setiap kali kelas dia, dia akan tinggalkan kerja
rumah. Hampir 90% seingat aku, kerja rumah kami untuk subjek sejarah ialah
melukis atau photostat peta Malaysia. Aku pilih untuk melukis peta sendiri dari
buang duit untuk photosthat. Lepas lukis peta di buku latihan, aku kaler sikit
peta tadi bagi nampak cantik.
Akhir sekali, di sebabkan kerap melukis peta, lukisan
peta Malaysia aku semakin power. Nasib baik masa tu aku tak pandai nak ambik
upah lukis peta Malaysia untuk budak-budak pemalas yang kerjayanya asyik
photostat tu. Kalau tak, mungkin kedai photostat kat rumah aku tu dah lingkup.
Satu hari, Cikgu Aini suruh kami buat satu folio (macam
assigment lah). Tajuknya ialah membuat penyelidikan tentang tempat-tempat bersejarah/pusat
tamadun di Kedah. Cikgu Aini kata, kerja ni boleh dijalankan bersama seorang
partner atau nak lone ranger. Aku ber'partner' dengan member aku, namanya Fahmi
buat penyelidikan di Masjid Zahir.
Aku bukan nak bercerita pasal projek aku tu. Aku nak
cerita pasal seorang lagi member aku yang buat assignment dia sorang-sorang.
Tak silap aku, dia saja yang lone ranger dalam menyiapkan folio sejarah ni. Aku
memang nampak la kesungguhan dia dari awal pembikinan assignment sebab dia
menzahirkan komitmennya yang begitu 'impressive'.
Sebelum tu, aku nak bagitau yang dia ni bawak basikal
BMX. Budak X-Treme games la kononnya. Zaman tu, mempunyai sebuah basikal BMX
adalah sesuatu perkara yang teramat cool dan urban. Ramai awek-awek yang
tergedik-gedik nak berpakwekan budak BMX sebab nak nampak cool. Tapi aku tak
pastilah kalau awek-awek ni nak membonceng BMX bersama mat BMX ke pekan Aloq Staq
untuk bersosial.
Walaupun begitu, lain pulak dengan member aku ni. Takdak
awek yang nak menyendeng kat dia sekalipun dia bawak BMX. Jangan tanya hensem
ke tak dia ni, susah pulak aku nak jawab dengan ikhlas .
Berbalik pada kerja member aku tu, dia sudah merancang
untuk buat penyelidikan di Chandi Lembah Bujang. Dia tidak merujuk pada bahan-bahan
bacaan semata-mata malah dia sendiri ke sana dengan mengayuh BMX dari rumah dia
di Aloq Staq! Jauh perjalanan adalah dekat 70km lebih. Hebat ? Baca perenggan
seterusnya.
Dia bertolak sendirian, dengan keghairahan untuk mencari
bahan-bahan yang akan diterjemahkan dalam laporannya, kayuhan semangat bermula
pada seawal pagi. Bila sampai di sana, member aku ni ambil banyak gambar,
menyelidik dengan tekun dan bertanya pada orang-orang yang arif di kawasan
chandi tersebut. Setiap maklumat yang diperoleh ditulis supaya tak tertinggal untuk dipersembahkan
dalam laporan folio nanti.
Bila dia pulang ke rumah, untuk beberapa hari, dia mengurung
diri dan menumpukan sepenuh perhatian pada bahan-bahan mentah yang diperolehi
dan menyusun penyelidikannya dengan sangat teratur.
Bagi seorang yang baru berumur 13 tahun, laporan folio
member aku ni benar benar mencetus revolusi. Budak lain punya folio selekeh,
asyik photostat ja gambar tempat bersejarah. Tulisan lagi lah dah macam upah ayam untuk
tulis laporan. Tulisan member aku ni kemas, susun atur gambar-gambar di sekitar
candhi sangat sofistikated dan yang paling penting, isi laporannya jelas
menceritakan ketamadunan awal manusia di Kedah. Fakta-fakta yang ditulis dipuji
Cikgu Aini. Memang sesuailah member aku dapat A dalam folio dia.
Minggu lepas, candhi lembah bujang diterjah pemaju
kapitalis. Beberapa bahagian candhi dah dilupuskan untuk memberi laluan pada
pembangunan. Projek pembangunan akan terus dilakukan di kawasan sejarah awal
manusia ni dari masa ke semasa tanpa bantahan dari pihak kerajaan negeri
mahupun kerajaan persekutuan.
Celaka Bukan?
Bagaimana ya, aku mahu jelaskan pada anak aku tentang
tamadun awal manusia di Lembah Bujang nanti? Apa yang patut aku jawab kalau dia
ajak aku ke sana esok untuk melihat sendiri candhi lembah bujang? Macam mana
aku nak yakinkan dia tentang kegemilangan Kerajaan Kedah Tua atau Empayar
Kerajaan Langkasuka pada suatu masa dulu?
Aku tak mahu cerita di sini apa hebat dan pentingnya
Candhi Lembah Bujang buat orang Malaysia. Hampa boleh cari sendiri, sebab nanti
kalau aku cakap lebih-lebih ada orang kata semangat kenegerian aku tinggi
sangat.
Mukhriz, Menteri Besar Kedah berkata dalam satu laporan
berita, kerajaan negeri tiada kuasa untuk menghalang pembangunan di kawasan
candhi. Dan kawasan candhi yang terhapus akan didirikan semula nanti. Lihatlah
sendiri, atas nama pembangunan dan kemajuan, kita sanggup gadaikan warisan milik
generasi depan. Kita gadaikan sejarah dan tamadun kita yang kita peroleh secara
percuma dan memberi laluan pada golonganyang hanya pentingkan duit.
Tiada satu pun ahli politik baik dari pihak kerajaan dan
pembangkang yang bangun untuk menghentikan penghapusan Candhi Lembah Bujang. Dan
sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya rakyat Kedah masih mengelamun menonton
drama 'Playboy itu suami aku' dari memikirkan kesengsaraan yang akan
dialami disebabkan kehilangan warisan
beratus tahun dahulu.
Selalunya bila kita dikejutkan dengan isu-isu besar
seperti ini, kita akan berperang di Fesbuk paling lama 3 bulan. Kemudian,
kemarahan kita reda dan kita redha dengan kezaliman. Cuba ingat balik bila
minyak naik harga, hari-hari kita berada di saf depan Febuk untuk menghentam,
tapi selepas 3 bulan, kita berada di petrol pam dan isi penuh-penuh tangki
minyak kereta.
Berbeza dengan isu lain, isu penghapusan Candhi Lembah Bujang
hanya bertahan hanya seminggu saja! Sememangnya kita tidak peduli dengan
anugerah warisan yang kita peroleh dengan percuma. Ini adalah paras ukur di
mana, esok lusa tapak sejarah lain di Malaysia akan semakin pupus untuk memberi
laluan kepada kemodenan fizikal dan hanya akan terpampang dalam buku teks
sejarah anak kita sahaja.
Bila ditanya, 'boleh papa tunjukkan di mana candhi lembah bujang? Tanpa ragu kita menjawab ' hanya tinggal sejarah nak'.
Yang mengutuk rambut Rosmah dalam Fesbuk tak habis-habis mengutuk, yang memuja rambut
Rosmah pula akan konsisten dengan pendirian mereka. Rakyat biasa akan terus
sibuk dengan urusan mengumpul duit untuk hari tua. Di akhirnya, kemenangan akan
berpihak pada puak kapitalis, elitis dan
penguasa di atas kelalaian kita yang membiarkan segalanya diambil dengan begitu
mudah atas nama 'kemodenan'.
Oh ya, member aku tu bernama Mohd Nasrul Nizam. Dan aku
pasti dia mesti kecewa dan sedih dengan apa yang sudah berlaku pada Candhi
Lembah Bujang.
Malaysia yang kita diami ini sudah semakin kritikal,
begitu juga dengan kesedaran rakyatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak