Isnin, 30 Disember 2013

KISAH PALING MENYAYAT HATI

Aku memilih untuk tidak bercerita tentang kisah ini pada mulanya. Berat hati. Namun, semacam ada benda yang menolak-nolak aku untuk duduk dan menceritakan kisah ini. Akhirnya, setelah lama berfikir, aku rasa elok jugak untuk menceritakannya. Moga-moga dapat di jadikan teladan pada semua yang membaca, walau zahirnya aku merasa pahit, aku gagahkan diri.

Kejadian ini berlaku pada zaman Pak Lah, ya Abdullah Badawi yang terkenal dengan usahanya untuk mewujudkan Islam Hadhari pada era pemerintahannya.

Bertenang.

Aku bukan nak bercerita tentang kemajuan atau keberkesanan pemerintahan pada era Pak Lah. Atau nak bercerita tentang arwah isterinya dengan projek menglobalisasi batik Malaysia, atau kisah kroni-kroni yang terdiri keluarga Pak Lah, atau gambar Pak lah dengan Datuk Michelle Yeoh yang ada dalam internet tu, jauh sekali nak bercerita tentang bagaimana Khairy Jamaluddin jatuh cinta dengan anak Pak Lah.

Terlajak bercerita pasal Pak Lah ni, relevan sangat kalau aku selitkan dengan satu-satunya mercu tanda yang wujud pada era beliau. Tak lain tak bukan, pada tahun itu, Malaysia berjaya menghantar seorang mamat hensem ke angkasa lepas. Mamat hensem inilah yang meniti di bibir-bibir rakyat Malaysia dan tak lekang disebut-sebut oleh wanita-wanita Malaysia yang gila nak jadi pasangan hidupnya. Setiap patah kata yang keluar dari mulut mamat tu disambut dengan laungan puji-pujian yang infinit. Itu lah dia so called angkasawan Malaysia yang pertama, Dr Syeikh Muzaffar.

Ironinya, seorang yang hensem seperti Dr Syeikh Muzaffar mesti terkait dengan latar belakang pendidikannya yang cemerlang, pekerjaannya yang gemilang dan seperti kisah dongeng, mamat hensem inilah yang terbang di angkasa seraya membuat kajian membancuh teh tarik di angkasa lepas!

Berjuta kilometer pergi, teh tarik jugak yang di buat kajian. Aku terkesima sungguh. Kalau aku bagi cadangan apa kata kerajaan cari saja mamak yang berkaliber untuk di hantar ke angkasa untuk buat teh tarik, adakah masyarakat akan kata aku ni kurang ajar?

Baik, kita tinggalkan persoalan aku tadi, kita kembali pada kisah yang aku ingin surahkan.
Kejadian yang masih segar di ingatan aku ini berlaku pada subuh pagi, sehari selepas Dr Syeikh Muzaffar berangkat ke angkasa lepas. Subuh itu, aku macam yag lain-lain, tetap di bumi, bangun di pagi hari membersih diri untuk ke pejabat, seperti biasa. Setelah siap, aku capai beg sendeng dan mahu berlalu pergi untuk menunggu bas.

Kemudian, henfonku berbunyi. Ada sms masuk. Oh, sms dari adikku yang ketika itu masih menuntut di UIA. Pelik jugak, selalu adik aku tak pernah hantar sms ada waktu-waktu begini. Bila aku baca, kandungan sms itu begitu merentap jantung. Ia berbunyi begini " kepada saudara dan saudari kenalan Shah Hadia sekalian. Ketika anda sedang  membaca sms ini, Shah Hadia sudah pergi jauh meninggalkan kita semua. Perginya tidak akan kembali. Semoga Shah Hadia tenang berada di sana....."

Sebagai seorang abang sulung yang begitu menyayangi adiknya, hati aku punah membaca kandungan sms tu. Seolah-olah setiap patah kata dari sms membuatkan hati aku berderai-derai jatuh ke lantai. Perasaan hiba menjemputku. Atas sebab apa adik aku mati? Soalan sebegini yang membuatkan aku terkulai layu.

Timbul rasa sayu, gementar yang amat sangat dan ada sedikit menyesal. Aku tak sempat bawak adik aku tu ke Mid Valley untuk berjalan-jalan, aku tak sempat bankin duit saku ke dalam akaun simpanannya untuk dibuat belanja, dan yang paling aku terguris-lewat ini, aku jarang-jarang menelefonnya bertanya khabar disebabkan sibuk dengan urusan kerja di pejabat yang tak habis-habis.

Sewaktu itu, aku menangis teresak-esak dan terlalu gementar sehingga aku tak tahu nak buat apa. Housemate aku yang tengah tidur, Bobo terkejut dengan tangisan aku. Aku menceritakan perihal sms yang baru aku terima tadi. Walaupun Bobo masih mamai, dia nasihatkan aku untuk bertenang, beristighfar banyak-banyak dan cuba menelefon adik aku. Disuruhnya aku untuk bertanya sesiapa saja yang mengangkat telefon adik aku tu, di hospital mana adik aku berada sekarang. Bobo jugak pesan untuk menelefon orang tuaku dia kampung. Bobo kata nanti dia hantarkan aku di hospital di mana adik aku berada.

Aku yang tak tentu arah tadi tanpa berlengah terus menelefon. Sekali, tiada siapa yang angkat, kali kedua, ketiga dan keempat pun masih belum ada sesiapa yang angkat.
Hanya Allah saja yang tahu perasaanku pada ketika itu. Otak aku berhenti dari berfikir, segalanya seperti tertunda dan terbantut.

Tiba-tiba, henfon aku berbunyi. Ah, panggilan dari nombor telefon adik aku.
Aku terus menjawab panggilan tu.

"Hai Along. Along telepon angah ka tadi? Sory, angah solat tadi, ada apa long?"
Aku yang tadi sedih, menjadi terkejut, itu suara adik aku dalam talian tu. Secara tidak langsung, perasaan sedih tadi bertukar amarah yang amat dahsyat. Aku pasti adik aku masih hidup dan sengaja melawak tak bertempat.
Tanpa berlengah, aku terus menyerang. "Apa ni angah, main-main pasal mati ni? Takdak benda lain ka nak melawak pagi-pagi ni?"

"Merepek apa Along ni? Bila masa pulak cerita mati ni?
Habis tu yang dok hantaq mesej mati tu pasai pa?
Cuba along baca sms tu bagi habis tengok"

 Bengong punya angah. Aku terus tutup telepon dan sambung baca sms tadi,

" kepada saudara dan saudari kenalan Shah Hadia sekalian. Ketika anda sedang  membaca sms ini, Shah Hadia sudah pergi jauh meninggalkan kita semua. Perginya tidak akan kembali. Semoga Shah Hadia tenang berada di sana.....
Tenang bersama Syeikh Muzaffar di angkasa raya.. Yehoo :p"

Nak mencarut ka tidak ni? Berkali-kali aku tanya pada diri aku.  Aku tengok Bobo mengekek-ngekek gelak sambil sarung semula selimutnya. AKu dah tak tau nak cover malu macam mana dah. Ini lepas balik kerja ni, mesti kena bahan dengan haousemate yang lain. Mau kena bahan 3,4 hari jugak kes macam ni.

Yang paling tak guna sekali, Bobo dah menyaksikan air mata aku yang syahdu tu!
Demmit, sapa pulak nak ganti ayaq mata yang aku yang suci dan ikhlas tu hah?!

p/s Aku rancang selepas balik kerja nanti, aku nak lari dari rumah buat 2, 3 hari ni sementara menunggu keadaan di rumah sewa aku kembali reda.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak