Selasa, 29 April 2014

HARI HARI MENJELANGNYA MAYDAY

Sebenarnya,  buruh dan pekerja sama-sama mengalami seribu satu permasalahan yang boleh diperjuangkan untuk mencapai pelbagai matlamat demi kebaikkan bersama. 

Menjadi fitrah manusia mengkehendaki kehidupan yang lebih baik. Dan kalau bukan kerana tekanan dan asakan demi asakan yang dikenakan oleh majikan dan pemerintah, para pekerja berkemungkinan tidak mengenal erti perjuangan untuk mencapai fasa hidup yang lebih baik. Justeru itu, tidak hairan, hari buruh atau hari pekerja yang kita rayakan sekarang merupakan satu manifestasi dari tindakan kaum pekerja di Australia yang keluar menyatakan tuntutan 8 jam bekerja pada tahun 1856. Pekerja Australia pada ketika itu sedang ditindas oleh majikan mereka dengan cara jam kerja yang sangat panjang dan upah buruh yang rendah. 

Sejak itu, kaum pekerja bersatu untuk merayakan 1 May sebagai wadah perjuangan kelas yang disantuni beratus tahun yang dahulu.

Di Malaysia, 1 May mula disambut seawal tahun 1972. Terima kasih pada kaum  pekerja pada waktu itu yang mula mencernakan bibit bibit perjuangan mengangkat martabat kaum pekerja agar tidak terus menerus ditindas oleh majikan dan pemerintah.

Khabarnya, 1 may pada tahun ini di Malaysia, sambutannya akan berbeza dari tahun tahun yang sudah.

'Gasak Sampai Tumbang' dan pelbagai lagi slogan yang similiar di war warkan di media alternatif mempromosi dan mengajak rakyat khususnya kaum pekerja untuk berarak dari KLCC menuju Dataran Merdeka. Tujuan protest ini jelas untuk menyatakan bantahan dari kaum pekerja kepada aplikasi cukai baru 'GST' yang telah diluluskan di Parlimen baru baru ini.

Bagi saya, GST itu hadir ketika seribu permasalahan pekerja yang lain yang masih tidak selesai. GST hadir sebagai satu 'kesedaran' buat pekerja di Malaysia yang sebelum ini merayakan 1 May dengan menonton televisyen di rumah atau di pusat membeli belah. 
Hadirnya GST juga satu anugerah kerana kaum pekerja sekarang akan dipaksa membayar satu lagi cukai yang membebankan ketika kos sara hidup yang semakin tinggi.

Saya menulis tulisan picisan ini bukan untuk menerangkan secara terperinci berkenaan GST. Tetapi apa yang saya mahu sampaikan, di sebalik GST, kita, yakni pekerja sebenarnya telah melalui pelbagai lagi kepayahan hidup yang berpunca dari tindakan majikan dan polisi polisi yang di bentuk oleh pemerintah. 

Cuba tanya pada pemandu pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur apa masalah yang mereka sedang hadapi? Bagaimana pula dengan mereka mereka yang bekerja di kilang-kilang perindustrian? Saya pasti para pekerja di sektor perbankan, pertanian, perladangan malah para pekerja di sektor kerajaan juga mengalami pelbagai masalah yang masih belum selesai. 

Dari masalah jam bekerja, persekitaran kerja yang tidak demokratik, penindasan majikan terhadap buruh buruh asing, upah yang tidak setimpal, tiada ruang bagi pekerja untuk pembangunan kendiri (self development), isu keselamatan di tempat kerja, kuasa membeli yang semakin hilang dan namakan saja yang lain lain - apa masih ada lagi tempat untuk GST menjadi pertambahan dalam list list yang menyakitkan ini?

Kata seorang pekerja rajin yang saya kenali di pejabat, 
'kita kerja macam anjing. Majikan tak habis habis beri tekanan. Itu, ini semua mesti diselesaikan. Cukup bulan, duit gaji habis bayar hutang. Tiada masa yang berkualiti boleh diperuntukkan untuk diri sendiri apalagi untuk isteri dan anak-anak di rumah. Kena datang kerja pada hari Sabtu, hanya ada hari Ahad untuk berehat. Itu pun banyak di habiskan masa untuk tidur.'

Bunyinya sangat kasar, bukan? 

Mungkin saudara yang membaca tulisan ini boleh memberi penjelasan yang kukuh tentang signifikan aplikasi GST. Atau saudara juga boleh berikan satu ratus satu hujah kenapa GST wajib di mansuhkan.

Saya tetap dengan jawapan yang satu.
Pekerja atau buruh di Malaysia sudah mengalami seribu penderitaan yang masih belum disembuhkan. Mengapa harus ditambah lagi penderitaan yang sedia ada ini?

Jika diperhatikan, saban tahun, Laporan Audit melaporkan pelbagai ketirisan, keborosan dan pelbagai kelemahan dalam mengurus tadbir perbelanjaan. 

Saya sendiri sudah letih dengan laporan laporan ini.Kebobrokkan yang dilaporkkan itu jelas bukan datang dari tangan saya, bukan dari tindakan ibu bapa saya, bukan juga dari kawan-kawan sepejabat saya malah saya begitu pasti bukan juga datang dari saudara yang membaca tulisan ini. 

Jadi saya fikir, perlakuan sumbang dalam isu pemborosan ini datangnya dari sektor/kementerian kerajaan , jadi mengapa saya yang perlu menanggung setiap tindakan pemerintah dengan mengenakan GST pada masa yang terdekat ini?

Baiklah, mari kita alihkan pandangan kita pada kaum pekerja di Peranchis dan Sweeden, Dalam berita baru-baru ini, kaum pekerja di sana sedang mempraktis dan dalam masa yang sama sedang bereksperimen dengan jam masa kerja yang lebih pendek iaitu 6 jam sehari.

Wah, tahun 1856 dahulu, kaum buruh di Australia menuntut 8 jam bekerja, kini pada tahun 2014, Peranchis dan Sweeden sudah mula bekerja 6 jam sehari saja?
Tak bangkrapkah negara? 
Apa mereka di sana adalah bangsa yang malas bekerja?
Atau, syarikat syarikat di sana sudah bersedia untuk gulung tikar?

Bila diteliti balik tentang langkah baru ini, sedarlah kita bahawasanya, kurangnya masa bekerja memberi ruang untuk kaum pekerja di sana untuk lebih fokus dan progressif pada waktu bekerja yang diperuntukkan. Masa 6 jam yang ditetapkan adalah masa yang sudah sempurna untuk pekerja menghabiskan kerja-kerja harian mereka sebelum mereka 'off monitor komputer' untuk memberi laluan pada perkembangan diri sendiri (self development).

Selari dengan itu, mereka di sana punya kualiti masa yang lebih untuk bersama suami,isteri, anak anak dan famili. Juga dinyatakan dengan jelas dalam langkah mereka bekerja 6 jam sehari adalah untuk mengelakkan tekanan di tempat kerja yang melampau yang mempengaruhi kehidupan individu.

Bagaimana di Malaysia agaknya?
Ah, saudara fikirkan sendiri ya.

Majikan berbangga mengwar-warkan bahawa pejabat adalah rumah kedua pekerja dan pekerja terpaksa tunduk untuk menyelesaikan setiap kerja lebih masa yang ada kalanya tiada berbayar. 
Jika permasalahan seperti ini pun kita sudah terlepas pandang, apalagi jika kita bicara impak GST terhadap kewangan kita?

Biar saya ceritakan pengalaman saya baru baru ini di salah sebuah pasar raya. Saya ke pasar raya tersebut untuk membeli barang barang runcit, Tiba di suatu sudut yang menjual susu bayi, saya agak terkejut kerana raknya dikunci rapat. Pembeli susu bayi mesti mendapatkan pekerja pasar raya untuk membuka kunci rak tersebut dan mengambil susu yang mahu di beli. 
Di rak itu juga, ada banyak gambar yang menayangkan 'aksi' pencuri susu bayi ini. Di tulis besar besar di situ " Pencuri, Awas Anda Diperhatikan".

Melihat pada gambar gambar itu, saya lantas teringatkan satu kes mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 2 atau 3 tahun kepada seorang lelaki yang mencuri satu tin susu yang berharga lebih kurang RM 60 untuk di berikan pada anak kecilnya di rumah.

Lalu saya merasa begitu terganggu dengan keadaan begini. 
Mencuri memang satu kesalahan.
Tapi mahukah si lelaki tadi mencuri jika dia bukan dalam kesempitan hidup?
Susu itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk anaknya yang kecil. Dan lelaki itu saya pasti seorang pekerja yang sedang menghadapai 'nazak' dalam kewangannya. Dia tiada rekod jenayah sebelum ini.

Keadaan sosio ekonomi pekerja di Malaysia sudah meruncing. Pendapatan sebanyak Rm 3,000 di Kuala Lumpur dan di lain lain bandar besar di Malaysia sudah di kategorikan sebagai miskin bandar, apatah lagi jika gaji yang diperoleh lebih rendah dari Rm 3,000. 

Bukanlah suatu perkara yang mustahil pun , ramai di kalangan kita tidak jemu jemu untuk mengambil pinjaman peribadi untuk meneruskan survival dan secara langsung, pekerja di Malaysia sudah menjadi hamba sebenarnya. 

Nyanyi Ito, penyanyi Blues kesukaan saya, : Kerja bagai nak gila,orang lain yang kaya".

Berbalik pada protes pada 1 May ini, suka untuk saya nyatakan, kaum pekerja yang bersemangat untuk hadir di sana, janganlah kalian hadir semata mata kerana mahu memenangkan parti politik masing masing. Tiada seorang anak muda yang akan ke Putrajaya pun dengan hadir pada protes 1 May nanti. 

Biar kita hadir bersama ilmu dan ideologi. Bukan berpaksikan dengan matlamat untuk menangkan parti politik kita. jauh sekali untuk mengangkat Anwar Ibrahim, Tuan Guru Hadi Awang atau mana mana pemimpin parti politik lain menjadi Perdana Menteri. 

Kenapa saya bercakap begini?
Atau tulisan ini sudah mula terhilang arah?

Masih ingat siri demo Black 505 yang berakhir di Dataran Merbok?
Boleh beritahu saya samada pemerintah peduli atau tertekan dengan ceramah ceramah yang tidak sudah diselang seli dengan tempikan yang 'lame' sambil hadirin (saya gelarkannya sebagai hadirin kerana fungsi kebanyakkan mereka untuk duduk dan mendengar ceramah) sedap memenuhkan perut dengan nasi beriyani, cendol dan minuman yang di jual di sekitar demo Black 505. Tak cukup dengan itu, mereka berpeluang untuk membeli belah baju-baju yang bermotifkan politik. Suasana sebegitu tak ubah seperti suasana di Uptown. Cuma bezanya tiada karaoke saja.

Saya bukanlah hendak menafikan hak penjual yang menjual makanan, minuman dan baju. Itu rezeki mereka. Tetapi untuk menyertai satu protes atau demonstrasi , kita sendiri harus jelas dengan matlamat asal, yakni memberi tekanan pada pemerintah yang tugasnya bukan lagi memberi kemaslahatan pada negara.

KIta tidak sepatutnya tunduk pada pemerintah bilamana mereka menyatakan bahawa himpunan kita telah menutup periuk nasi peniaga. Dan kita juga tak perlu membuktikan pun pada mereka yang perhimpunan kita ini aman semata mata kerana adanya gerai menjual nasi beriyani!

Kalau begitulah 'amalan demonstrasi kita yang kita bilang sebagai satu jalur demokrasi di negara ini, saya dapat rasakan pendokong revolusi Bolshelvik dan pendokong Revolusi di Tunisia pasti menangis hiba. Dan semestinya pemerintah kita tersenyum sahaja kerana tiada apa-apa yang perlu ditakutkan.

Tak perlu saya imbas kembali bagaiman siri protest Bersih memberi tekanan yang besar pada pemerintah. Jadi saya nasihati kaum pekerja untuk turun merayakan protes dengan amalan yang sebaiknya, bukan untuk hadir hanya untuk melepak lepak di tepian sudut.

Untuk para yang pekerja yang bakal bergasak sampai tumbang, kesedaran itu wajib hadir dulu dalam benak masing masing. Ia disusli dengan ilmu dan ideologi sebagai senjata untuk bertempur. Medan demonstrasi hanya sebagai pengantara untuk menyalurkan tekanan pada pemerintah. Benar, GST sudah diluluskan di parlimen. Tetapi yang meluluskannya hanya seratus orang lebih sahaja. Manakala yang di luar parlimen ini , suaranya jutaan. Mana yang lebih kuat?

Lupakan laungan laungan seperti " Najib Altantuya, Rosmah Gemuk"dan sebagainya, kerana dengan itu hanyalah cara melawan budak kecil yang tak memberi apa apa kesan pun. Pekerja yang merdeka, bermaruah dan tinggi ilmu dan kesedarannya lebih baik cara melawannya dalam masa masa begini.

Sebelum meletakkan titik penghabisan dalam tulisan picisan ini, izinkan saya nyakan satu petikan dari kata seorang yang bernama Karl Marx;

Sistem Kapitalisma tidak mungkin dan tidak akan jatuh dalam masa yang terdekat, tetapi yang membuatkan sang kapitalis kecut perut adalah bila mana sang buruh memiliki kesedaran yang tinggi dan melawan bersama ideologi. Saat itu, kapitalisma sudah bertemu dengan hari hari keruntuhannya"

Tak cukup dengan itu, saya nyatakan satu petikan kata kata dari seorang manusia terhebat wujud di dunia ini. Apalah sangat yang hendak dibandingkan kehebatan antara Marx dengan seorang revolusioner, junjungan terbesar umat, nabi Muhammad saw di mana baginda berkata;

"Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemimpin yang jahat" - riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

Selamat Berprotes Kaum Pekerja!
Jumpa di Dataran,

 Di hati ada ilmu, di tangan ada sepanduk  laungan kita bergema" Bersatulah Kaum Pekerja"


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak