Jumaat, 20 Mac 2015

HERO HERO YANG NAMANYA TERCETAK DI DALAM JIWA JIWA MERDEKA

Siapa sangka seorang remaja perempuan yang baru berusia 18 tahun dipenjara hanya kerana tindakannya menyertai protes terhadap pendudukan haram rejim fasis Zionis Israel di Raamallah,Palestin pertengahan Disember yang lalu? 

Lina Khattab adalah pelajar dari Universiti Birzeit dinafikan untuk dibebaskan oleh mahkamah militer Israel pada 19 March lepas setelah ditangkap atas tuduhan menyertai protes dan membaling batu kepada kenderaan militari Israel. Lina akan meneruskan baki hukuman penjaranya selama 6 bulan dan juga denda sebanyak 6,000 NIS. Dan mahkamah militer juga menyatakan jika Lina masih lagi aktif dalam protest yang sama dalam masa 3 tahun lagi, dia akan didenda sebanyak 3,000 NIS.


Pemenjaraan terhadap Lina jelas berpengaruhkan motif politik untuk menyekat kemaraan pelajar dan juga aktivis aktivis muda untuk meneruskan resisten terhadap rejim fasis Zionis diatas pendudukan haram mereka di tanah Palestin. 


Lina dilayan seperti seorang benar benar merbahaya, seolah olah pengancam besar kepada keselamatan nasional Israel. Sepanjang pemenjaraanya, Lina dinafikan haknya untuk diziarahi keluarga, dilayan dengan teruk dan ditahan dalam sel yang tidak berperikemanusiaan.


Begitu juga yang terjadi kepada seorang pemuda yang dipenjara selama 2 tahun seawal usia 17 tahun  yang bernama Samer Al Issawi. Kini, dia masih dipenjara setelah beberapa kali ditangkap kerana kerajaan Israel mendakwa Samer membelakangi perjanjian untuk Samer keluar dari kawasan Jerusalem.


Ironinya, Samer ditahan di kawasan yang mengikut undang undang antarabangsa dikenalpasti sebagai kawasan penempatan haram Yahudi! 


Samer juga pernah mogok lapar selama lebih 157 hari dan hanya bergantung harap pada air dan keadaanya pada ketika itu sangat kritikal. Samer pengsan sebanyak hampir 6 kali sehari, penglihatannya semakin kabur, kaki tangannya bertindak lemah, rambutnya gugur di samping menghadapi kesukaran untuk bernafas.


Pada 2002, Samer ditahan dalam "Operation Defensive Shield" kerana kegiataan subversifnya. Subversif hanya kerana aktiviti Samer yang terus berjuang bersama rakan rakan lain memprotes fasis Zionis. Sewaktu penahanannya dahulu, Samer merupakan seorang pelajar di sekolah tinggi.


Sehingga ke saat ini, Samer masih ditahan kerana dianggap sebagai individu merbahaya.  Sebagai seorang yang benar benar ikhlas dalam perjuangannya untuk membebaskan tanah airnya, Samer teguh dengan semangatnya yang jelas terpancar dari tulisan di perenggan terakhirnya yang diterbitkan The Guardian bertarikh 3 March 2013,


"Do not worry if my heart stops. I am still alive now and even after death, because Jerusalem runs through my veins. If i die, it is a victory ;if we are liberated, it is a victory, because either way i have refused to surrender to Israeli occupation , its tyranny and arrogance.

Bouzazi Dan anak anak muda Revolusi Mesir

Impian pemuda yang mempunyai ijazah sarjana muda ini hanyalah untuk menyimpan wang yang secukupnya untuk membeli sebuah 'pick up truck' sebagai kegunaanya menjual sayur. Walau menjual sayur, Bouzazi lebih "bernasib baik" kerana mampu berniaga sedang anak-anak muda sebayanya masih lagi kontang untuk memiliki pekerjaan walaupun mereka,kebanyakkannya mempunyai sekeping sijil hasil bertungkus lumus di universiti.

Namun impian Bouzazi untuk memilik trak tergendala. Terima kasih kepada seorang polis wanita yang menampar, meludah muka dan menghina arwah ayah Bouzazi kerana kegagalannya membayar denda disebabkan Bouzazi tidak memiliki lesen berniaga. 

Keadaan hidup yang ditekan dan masalah sosial ekonomi yang mencengkam anak-anak muda ditambah pula birokrasi yang memualkan, Bouzazi pada hari yang sama dia dihina pegawai polis, terus menyimbah dirinya dengan api di hadapan pejabat elegan Majlis Perbandaran kerana komplennya tidak diendahkan.

Bouzazi tidak meneruskan kerjayanya sebagai penjual sayur tetapi bertukar menjadi seorang lagenda, pencetus revolusi bukan sahaja di Tunisia, malah meledak di kebanyakkan negara negara Arab seperti Mesir.

Bosan dengan pemerintahan diktator yang saban hari memberanak pinakkan korupsi, kepayahan hidup yang ditanggungi publik, isu keganasan polis, pengangguran, isu gaji minima dan kebebasan bersuara membawa Mesir untuk bersama sama Tunisia membenih fasa-fasa revolusi.

Beribu ribu anak muda mesir  yang mempunyai kesedaran turun ke jalan raya untuk menuntut hak-hak rakyat mesir yang selayaknya diperolehi. 

Hosni Mubarak sudah 30 tahun memeintah, tetapi rakyat mesir hidup dalam kecelakaan. Ditiup api revolusi di Tunisia, anak-anak muda dan rakyat Mesir yang merasakan perlunya untuk meruntuhkan tirani turun ke jalanan,memperjudikan nyawa untuk merampas semula hak-hak mereka yang telah lama dirogol.

Walaupun Mesir kembali semula kepada kepimpinan diktator Presiden El Sisi di saat tulisan ini ditukangi, kita wajib tidak lupa kepada peran-peran rakyat Mesir sewaktu Revolusi Mesir 2011. 

Mereka adalah rakyat-rakyat biasa yang terpalit dengan penindasan hasil pemerintahan yang pincang. 

OKZ 12  

Malaysia belum lagi dilanda revolusi. Tetapi kebanyakkan rakyatnya setiap malam bermimpikan satu perubahan yang lebih baik. Mereka ingin menikmati hidup bebas dari cengkaman menteri-menteri, ahli politik yang sudah bulat perutnya hasil dari korupsi,rasuah dan salah guna kuasa.

Baru baru ini seramai 12 orang rakyat biasa dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan dan denda sebanyak RM 5 ribu kerana didapati bersalah terlibat dalam satu protes membantah perlantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika krisis perlembagaan Perak pada tahun 2009.

Krisis Perlmbagaan Perak 2009 merupakan satu pencerahan terhadap kegilaan kuasa orang orang politik yang sanggup mencarik carik perlembagaan dan undang undang negara. Mereka tidak peduli soal hak rakyat untuk memilih kerajaan mereka sendiri. Disebabkan itu, mereka berani untuk menghina pilihan rakyat dan seterusnya menggulingkan kerajaan yang sah demi kepentingan politik sendiri.

Wajib diingat,12 orang awam yang kini dipenjara adalah mereka mereka yang terjamin haknya untuk berkumpul dan membantah kerakusan kuasa dambaan ahli politik.

Nama-nama mereka tidak didengdangkan. Meraka bukan sesiapa. Mungkin kita tidak mengetahui yang kini mereka sudah kehilangan kerja, terpaksa meninggalkan keluarga untuk tempoh 10 bulan. Dan media-media tersangatlah kurang dalam menulis tentang-tentang pemenjaraan mereka. 

Masyarakat mungkin tidak akan mengenali mereka seperti mana mereka mengenali ahli-ahli politik yang dipenjara. Mereka mungkin tidak dianggap berani jika dibandingkan dengan figura-figura politik yang berperang dengan musuh politik masing masing. 

Ada beza antara ahli politik yang bergusti dengan musuh politik lain dengan rakyat rakyat biasa yang berani mencabar status quo pemerintah.

Ahli politik mungkin berjuang untuk kebajikan rakyat, tetapi pada masa yang sama mereka juga mahu mengkaptur kuasa politik. Mereka terikat dengan hala tuju, misi parti politik. Dengan kuasa politik yang lebih meluas, maka luaslah pengaruh mereka untuk mendominasi pemerintahan.

Samada dengan kuasa yang mereka peroleh digunakan untuk membawa kebaikkan atau untuk kepentingan peribadi, itu cerita lain.

Masyarakat dan juga individu yang sedar dengan kepincangan yang berlaku di dalam pemerintahan tidak teragak-agak untuk mengancam dan menggertak pemerintah. Mereka bergerak bukan untuk kepentingan politik masing-masing, mereka bergerak untuk merampas semula hak-hak yang telah dinafikan. Rakyat mahukan keadilan, kebebasan dan juga sektor ekonomi diurus tadbir dengan baik.

Tetapi tanpa kesedaran, perlawanan tak akan berlangsung.
Tanpa kesedaran, rakyat akan duduk di rumah, dibuai dengan cerita cerita dongeng pemerintah, disibukkan dengan agenda agenda kaum pemodal untuk terus meraksasakan ketidakadilan dalam sektor ekonomi dan rakyat akan digertak dengan huru hara yang bakal tercetus jika mereka berani mempersoal dasar dasar kerajaan.

Bouzazi, rakyat Mesir, Lina Khattab dan Samer bukanlah individu-individu yang memegang jawatan tinggi dalam parti politik. Mereka tidak bertindak untuk kepentingan parti politik. Mereka tidak berjuang untuk membesar legasi parti politik. 

Mereka bergerak dan bertindak atas kesedaran. Kesedaran yang tercetus di atas tindakan fasisma, kezaliman pemerintah/autoriti yang bermaharajalela menjejas kehidupan seharian mereka serta penghinaan pemerintah ke atas kelas kelas rakyat biasa yang bagi mereka bisa dipijak-pijak.

Tabik hormat buat semua manusia di dunia ini yang berani menyatakan dan berdiri diatas pendirian masing masing.

Juga,

Tabik hormat buat mereka yang berani memperjudikan nyawa dan masa depan sendiri demi sebuah kebaikkan buat manusia-manusia lain.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak