Ahad, 8 November 2015

BIKIN ZINE

Pertama kali aku tulis zine pada umur 15 tahun. Aku bikin zine bersama rakan sekelas, nizam dan pali ustad.

Nizam mengelola welfare zine. Aku dan pali menguruskan zine kami bernama northern classes.

Umur 15 tahun, aku memang dipengaruh besar dengan budaya sub culture, punk dan hardcore.

Makanya, zine kami, northern classes memang berkisar hal ehwal budaya subculture begini.

Aku menulis, meluah rasa hati, memberi pandangan aku terhadap scene di alor setar. Memang rasa puas bila dapat menulis sesuatu yang big, dengan usia yang masih muda tetapi keras dengan pengaruh budaya memberontak, menulis adalah cara melepaskan sifat memberontak remaja sekolah.

Waktu itu internet adalah akses yang tersangat kecil penggunaannya. Sumber idea tulisan aku semuanya diberanak pinak dari proses membaca majalah, keratan artikel dan zine zine yang aku dapat dari kawan kawan.

Aku bukanlah mamat yang berpengaruh dalam scene budaya subcluture pun, tetapi aku peduli apa. Aku menulis kerana aku merasakan itu perkara teristimewa; membawa sesuatu yang aku rasa untuk orang yang mahu membaca.

Northern classes dapat ke tangan budak budak scene bmx dan skateboard di alor setar. Kata pali, depa semua suka zine kami.

Sekarang,setelah 15 tahun berlalu, aku tak tahu kalau pali masih simpan copy asal northern classes. Kami tak gunakan software atau komputer untuk bikin zine. Aku masih ingat, setiap huruf, ayat dan artikel yang terhasil adalah dari pen dan kreativiti kami.

Semuanya diy. Kertas A4 yang dilipat dua, muka depan yang didesain menggunakan hasil imaginasi remaja berontak, semua itu adalah memori. Kenangan yang aku simpan dalam satu bahagian kecil dalam saraf otak.

Seminggu lepas, aku teringin nak bikin zine semula. Mengumpul semula tulisan tulisan awal sewaktu aku mula blogging. Tulisan tulisan pendek yang aku tulis sekitar 2007/2008 sebelum aku menulis isu isu bajet serius tentang politik, sosial dan kemeluatan aku pada fundamentalis pejabat agama, ustaz dan agamawan. Gambar diatas adalah langkah pertama membelasah setan kemalasan untuk dijadikan sebagai muka depan zine. Aku namakn zine ini sebagai zine "Hoi Plagiat", nama blog aku.

Aku tak tahu samada orang akan suka atau tidak tulisan di dalam zine yang bakal aku terbitkan sendiri.

Tetapi menulis pada asalnya bukan untuk mencari pemuja. Menulis adalah sebahagian dari ketulan daging yang tumbuh dalam badan. Tidak menulis maka tiadalah daging yang bertumbuh.  Menulis adalah proses merai kehidupan, melepaskan serangan serangan kepada kebatilan dan berpihak kepada masyarakat.

Biar suatu hari nanti, ketika kita sudah tua, kita duduk di halaman rumah di bawah pohonan pokok, dihadapan kita mengalir sebatang sungai yang tenang, bersama kopi panas di sisi, kita akan tersenyum akan tulisan tulisan yang kita pernah bikin satu masa dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak