Ahad, 14 Februari 2016

DUNIA BARBARIAN

Kiranya, sudah banyak filem filem menayangkan realiti penindasan, eksploitasi, perseteruan kelas hasil dari kejahatan kapitalisma di layar.

Filem filem begini dibikin begitu kreatif dengan jalan cerita yang menarik mengharapkan para penonton bukan saja dapat berhibur, tertawa mahupun bersedih, tetapi yang lebih penting mesej dari pengarah dan krew filem  mendarat ke lapangan jiwa para penonton. Terserah samada para penonton sekadar mahu berhibur atau langsung berfikir sejurus menjejak kaki keluar dari panggung "oh, beginilah rupanya peranan kuasa dan wang membentuk dunia sekarang".

Filem Kingsman : The Secret Service (2014) arahan Matthew Vaughn adalah salah satu dari filem filem hebat tersebut. Berkisar tentang romantisme agen perisikan rahsia British yang wujud sejak ratusan tahun dahulu berdepan dengan keghairahan penjahat dunia yang mahu memporak perandakan masyarakat global. 

Ringkasnya, seorang "maniac" bernama Valentine mahu menjana wang untuk projek sim card percumanya untuk diberikan kepada seluruh penduduk dunia. Wang modal yang diperoleh Valentine adalah dari seluruh orang orang kaya di dunia termasuk raja skandinavia, golongan elitis,borjuis,politikus dan juga kaum bangsawan. Sebagai tukar ganti kepada laba mereka, orang-orang kaya yang bertindak sebagai pemodal projek Valentine akan dijamin untuk terus hidup. Menariknya filem ini, ia berbicara mengenai isu perubahan iklim yang mana Valentine merasakan dunia sudah tidak boleh diselamatkan. Lagipula, konflik yang berlaku adalah kerana tangan-tangan jahat manusia juga. 

Namun cara yang terbaik untuk memulihkan dunia bagi pendapat Valentine ialah dengan mengurangkan populasi manusia. Di sinilah relevannya projek sim kad percuma Valentine. Sim kad yang diciptanya berkemampuan mempengaruhi pengguna untuk meragut nyawa manusia yang lain. Dengan cara itu jumlah manusia akan berkurang, yang merosakkan bumi kononnya juga akan berkurang dan yang dijamin untuk terus hidup ialah manusia manusia yang mempunyai kuasa wang/modal (yang terlibat sebagai pemodal bagi projek sim kad Valentine).

Di akhir filem ini,, ia berjaya berkata kepada kita "hei, kamu tengoklah sendiri bagaimana sikap orang orang kaya yang memiliki modal dan kuasa. Apabila berhadapan krisis, kerap kali mereka akan melepas diri begitu mudah tetapi yang menjadi korban ialah kamu ; masyarakat kelas bawahan.

Inilah realiti dunia yang masyarakat global saksikan. 

Dunia di mana manusia berbangga dengan kasta yang dicipta sehinggakan pengaruh kapital dimartabatkan di langit membuatkan yang berkuasa akan terus meraja, yang dibawah akan sentiasa diperbudakkan.

Kita bisa saja melihat setiap hari kuasa kapital telah merosakkan kemanusiaan dan alam semula jadi. Ritual kapitalisma dipraktis setiap jam dan mata-mata kita menyaksikkan segalanya.

Lihat saja Iklan-iklan membazir mengekploitasi kaum wanita untuk melariskan produk bertujuan keuntungan. Syarikat syarikat minyak besar seperti Shell terliur akan sumber petroleum di Artik. Seperti dilaporkan di laman web earthjustice.org, syarikat Bureau of Ocean Technology Management sedang mendraf plan menggali minyak di lautan Artik dan Atlantik untuk tempoh 5 tahun dari 2017-2022. Plan penggalian ini akan kemudian diluluskan kerajaan Amerika. 

Bukan itu saja di Afrika, peningkatan penggunaan tenaga buruh kanak-kanak di sektor perladangan koko telah naik dengan begitu dahsyat. Tokey-tokey cokelat seperti Hershey, Nestle sedang rancak meratah tenaga kudrat kanak-kanak afrika. Manakala di India, sedekad yang lalu seramai 250,000 petani yang menanam kapas bertindak mengambil nyawa sendiri disebabkan hutang yang tak mampu diselesaikan. Petani berhutang untuk membeli baja kapas yang sudah dikimia. Baja sejenis ini dikatakan mampu mempercepatkan pertumbuhan kapas, malang sekali pulangannya begitu kecil.

Malapetaka jerebu terhasil dari pembakaran hutan di Indonesia bukan saja mengganggu kesihatan penduduk, tetapi banyak binatang terbinasa, antaranya orang utan. Dilaporkan sekurang kurangnya hutan-hutan sebesar 300 padang telah dimusnahkan setiap jam oleh korporasi-korporasi besar untuk tujuan perladangan. 

Inilah kekejaman kapital. Mereka adalah kaum yang menjana keuntungan dari pencerobohan alam, mengerah tenaga tenaga buruh/petani/pekerja dengan kejam dan membakar hutan demi lambakkan keuntungan.

Sebagai seorang individu yang hidup bermasyarakat, tidakkah kita menganggap apa yang telah berlaku ini sebagai kriminal berat?

Atau kita hanya bersikap tidak peduli?
Ataupun kita merasa tidak penting kerana bukan kita atau ahli keluarga kita yang menjadi korban buruh di afrika, atau isteri kita yang dimanipulasi maruahnya untuk melariskan produk syarikat, atau kerana kita menganggap perubahan iklim sebahagian dari cerita akhir zaman sebelum kiamat, atau kerana bukan kesihatan kita yang terjejas kerana krisis jerebu, perlombongan dan pembalakkan yang berleluasa?

Atau yang sebenarnya kita tidak percaya bahawa disitu ada alternatif kepada krisis yang dirancakkan kaum kapitalis?

Karl Marx satu ketika pernah menulis, imejan kapitalisma akan terlihat terang ketika berada dalam situasi krisis. Pada saat itu, apa yang tersembunyi sebelumnya akan kelihatan nyata bahawa sistem kapitalisma itu sesungguhnya berputar pada kepentingan keuntungan dan bukan pada kepentingan keperluan-keperluan manusia.

Masalahnya, bukan kita tidak sedar tetapi kegagalan sejati kita untuk mengupayakan keyakinan membawa satu alternatif masih belum bermula. 

Michael A. Lebowitz seorang Profesor ekonomi di Universiti Simon Fraser, Kanada berkata, "kita di saat ini tengah berada di dalam kebodohan atas hidup bersama (social ignorance),dan kebodohan itulah yang memungkinkan kita untuk dipecahbelah, untuk saling bertarung satu sama lain dan dieksploitasi oleh para pemilik mata rantai aktiviti manusia (baca : kaum kapital, elitis borjuis, kerajaan, ahli politik, monarki)

Kemudian, Michael A. Lebowitz mencadangkan masyarakat global untuk memikir satu pengetahuan lain-suatu pengetahuan yang didasarkan pada kesedaran akan kebersatuan masyarakat, pengetahuan yang didasarkan pada konsep solidariti (perpaduan). Katanya lagi, dalam pengetahuan sebegini serta merta membawa kita sebagai makhluk yang hidup di tengah masyarakat, memberi kita pemahaman tentang asas bagi segenap kehidupan kita. Dari situ kapital akan ranap dan hilanglah kebergantungan kita kepada kaum kapitalis.

Dunia baru adalah munasabah. Dunia di mana pengaruh kapital, wang dan kuasa ditundukkan dengan prinsip solidariti. Dunia yang memartabatkan kemanusiaan, keadilan, kesamarataan dan kepentingan menjaga planet bumi adalah dunia impian masyarakat global namun bagi kapitalis  ia adalah dunia binasa. 

Setiap dari kita mesti mula mempercayai diri sendiri. Kita semua bertanggungjawab untuk membaja kesedaran, memupuk semangat perpaduan dan mula berorganisasi untuk meruntuhkan hegemoni kapiatalisma. Dunia barbarian yang bermegah dengan penindasan mesti ditumbangkan digantikan dengan dunia yang lebih cerah akan kebenaran.

Oleh demikian, yang diperlukan masyarakat sekarang ialah keberanian, untuk memberontak, merusuh dan meragut semula segalanya yang telah drompak kapitalis.

"Dalam hidup kita, satu yang kita punya iaitu keberanian. Kalu tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?" - Pramodyea Ananta Toer

*pernah disiar di The Malaysian Insider, 15 februari 2016






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak