Khamis, 11 Februari 2016

JOEY MALIK

Joey Malik yang aku kenali ialah seorang figura yang pendiam.
Suka mengenakan t-shirt kosong hitam, berseluar jeans hitam, kadang kala berwarna biru gelap. Kasut kegemarannya ialah kasut vans old skool. 

Dia terlalu mencintai buku. Di tangannya sentiasa ada buku untuk menemaninya ketika dia bersesak di dalam tren, atau ketika dia duduk di sebelah ketika aku memandu kereta atau di sepertiga malam semasa kamu khusyuk berdengkur, Joey Malik masih meramas buku.

Ada kalanya semasa aku berdekah dekah ketawa bersama kawan-kawan kami di kedai mamak sambil pekena roti kosong, Joey Malik akan melontarkan soalan-soalan yang menguji minda.
Terus saja kami diam dan tangan kami sibuk mencicah roti ke dalam kari sebelum sampai ke mulut untuk dihantar ke perut.

Kami bukan berfikir. Tidak sama sekali!
Kami hanya terpana dan kadang-kadang kecewa. Kerana ketika kami sibuk bergelak ketawa tentang Dato Vida dan Kelantan FC, Joey boleh pulak bagi soalan, "mengapa setiap kali manusia mencuba untuk menjadi gembira dan setiap kali itulah mereka menemui kegagalan?"

Hiruk pikuk, gelak ketawa kami mansuh dipanah soalan Joey Malik.
Ada sekali tu dek kerana soalan seriusnya dan ketidakmampuan kami menjawab atau mencabar soalan Joey, kami terus balik. Roti yang berbaki kami tapau dan kami pulang dalam kekesalan.

Hari ni Joey Malik tidak ada. Dia dah menghilang diri selama 10 hari. 
Akaun fesbuknya tidak dikemaskini. Tiada surat yang ditinggalkan. Tidak ada mesej darinya di grup watsapp. Menelefonnya membuatkan sang pemanggil kecewa. 

Tiada seorang pun yang tahu Joey Malik ke mana atau di mana. 
Sangat misteri. Polis tidak mampu menolong selain menunjukkan signal "muka kecewa" dek kerana kegagalan mereka menjejak si pendiam Joey Malik. Emaknya di kampung menangis terkedu mengenangkan anaknya yang hilang. 

Dan kami kawan-kawan Joey Malik di sini hanya mampu menapau roti koson.
Kami tidak lagi ketawa berdekah dekah di kedai mamak. Itu semua memori.
Apa guna gelak sampai bulan di langit retak tanpa soalan-soalan pelik Joey Malik?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak