Mampukah manusia segera memadam dosa dosa semalam? Atau paling kurang, diberi peluang memadam dosa yang paling berat dan tinggalkan yang paling ringan?
Dan Landsman, seorang nerdy mungkin mengharapkan begitu.
Kerana terdesak untuk membawa Oliver Flawless, "kawan" sekolah tinggi yang mahsyur ke majlis reunion (demi sebuah sanjungan dan segunung penghormatan diidamkan Dan) Dan tergamak menipu isterinya , membohong majikannya dan seolah hilang kawalan, Dan mencipta dosa sehari demi sehari.
Ini semua berpunca dari kegopohannya untuk menikmati bagaimana enak rasanya dihormati , dianggap hebat, disanjung kawan-kawan dan orang sekeliling. Fikir Dan, andai dia berjaya mendapatkan Oliver Flawless, parti reunion yang dianjurkannya sudah pasti mendapat sambutan luar biasa.
Siapa yang tak mahu berparti dengan budak sekolah yang paling hip di sekolah tinggi?
Dan Landsman ternyata tersalah percaturan. Sehingga ke babak terakhir, setelah dosa dosanya terburai tidak lagi mampu dikutip dan disembunyi, barulah Dan tahu Oliver Flawless yang sekarang bukan seperti Oliver Flawless yang dikenalinya di zaman sekolah dulu.
Berbelas tahun dahulu di sekolah tinggi, memang benar Oliver adalah watak penting. Memang benar semua budak lelaki mahu jadi seperti Oliver. Berpakaian, bercakap dan berjalan seperti dia. Dan memang benar, Oliver adalah fantasi nakal budak budak perempuan yang ghairah mendambakan cumbu rayu Oliver.
Tetapi itu semua cerita dulu. Dahulu, Oliver adalah bintang. Oliver jugalah punca histeria. Sekarang tidak lagi. Hidup Oliver porak peranda, disalut kegagalan, dihurung kemurungan. Tambahan pula Oliver sendiri keliru dengan seleranya di ranjang. Semuanya dia sebat, "doesnt matter" ucapnya bersahaja pada Dan Landsman, kali pertama depa bersua setelah berbelas tahun tidak berjumpa di sebuah kafe di Los Angeles.
Oliver Flawless adalah manifestasi sebenar erti kegagalan.
Di bandar Los Angeles, tiada seorang pun mengagumi Oliver. Oliver bukan siapa-siapa. Pengalah sepertinya dibiar basah dilimpahi lendir kesuraman. Meski dia pernah sekali muncul dalam iklan Banana Boat sebagai seorang beach guard yang seksi, itu tidak mengubah apa apa tentang Oliver.
Dalam banyak banyak dosa milik Dan Landsman, aku rasa jika ada yang boleh dipadam tentu saja Dan Landsman segera memadam peristiwa yang berlaku pada malam dia dan Oliver pulang dari berparti. Malam di mana dia rebah "dibalun" rakus Oliver yang mabuk tanpa melawan. Dan Landsman terpinga pinga merelakannya tetapi bercelaru tiap kali memikirkan celaka apakah yang membiar belakangnya ditusuk Oliver si keldai bernafsu gila.
"Last night was fun" kata Oliver sambil menghirup kopi, mengganti ayat selamat pagi kepada Dan yang baru terjaga dari tidur.
Disebabkan malam jahanam itulah Dan Landsman semakin tidak keruan. Tidak pula dia membenci Oliver Flawless selepas kejadian itu malah Dan Landsman menjadi semakin obses terhadap Oliver. Dan Landsman bertukar menjadi seseorang yang bukan dirinya sehinggalah pada malam parti reunion, dari sekecil kecil dosanya sehingga sebesar besar dosanya - setiap satunya jatuh berterabur langsung dihidu pekat kawan-kawan sekolah, malah isterinya berdiri disitu, menyaksikan saat segalanya terburai dan tahukah kalian siapa lagi yang sudah tahu cerita kotor seorang Dan Landsman, si lelaki nerd? - anak lelakinya!
Di penghujung cerita Dan mengakui kesilapannya. Dia sedar betapa pentingnya untuk menjadi diri sendiri. Betapa besar maknanya merayakan hidup ini bersama isteri dan anak anaknya dari memasang impian menjadi seseorang yang bukan dirinya. Pergi mampuslah sama mereka yang tidak menghormati dirinya asalkan dia berbangga dan bersyukur dengan nikmat yang dia miliki.
Dan Landsman lantas mengkoreksi setiap satu dosa buatan tangannya. Dia merebut kembali kepercayaan isteri dan anaknya, memperbetulkan kesalahan yang dia lakukan terhadap majikan dan berjalan semula ke depan.
Seperti filem filem bagus yang lain, filem The D-Train yang pernah ditayang di Sundance Film Festival tahun lepas juga dibikin untuk memberi pedoman buat kita semua. Itu fungsi seni filem - berpesan pesan dan mendidik masyarakat.
Cuma secara peribadi selepas menonton filem ini sabtu lepas, aku tertanya tanya;
Jika dosa menipu bini pun sudah dikira tragedi,
Bagaimana pula dosa merelakan bahagian belakang dilanyak hanya semata untuk sekeping pulangan yang tak pasti?
Ngeri! Ngeri!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak