Dah berulang kali aku baca karya HG Wells, ' A Door in the Wall'.
Dan setiap kali itulah aku hampa, kecewa macam beratus kali cakap i love you tapi bidadari syurga buat dek.
Haram aku tak faham apa yang mamat lahir tahun 1886 di Bromley, England nak sampaikan.
Bukan aku tak faham bahasa inggeris, tapi lenggok bahasanya tinggi sangat. Atau mungkin jiwa aku tak mampu nak bergelumang dan larut dalam bait bait tulisan HG Wells. Atau mungkin cebisan cebisan ayat karangan HG Wells sebenarnya adalah seketul sampah, retorik dan sengaja diangkat sang pencinta sastera (kononnya) bahawa janganlah mati dulu sebelum habis membaca karya HG Wells.
Di luar hujan. Manik manik turun dari langit membasuh luka luka kota palsu Kuala Lumpur. Dosa dosa yang gugur mengalir deras masuk ke longkang tanpa sesiapa pun sedar. Sekaligus menyelamatkan kita dari diaib. Malu beb, makcik sebelah tahu dosa kita, sembang pongpang syurga neraka tapi diri sendiri nak bangkit semayang subuh pun harap awek call tiap tiap pagi.
Aku duduk dalam bilik. Melukis. Sudah berbelas belas kertas aku lukiskan. Mata tak pulak kuyu walau malam dah membawa ke fasa fasa tertentu. Aku lukiskan saja apa yang terlintas dalam imaginasi. Sementara otak giat berkabut berimiginasi itu dan ini, aku curahkan ke atas kertas. Moga moga lukisan ini boleh disimpan di arkib buat tatapan, kebanggaan anak cucu kelak.
Tiba tiba ada kepulan asap menceroboh masuk ke bilik melalui tingkap. Mulanya sedikit, lama lama dah macam jerebu dalam bilik. Seketika kemudian, kepulan asap itu kaku dan berkopulasi membentuk seolah sebuah jasad. 2 minit, jasad tadi siap terbentuk menjadi seorang figura lelaki. Rambut putihnya lagi lebat dari rambut hitam. Matanya tajam. Kulit sedikit berkedut. Dari mukanya yang bersahaja, aku tahu dia bukan setan nirrojim. Sebab takdak tanduk di kepala atau berekor di hujungnya berbentuk anak panah.
Dia adalah HG Wells. Aku tahu sebab aku pernah google muka dia dulu.
Inilah manusia yang tulis benda alah yang sampai sekarang aku tak paham kesudahan ceritanya. Malam ni dia sampai dalam bilik aku. Aku tak pernah berdoa nak jumpa dia melainkan rasa kusut menyelimuti bila baca tulisan dia yang aku yakini memang bukan untuk difahami.
"Keh dengor aok merungut tak faham cerita A Door in the Wall tu."
Dia dah mula bersuara beb.
Tak guna kan? Dah la main langgar masuk orang, buat buat cakap loghat raub macam tak bersalah saja datang mengejut tengah malam buta.
Banyak makan sambal hitam gamaknya HG Wells ni. Aku cakap dalam hati.
"Susah nak faham la. Berbelit sangat. Baca banyak kali pun tak dapat tangkap."
Aku terangkan pada HG Wells dalam suara yang rileks sambil kemas meja dan alatan lukis.
"Aok bahasa inggeris dapat berapa time SPM dulu?" Suara HG Wells tenang,tapi berbau sinis.
"Apa kena mengena?" Aku tanya balik. Bukan aku tak mahu jawab, tapi elok aku simpan saja keputusan SPM menjadi rahsia. Benda lepas jangan dikenang.
"Boleh keh duduk kat kerusi ni?"
Aku tak sempat cakap ya atau tidak, sebab dia dah pun duduk. Baru nak tanya nak minum kopi atau teh, HG Wells terus mengungkap satu baris ayat yang dia tulis,
"To him at least The Door in the Wall was a real door, leading through a real wall to immortal realities."
Dan dia sambung lagi sebaris,
"Even my fairy tale books were taken away from me for a time-because i was too imaginative."
"Kita tak boleh terlampau berimiginatif. Kerana realiti adalah ruang absolute, nyata dan tidak boleh dipertikai. Kita damaikan kesakitan dengan tangan ini - berani menghadapi dunia realiti,walau kita sebenarnya sedar kepayahan dan segala bentuk keperitan seolah tidak berpenghujung , bukannya dengan berlari dan mencipta ruang imiginatif palsu."
Itu aku yang cakap dekat HG Wells. Suara aku waktu tu sedikit keras, maklumlah nak pertahankan hujah.
"aok tahu, imaginasi ialah sebilah kekuatan?"
"Imaginasi adalah perkataan ciptaan manusia yang tak berupaya meredah daerah daerah misteri. Bagi yang mampu seperti Wallace, ruang yang diciptakannya bukan imaginasi, tetapi dunia immortal. Kesunyian dan penderitaan Wallace dilawan dengan daya imaginasi.
Wallace kesunyian. Ibunya mati ketika Wallace masih kecil. Ayahnya seorang peguam yang kurang memberikannya perhatian tetapi mengharapakan Wallace sesuatu yang besar darinya. Tiada teman yang mahu bemain, mendengar dan berkongsi dengannya. Dunia adalah tempat kelam dan mati baginya. Tiada biru, tiada yang hijau, dunia adalah daerah yang tidak bewarna.
you know, in the very moment the door swung behind me, i forgot the road with its fallen chestnut leaves, its cab and tradesmen's chart, i forgot the sort of gravitational pull back ti the discipline and obedience of home, i forgot all the hesitations and fear, forgot the discretion, forgot all the intimate realities of this life. I became in a moment a very glad and wonder-happy little boy-in another world . It was a world with a different quality, a warmer, more penetrating and mellower light, with a faint clear gladness in its air, and wisps of sun-touched cloud in the blueness of its sky."
Panjang lebar si HG Wells bersyarah. Aku tetap tak puas hati. Jadi aku balas balik,
"Aku tetap tak bersetuju dengan idea berimiginasi untuk escape dari dunia nyata! Kerana ianya mengarut, hanya si penakut dan kuat berangan saja yang keluar dari masalah dengan cara Wallace. Dan kamu HG Wells, menulis untuk mengajak umat keluar dengan cara yang paling memalukan sekali!"
"Siapa yang penakut? Siapa yang mengarut? Jika benar berimiginasi bukan satu perlawanan, mengapa ayah Wallace marah betul dan sampai memukul anaknya bila Wallace menceritakan pengalamannya di enchanted garden? Jika betul imaginasi bukan kekuatan, mengapa buku buku klasik khayalan milik Wallace dirampas?
Ya benar, imiginasi bukan kekuatan, tetapi ia sebenarnya adalah ancaman untuk manusia seperti aok, ayah Wallace dan jutaan manusia lain!"
Aku terkejut dengan kenyataan Wallace. Rasa macam darah berhenti mengalir, urat kejang dan mata bulat tak berkedip. Otak aku dah tak mampu memikirkan hujah balas.
"Keh dah nak balik. Masa dah suntuk."
Minum kopi dulu, nak? Ajak aku. Walaupun dah kalah, aku ajak jugak minum kopi, merai tetamu.
"Takpe, keh tak boleh lama. Ni keh nak kabor ke aok. Kalau imiginasi perkara sia-sia, takkanlah aok sanggup bersenkang mata melukis figura pelik-pelik ni? Bukankah figura ini juga datang dari negeri yang aok sendiri ciptakan?"
"Selamat tinggal"
Lalu HG Wells bercerai berai semula bertukar menjadi kepulan asap dan memanjat ke atmosfera gelap.
Aku naik ke katil, berbaring ke kanan, menarik selimut sehingga ke pangkal leher langsung menangis. Bantal ini menjadi seperti bantal Wallace - basah dengan air garam tatkala mengenang kesunyian yang melilit tubuh.
Cumanya, aku bukan menangis kerana kesunyian, tetapi kerana dibelasah teruk HG Wells. Habis semua sakit ; rahang, kepala dan dada aku. Aku terlantar dengan kekalahan yang dahsyat, menerima kenyataan keras HG Wells.
Aku tak bercadang untuk membaca semula A Door in the Wall esok pagi. Aku sudah kalah dan sudah faham segalanya.
HG Wells tiga, aku; kosong.
*dihabiskan di Meltham, Perth, Australia
Secara spesifik dik halaman rumah Pauline, 1030 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak