Bulan puasa sudah menjadi semakin mencabar.
Restoran di Bangladesh dibom mengorbankan publik. Begitu juga di Baghdad. Kerajaan Iraq mengisytiharkan 3 hari berkabung memperingati mangsa. Terbaru, Kota Madinah satu ketika dulu menjadi kota pentadbiran manusia hebat Nabi Muhammad turut dibom. Syria tidak menunjukkan sebarang petanda keamanan. Di Afrika, masalah kebuluran, anak-anak mengidap pelbagai penyakit, tiada vaksin, masih belum selesai. Di Al Aqsa kejadian chaos melibatkan polis Zionis mengasari Palestinian di malam 10 ramadhan terakhir. Ratusan ribu imigran dari negara negara arab/timur tengah bergasak gasak, berpusu pusu di lautan, di pintu sempadan, berlari lari mendukung anak, memimpin erat tangan suami isteri - semuanya mahu mencari erti hidup di Eropah.
Jumlah kematian sudah infinit. Kematian menjadi murah. Mendengar berita kematian seperti mendengar cerita artis kawin cerai. Sudah menjadi normal, tiada apa-apa yang perlu digerunkan.
Suasana di Malaysia juga apa kurangnya. Orang awam mula mempertikai ketelusan pejabat zakat. Kemiskinan semakin terbuka hijabnya. Berbuka puasa di gereja dikecam. Harussani dan Mufti Pahang mengajar kita erti fasisme agama. Bazar ramadhan, pesta jualan, manusia berebut kain tudung, budaya konsumerisme melampau memeluk umat yang sedang berpuasa. Toleransi antara yang berpuasa dan tidak berpuasa mencetus debat. Perdana Menteri terpalit skandal mengajak menghayati 10 malam terakhir.
Dan cabaran paling getir orang Malaysia ; nak balik beraya rumah mertua pun perlu disuap beratus ratus tips. Jenis balik rumah mertua terperuk dalam bilik!
Masa di aloqstaq dulu, tiap-tiap malam bapak akan rancang masjid mana dia akan bawak aku dan yan pergi isyak dan terawikh. Lepas terawikh, bapak bawak kami minum-minum, pekena bihun sup di Jalan Putra, kedai Awie Nasi Campur. Waktu 'soq' (sahur) adalah masa yang menyeronokkan. Kami sekeluarga makan nasi macam makan tengahari. Bapak tak makan, dia minum saja di mema makan dan berbual-bual dengan kami semua.
Mama pulak sibuk suruh anak-anak dia telan vitamin itu ini lepas makan. Vitamin yang paling femes kami kena telan ialah B Complex. Aku ingat lagi ada satu tahun tu di malam raya, bapak tak ada kat rumah sebab tunggu baju melayu yang kami tempah di Zakaria Tailor disiapkan. Tukang jahit tu kawan baik bapak zaman depa sekolah dulu. Baju melayu tu hanya siap menjelang subuh dan bila aku bangun tidur, aku nampak bapak tengah basuh baju melayu kami sebab ada garis-garis kapur (ukiuran jahitan di kain) dan sepanjang malam dia tunggu kawannya membereskan baju melayu kami. Dan aku tak tahulah pasal apa aku tak berapa nak berkenan sikit dengan tukang jahit kawan bapak tu. Dengar dia bercakap pun aku dah rasa geram.
Bulan puasa bagi aku adalah masa memperbaharui dan mengeratkan hubungan. Bukan saja dengan famili, tapi dengan kawan-kawan, jiran tetangga, manusia lain, masyarakat dan sudah tentu dengan Yang Maha Esa. Ia bukanlah satu satunya bulan untuk berbuat baik, tetapi ia seperti satu bulan "refresher" - kita menambah kebaikkan, membaik pulih hubungan dengan semua subjek agar kebahagiaan, keharmonian, dunia yang lebih baik diperoleh.
Tetapi berbaloikah jika kita seorang saja yang bahagia? Kita seorang saja yang gembira? Habis bagaimana dengan yang lain? Yang makannya tak cukup, yang cawannya kering kontang, yang tidak punya pekerjaan tetap, yang hidup keluarganya daif, yang menjadi mangsa perang, yang berlari sana sini mintak perlindungan, yang hilang anak beranak, yang itu, yang ini?
ISIS tidak hanya berpengkalan di timur tengah. Ia membuka kem kem kecilnya dalam jiwa kita. Tatkala kita beri makan, bersedekah, merai rumah-rumah anak-anak yatim, melimpah ruahkan plastik plastik berisi makanan di jalanan di bulan puasa semata kerana keangkuhan kita merebut pahala tanpa membuka spektrum yang lebih luas, kita langsung tidak mendidik hati menjadi sensitif, malah bersikap keras terhadap erti toleransi, brutal dan sombong kononnya perilaku kita sejajar dengan tuntutan agama malah dalam masa yang sama kita bazirkan diri di karnival raya, melayang layangkan nilai not di setiap ceruk Bazar Ramadhan - yakinlah kita sudah menzalimi diri sendiri dan anggota masyarakat lain.
Sepatutnya bulan begini adalah masa untuk semua orang menghargai tiap detik kehidupan. Tetapi lihatlah apa yang berlaku; di sana ada perang, kebuluran, kemiskinan, seribu satu macam kesedihan terlihat, di sini mungkin aman, tetapi erti kehidupan telah diambil alih syaitan gadjet iblis teknologi.
Satu ketika dulu, kita rayakan kehidupan dengan hubungan yang sangat syahdu, menatap muka mereka bila berbual, duduk berborak dari hati ke hati, berkisah cerita itu ini mengundang ketawa, keprihatinan, perhatian khusus pada sang pencerita dan setiap patah perkataan yang diungkap masuk, melekap dan meresap dalam jiwa. Itulah rasa sebenar menjadi seorang manusia.
Alih alih sekarang, kegembiraan, keseronokkan dan sedapnya makanan yang kita beli sebagai juadah berbuka, kita terpaksa mencari jaringan vakum tidak bernyawa untuk berkongsi rasa bahagia dan berhashtag berpuluh puluh jenis mengemis sejuta perhatian.
Setakat itu sajalah ya. Ini tulis panjang-panjang bukannya hang suka pun, lepas tu tinggalkan komen "pangjangnya berrow, sinopsis ada?"
Selamat Berhari Raya kawan-kawan semua!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak