Isnin, 1 Ogos 2016

MONARKI HATINYA TISU

Kekanda,
Sikap kurang ajar bukanlah perbuatan kriminal.

Ia adalah cerminan moral, nilai tahapan akhlak seseorang. 
Namun, apabila hukuman penjara,(sebagai contoh)dijatuhkan ke atas manusia yang kurang ajar, kiranya keputusan itu adalah tindakan yang berlebih lebihan.

Itulah yang berlaku ke atas Amirul pemuda berusia 19tahun, kekanda. Kelmarin tuan hakim mengambil keputusan untuk menyumbat Amirul ke dalam kandang besi gara gara status di media sosialnya dianggap menghina lelaki berdarah monarki. 

Malang sekali buat Amirul yang datang dari belakang kelas masyarakat bawahan, dia tidak tahu menahu malah tak diberitahu akan haknya mempertahankan diri - sekurang kurangnya untuk mendapatkan seorang peguam bela. Amirul juga dikatakan dikasari ketika tempoh tahanan, namun tiada sesiapa ambil peduli. Sebelum dijatuhkan hukuman,berkali kali Amirul memohon tuan hakim meringankan hukuman, berkali kali jugak dia meminta ampun, tapi itu semua sia sia belaka. 

Kerana Amirul seperti kita, kanda. Dibelenggu kasta. Manusia seperti kita sentiasa dibuli autoriti, diperbudak pemerintah, dilayan keras penguasa, dipaksa menjungjung titah tanpa rela. 

Kanda, andai beberapa ayat yang ditulis Amirul itu dianggap kurang ajar, tidak berakhlak dan layak ditendang masuk ke dalam kandang besi, habis macam mana pula dengan perangai mereka? 

Bermegah megah dengan lori transformer, hobi mengumpul seleksi kereta mewah, tinggal di istana kayangan di jalan duta, duduk bersantai cukup hari rakyat bawahan bayar cukai sedang kita semua berpenat lelah berperang dengan tiap minit kehidupan.

Paling geram di kala terperangkap dalam trafik yang sesak, senang senang mereka arahkan polis menyuruh kereta kita berhenti di tepian jalan demi melincinkan perjalanan roll royce mereka. Kita semua bayar cukai jalan kanda, kita bekongsi jalan raya yang 24 jam sesak ni,  tapi bila dia nak lalu dengan cepat sebab urusan dunia akhirat dia, kita juga dipaksa mengalah.

Bukankah itu kurang ajar namanya kanda?

Kanda, 
Dalam hal begini, prinsip mesti konsisten, tak boleh berbolak balik. Kita tak boleh pilih bulu. Masakan kita menolak dia kerana meluat dengan kelab bola milik dia tapi dalam masa yang sama kita pertahankan seorang lagi yang berselipar crocs. Jangan pula bila mereka ini datang melawat kampung kita dengan bermotor kapchai, kita jadi kelam kelibut terpekik sana sini kononnya mereka berjiwa rakyat bawahan. Atau kita rasa nak pengsan sebab terlampau terharu tatkala mereka datang bersama bot melawat kawasan banjir, rumah kita tenggelam disalut lumpur, istana dia tak tersentuh dek air pun.

Sesuatu sistem yang sudah rosak mana mungkin boleh diperbaiki, ia perlu ditukar ganti, agar keadilan, kebenaran dan kesamatarataan dapat dikembalikan. 

Oh kekanda, sebelum terlupa, beberapa mingu lepas di England, Ratu Elizabeth bertitah tentang kemelut ekonomi. Dia datang dengan jubah mewah dan mahkota bertakhta berlian, berdiri di atas pentas kemegahan untuk berucap.

Setelah itu,Ratu menyeru semua rakyat berjimat cermat, tidak membazir, jangan boros ketika menghadapi kondisi ekonomi eropah yang tidak menentu.

Seruannya disambut gah dengan beribu jari tengah rakyat jelata.
Bagaimana seorang ratu yang memiliki mahkota berlian bergemerlapan di kepalanya tergamak menyeru rakyat biasa yang lapar untuk tidak boros?

Kekanda, 
itu benar benar kurang kurang ajar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak