Rabu, 24 Ogos 2016

CERITA NOSTALGIA 3 BULAN

Seminggu selepas selesai "Final Project Presentation", Puan Dalila, pensyarah, merangkap Juruselia final project aku menghubungi aku untuk menawarkan kerja sebagai tutor bahasa Inggeris. 

Tawaran kerja tu bukan sebagai kerja tetap tetapi cuma kerja kontrak selama empat bulan memandangkan kolej aku memerlukan tenaga pengajar untuk mengajar kelas intensif bahasa inggeris percuma untuk pelajar-pelajar lepasan STPM. 

Daripada membiarkan budak budak tu merempit di kawasan felda 24jam sementara menunggu keputusan STPM, kolej aku buat kerja kebajikan (sebenarnya pelaburan masa depan) dengan membuka kelas intensif dan mengambil sejumlah pelajar (hampir seribu orang kalau aku tak silap) yang kebanyakkannya datang dari kawasan pantai timur.

Mulanya aku dok ingat Puan Dalila nak sangat aku jadi tutor disebabkan tahap bahasa inggeris Oxford aku. Tapi lepas tu aku dapat tau rupanya Puan Dalila tawarkan kerja tu kat aku sebab member kamcing aku si Baitty yang suruh. Sebabnya si Baitty takmau kerja kalau dia takdak geng. Tak guna betul! 

Aku pun terima la tawaran kerja disebabkan pengaruh si Baitty. Nuox pun join. Aku pulak tarik si Dutt untuk cukupkan korum "pakatan tutor harrom". Alice dan Tokcha datang kemudian di saat-saat terakhir untuk menguatkan lagi pakatan kami. 

Pakatan kami tidak pernah merancang untuk mendidik anak bangsa malah tujuan asal kami ialah untuk bergembira sepuas puasnya dengan menghabiskan gaji yang diterima boleh tahan bagus (pada masa itu lah!)

Dengan 'mini cooper' Kelisa milik Baitty, kami pun drift menuju ke kelas intensif di Bandar Baru Bangi. Di sana, kolej menyediakan bilik penginapan untuk semua tutor. Aku, Nuox dan Dutt duduk di sana, Baitty seorang berulang-alik dari KL-Bangi. Tak mengapalah. Baitty kan banyak duit.

Tak sangka kerja mengajar ni sebenarnya cukup menyeronokkan. 

Pagi-pagi masuk kelas ajar student tatabahasa, penggunaan ayat yang betul suruh buat latihan lebih kurang dan ajar tulis karangan. Lepas tu kami keluar makan tengahari di sekitar bandar baru bangi. Masuk sesi tengahari, kami suruh budak-budak buat aktiviti drama, public speaking dan blablabla. 

Petang bila dah habis kelas, kami lepak kedai makan bawah bangunan kolej makan roti bakar berpinggan-pinggan sebelum main bola dengan Ibrahim Konde, pelajar UIA berbangsa Afrika yang buat part-time jadi tutor macam kami jugak. Malam pula lepas makan tomyam kami belasah karaoke jamban berjam-jam atau kalau bosan kami pergi berfoya-foya di sekitar pekan kajang, bandar baru bangi dan Putrajaya.

Tiap tiap hujung minggu, aku, Nuox dan Dutt balik KL naik KTM mengelat tak bayar duit tambang. Ilmu mengelat tu semua Nuox yang ajar.  
Rutin sama berulang setiap hari,setiap minggu sehingga program kelas intensif tersebut berakhir. 

Aku taktahu samada aku berjaya membuatkan pelajar-pelajar aku yang seramai hampir seratus orang tu mampu menguasai bahasa inggeris dengan baik atau tidak. Atau sekurang-kurangnya selepas kelas tu tahap bahasa inggeris depa menjadi lebih baik atau paling tidak depa konfiden nak bercakap dalam bahasa penjajah tu bila pergi temuduga kerja.

Aku harap depa semua maafkan aku kalau depa rasa kelas intensif 3 bulan tu gagal menukar lidah mereka menjadi seperti lidah orang British. 

Tapi, aku juga tak rasa depa marahkan aku sebabnya aku pernah mendapat ucapan "selamat hari guru" dari depa. Gila terharu. Baru mengajar tiga bulan dah dapat 'wish cikgu-cikgu' ni. 

Mungkin sebab cara kami mengajar tak serius, depa enjoy lah kot. Macam-macam benda lawak,pelik, terharu terjadi. Aku tak bukak lagi cerita ada geng tutor lelaki dok mengayat student perempuan bawak keluar minum petang dengan harapan lepas minum petang bolehlah bawak balik kampung pula jumpa emak minta restu. Ada jugak cerita tutor yang sewa bas sekolah bawak satu kelas dia masuk hutan hujung minggu. Dia lupa kot itu kelas intensif bahasa inggeris bukannya summer camp, ikut sedap dia culik anak orang masuk hutan bercamping. Dan benda paling rare dan tak boleh dilupakan aku ialah kisah  Ayam bawak gitar ke hulu hilir sandar kat dinding kaki lima kelas nyanyi lagu Irwansyah. Adalah dua tiga student perempuan kelas dia jenis jiwang berdiri sekeliling Ayam membiarkan diri mereka mencair dipanggang suara jantan si Ayam. Memang macam jahanamlah kalau diingatkan balik.

Yang sebenarnya, 
aku rancang nak tulis benda lain kat sini. Tak tahulah pasal apa aku bukak cerita sadis Ayam nyayi lagu Irwansyah.

Tak apalah. Lagipun dah pukul 2 pagi sekarang. Tulis hal-hal serius nanti hang mengigau pulak. Lain kalilah aku tulis benda yang aku nak tulis tu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak