Jumaat, 19 Ogos 2016

TAZKIRAH TENGAH MALAM

Kamu masih belum tidur,bukan?
Mari sini. Datang dan dengar tazkirah aku. Walau aku tak memiliki sijil yang melayakkan, tolong beri aku sedikit peluang. 

Tak perlulah kamu bersiap jubah berketayap putih bergegas ke surau berdekatan untuk mendengar tazkirah aku. Kamu dan aku, kita bertemu saja di ruang kecil di sini.

Untuk makluman, teks tazkirah yang ditulis aku sendiri ini tidak mendapat kelulusan pejabat agama negeri. Barangkali ia dilihat tidak beretika, tidak menepati syariah atau berdosa di sisi institusi agama. 

Tapi, kamu sangat bertuah berpeluang mendengar tazkirah ini. Ini kerana jika kamu mendengar tazkirah para ahli agama di surau, besar kemungkinan kamu akan duduk tersengguk-sengguk kebosanan. Paling tidak, kamu hanya mengurut helaian helaian janggut kering sambil kepala otak kamu bertebaran di merata ceruk.

Di sini kamu takkan tertidur. Di sini, mata kamu akan terjegil kerana kengerian realiti realiti dunia . Aku akan membuatkan kamu terganggu dengan kedahsyatan dunia yang kita diami sekarang.

Pagi tadi sama seperti pagi pagi di hari kebiasaan. Mereka kata hari Jumaat hari yang penuh dengan keberkatan. Melihat kepada kondisi dunia sekarang, aku tertanya-tanya di mana keberkatan yang mereka gemar cakapkan tu? Lebih banyak kecelakaan berlaku ada lah. Atau mereka sekadar bercakap sedang hijab mereka tertutup rapat?

Matahari bersinar suram. Air sungai keruh menipis mengalir sendu. Udara di luar kotor. Berasap, berdebu - semua itu korban kepada cita cita tuan-tuan pemodal.

Lepas subuh, aku ke kedai serbaneka 711 untuk membeli pampers sang qudus. Di sana aku dapatkan suratkhabar percuma The Sun. Di muka depan tertera tulisan besar berwarna merah "Horror Find-boy,5,decaptivated limbs tied near zoo negara".

Forensik menemui Noor Amila Edrus Norsham mati di bukit berhampiran air terjun Kemensah dengan tengkorak kepalanya yang retak. 

Seorang lelaki Myanmar berusia 26 tahun, suspek yang membunuh Noor Amila dipercayai terdesak kerana memerlukan sejumlah wang lalu menculik budak kecil itu dengan harapan ayah mangsa membayar wang tebusan tetapi kemudian bertindak melupakan rancangannya selepas mengetahui ayah mangsa membuat laporan polis.

Sumber dari The Sun mengatakan, "The victim was not from a wealthy family but we believe it was an act of desperation of money".

Nah! Nampakkah kamu sekarang bagaimana kemiskinan memporak perandakan manusia? Mampukah otak kamu melangkah setapak ke hadapan memikirkan betapa besarnya kejahatan berpunca dari kemiskinan? Percayakah kamu sekarang yang kemiskinan itu datangnya dari kecurangan sistem hidup manusia? 

Belum cukup dengan berita sedih kematian adik Edrus, aku dipertemukan pula dengan berita anak kecil Syria yang kini sedang viral di Internet.

The Guardian mendistribut video berdurasi kurang 3minit mengenai seorang anak kecil bernama Orman Daqneesh bersalut debu kelabu, berdarah di kepalanya kerana serangan udara di daerah Aleppo. Orman diselamatkan seorang lelaki dan meletakkannya di atas ambulan. 

Video itu merakamkan keadaan Orman yang teramat menyedihkan;  terpinga pinga, bingung dengan keadaan huru hara yang sedang berlaku. Perlahan lahan dia memegang kepalanya yang berdarah, melihat darah yang melekat di tangannya dan kemudian dia lapkan darah di tangannya di atas tempat duduknya.

Orman yang berumur lima tahun itu bukanlah budak pertama yang dirakam gambar penderitaanya, namun ia adalah siri terbaru bukti kegagalan tamadun manusia.

Empat ratus ribu (yang direkodkan) maut sejak krisis Syria pada tahun 2011. Dan empat ribu lima ratus kanak-kanak dilaporkan mati keseorangan saat serangan meletus di Aleppo.

Bila agaknya kegilaan ini akan tamat? 
Di manakah peranan,fungsi manusia dalam mengatasi konflik perang yang tak berkesudahan ini?
Apakah benar wujudnya erti kemanusiaan?

Mungkin kemanusiaan itu wujud di saat manusia hanya berkongsi maklumat berita mengenai kejahatan kemiskinan dan betapa setannya konflik perang yang telah merampas jiwa-jiwa tidak berdosa di media sosial masing-masing?

Barry Malone, seorang editor online Al Jazeera pernah menyatakan dengan keras dalam salah satu tulisannya bertarikh 17 Mac 2015,

"When we tweeted the accusation that the world didn't care, many people retweeted it. But most didn't click the link to read our stories. Perhaps they wanted to be seen to care. Perhaps they believed that people should care. But they didn't care enough to read what we had written.

That's a shame."

Mari kita fikirkan perkara apakah menyebabkan manusia hilang martabatnya sebagai seorang manusia? Apakah yang membuatkan mereka terlalu sibuk sehinggakan di ruang lingkungannya memisahkan dirinya untuk mengambil peduli, menggalas tanggungjawab untuk mengatur masyarakat lebih-lebih lagi dalam krisis yang sedang berlangsung.

Karl Marx watak "kafir" yang digeruni oleh sebahagian besar manusia yang beragama begitu konsisten dengan teori "alienasi" (terasing atau pengasingan) yang mana alienasi didefinasikan sebagai sebagai salah satu bentuk hubungan di mana individu terasing dari dirinya. 

Marx berpendapat bahawa teori alienasinya (dalam konteks paham ekonomi) berkait rapat tentang kelas pekerja (masyarakat) yang tidak memiliki apa-apa melainkan menyerahkan "tenaga buruh" mereka kepada kapitalis untuk sejumlah wang demi kelangsungan hidup. Lalu, manusia (kelas pekerja) tidak mampu membebaskan dirinya selain dari mengabdikan keseluruhan jam hidupnya memproduksi kemahuan kapitalis sehinggakan hidup mereka terasing dari bahagian-bahagian penting hidup yang lain.

Manusia bagi Marx sepatutnya adalah makhluk sosial. Ini beerti manusia berupaya menemukan peranannya dalam bahagian-bahagian dalam pelbagai hal termasuklah dalam mengatur sistem masyarakat. 

Nah, apalagi bahasa yang paling mudah untuk menjelaskan situasi begini; manusia itu sebenarnya disibukkan setiap minit supaya mereka terasing supaya kelak mereka tidak punya masa untuk berfikir, bertindak apalagi untuk mengambil peranan dalam membina tataan cara hidup yang lebih sempurna. Inilah yang berlaku sekarang, saat kemiskinan sudah sampai ke tahap meragut nyawa dan saat krisis ekonomi mengakibatkan konflik perang, bangsa manusia hanya mampu kasihan dan bersimpati namun tak mampu berbuat apa-apa disebabkan mereka sudah terasing dari fungsi asal mereka.

Menariknya, jika kita kaitkan alienasi dengan hujah agama "Hablumminallah (hubungan dengan Allah) dan Hablumminannas (hubungan dengan manusia), teori alienasi mempunyai tempat dalam perbahasan menjaga hubungan dengan Sang pencipta dan manusia. 

Menjaga hubungan dengan tuhan dan manusia mungkin tak dapat didebat atas kapasiti ekonomi dan kelas pekerja, tetapi andai ada seorang yang beriman mampu melukis spektrum yang lebih luas, pasti dia mendapati bahawa meninggalkan salah satu hubungan akan menghasilkan keterasingan. Keterasingan yang terjadi inilah yang akan mengakibatkan manusia gagal memainkan peranannya. 

Bahasa akidahnya, jika seseorang mengasingkan diri dalam pengabdiannya dengan penciptanya, dia jelas sudah meninggalkan tanggungjawabnya sebagai hamba manakala apabila seorang manusia hanya memberi tumpuan kepada hubungannya dengan tuhan sehingga meninggalkan peranannya terhadap lingkungan sosialnya maka berlakulah ketimpangan dari segi ekonomi, sosial mahupun politik. Dan bukankah perintah mempertahankan keadilan sosial itu juga sebahagian dari praktis relijius ; menjaga dan menuruti perintah Tuhan?

Dunia adalah neraka. Setiap hari kabus penderitaan terapung di udara. Asap-asap kesengsaraan berlegar-legar berlanggar-langgar memberi isyarat kecemasan. Kapital adalah kiblat, jalan hidup manusia. Dosa-pahala ditentukan kuasa modal. 

Menyedihkan!

Sebahagian manusia terlalu sibuk menuruti kehendak sistem. Dengan cara itu mereka bilang kehidupan sebenar akan ditemui. Manakala sebahagian lain yang membaluti batang tubuh dengan agama berkejaran mencari syurga firdaus pantas bersenggama dengan bidadari-bidadari syurga tetapi menolak untuk bersusah payah membasuh nanah dan luka kehidupan di dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak