Dua minggu lepas ada cerita 7 orang anak-anak dan seorang ibu/isteri di Gurun, Kedah ditinggal terkontang kanting disebabkan suami merangkap ayah kepada 7 orang anak-anak itu dipenjara selama setahun didapati bersalah menjual barangan tanpa permit.
Kebetulan si Yaser dan Yuni nak balik ke The Land of Chempedak (aka Guar Chempedak), kami semua pakat keluarkan dana terkumpul, beli barang apa yang patut untuk bantu serba sedikit.
Mulanya tak tau nak beli apa. Sebabnya Yuni & The Gang dah beli banyak barang keperluan rumah (minyak masak, susu, tepung etc, aku rasalah!). Jadi kami buat keputusan untuk beli buku, komik dan mainan untuk anak anak dengan harapan selain makanan/keperluan dapur, ada benda yang boleh menghilangkan rasa sedih/gelisah anak anak walau sekejap. Duit lebihan kami sepakat nak beri secara tunai kepada si isteri untuk kegunaannya.
Elok sampai di rumah depa, Yaser terus buat laporan mengatakan bahawa rumah tu macam dah takdak orang. Lepas tu jiran sebelah bagitau depa dah pindah tapi taktau pergi mana. Keluarga tu tak tinggalkan sebarang pesan.
Buku, mainan dan wang ringgit, Yaser dan Yuni angkut balik KL. Kami sedikit terkilan, walaupun barang bantuan tidaklah banyak, tapi sayanglah, kami terlambat sampaikan sesuatu kat keluarga tu.
Kat mana depa semua sekarang? Apa khabar anak anak dan isteri tu? Macam manalah depa sambut bulan puasa tahun ni? Entah ada kekuatan atau tidak si isteri untuk mententeramkan anak anaknya tika sang ayah tidak bersama berbuka puasa di meja makan. Bagaimana depa nak sambut syawal, ada duit ke tidak, ada ke makanan yang nak disuap, siapa nak bayar bill, rumah, barang dapur, blablabla?
Untuk pengetahuan hang, masa cerita depa diviral di fesbuk, katanya si isteri tak bekerja. Semua benda yang dulunya diberes si suami kini tergantung. Paling sedih, anak anak katanya terpaksa berhenti sekolah.
Inilah caranya autoriti melayan kita, kelas masyarakat biasa. Undang undang dicipta untuk melindungi elitis dan memenjarakan manusia yang gigih bekerja menyara anak isteri. Peraturan, hukuman dikenakan kepada mereka yang tidak punya wang, yang tidak berpengaruh. Institusi kehakiman tunduk kepada kuasa. Kebenaran rebah di tengah tengah masyarakat. Keadilan seringkali tidak berpihak kepada lelaki dan perempuan yang bekerja apa saja untuk kelangsungan hidup.
Memang si suami tidak ada permit. Di mata undang-undang si suami sama sekali pendosa. Tapi besar sangatkah dosanya dibandingkan dengan dosa-dosa korupsi,rasuah,ketirisan,salah guna kuasa yang berlaku dalam struktur pemerintahan dalam negara / negeri?
Mana lagi besar - dosa berniaga tanpa permit yang tidak bersangkutan dengan orang publik atau dosa rasuah melibatkan dana awam ?
Mana pergi cerita skandal bank bumiputera tahun 80an dulu? Kenapa Khir Toyo boleh lepas? Apa yang berlaku di Sarawak era Taib Mahmud? Apa cerita skandal PKFZ, Perwaja Steel? Bab nepotisme/kronisme melibatkan elit politikus tu kita nak sorok mana? Kisah klasik kerajaan negeri jual hasil simpan hutan, balak, tanah untuk buat highway, kondo mewah semua tu mahkamah mana yang sanggup jatuhkan hukuman?
Sepatutnya kita bertaubat banyak-banyak. Kita biar ketidakadilan berleluasa. Kita biar kerosakkan meraja. Kita biar undang undang rampas seorang ayah dan suami dari keluarga yang sangat-sangat perlukannya. Tapi kita tak malu, kita perasan ahli syurga. Mulut berbuih cakap pasal hadith, buatnya tidak.
p/s. Ada sapa sapa tau famili yang aku maksudkan tu tinggal kat mana sekarang mohon bagitau. Itulah kegunaan fesbuk. Bukan setakat baca siakap keli dan dok invite main pirate kings tengah malam buta. Cerita masyarakat macam ni kita sama sama uruskan mana yang patut.
Nak harap ke Hadi Awang, dia pun dah BFF dengan Zahid Hamidi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak