Selasa, 30 Ogos 2016

SIRI MENULIS PERKARA SERIUS

Hujung ramadhan lalu, aku berdua dengan bapak dalam kereta, meronda sekitar pekan Sg.Petani. Aku memandu manakala bapak duduk di sebelah. Kami berbual panjang tentang pelbagai perkara.

Kiranya bagi aku, waktu itu merupakan masa yang baik kami meluangkan masa bersama berborak. Sehinggalah aku rasakan itulah masa yang paling sesuai untuk aku menanyakan pandangan bapak tentang satu perkara yang cukup meresahkan aku lewat ini.

"Masa mula-mula bapak nak hantar along masuk sekolah, bapak ada berasa bimbang tak?"

"Tak pun. Kenapa?" tanya bapak pula.

"Along cukup bimbangkan sang qudus. Tidak bimbangkan bagaimana dia nak menyesuaikan diri dengan alam persekolahan, tapi along bimbangkan sistem pendidikan yang semakin kucar-kacir.
Tak tahulah apa yang bakal terjadi kepada Qudus dan anak-anak lain."

"Kalau begitu, cubalah masukkan dia ke sekolah agama" cadang bapak.

Aku segera protes.
"Bapak, kalau sekolah agama adalah jawapan, mengapa terlalu banyak kerosakkan yang berlaku dalam dunia ni?"

Tak kisahlah sekolah agama atau sekolah aliran biasa, yang mesti kita tanyakan ialah, apa peranan sebenar pendidikan? Untuk apa anak-anak perlu dikejutkan di awal pagi, menyarung baju kemeja putih, bertali leher dan berseluar biru   kemudian masuk ke dalam kelas untuk menyelak helaian-helaian buku teks yang membosankan? Dan kenapa semakin banyak gred "A" diperoleh, kehidupan masyarakat semakin larut dalam kolam berselut kejahilan?

Kemiskinan, peperangan, sistem ekonomi yang menindas, jurang miskin kaya meluas, pencemaran alam, rasisme - mengapa semua ini semakin membarah saat kita mengakui sekolah, kolej, universiti ialah sebuah kem membina manusia menjadi manusia?

Dan kalau pula kita percaya sekolah agama melahirkan watak-watak berakhlak mulia, mengenali tuhan dan sifat-sifatnya, di bibir para pelajar terkumat kamit menghafal hadis dan kalam-kalam Allah, habis mengapa kerosakan tidak pernah reda malah semakin marak menyala?

Apa pendidikan berbasis relijius ini tujuannya hanya untuk mengenal Tuhan manusia sahaja? Apa pendidikan berbasis agama hanya melahirkan laki-laki yang tertunduk saat melihat wanita bukan muhrim dan perempuan-perempuan yang rela diperlakukan apa saja oleh suami - semuanya demi sebuah ganjaran dari ketaatan yang membabi buta? Di mana peranan pendidikan agama dalam struktur sosial-ekonomi, pemetaan tataan cara hidup manusia? Di mana peranan pendidikan agama saat dunia sedang bergelut dengan kecelakaan perubahan iklim? Bukankah pendidikan agama itu jelas fungsinya untuk melahirkan masyarakat yang bebas dan egaliter?

Nah, itu buktinya praktis-praktis relijius itu semuanya sudah menjauh dari nasib masyarakat.

Saat ini, mungkin kamu mungkin bilang aku tidak layak berbicara soal pendidikan.

Tapi kamu harus ingat, kamu,dia dan aku, suatu hari nanti pasti akan memimpin tangan anak kecil kita menuju ke pintu pagar sekolah. Kita berdiri di luar pagar melihat mereka berjalan masuk ke dalam kelas-kelas yang akhirnya menukar mereka menjadi manusia yang hidup dalam persaingan.

Yang berkemampuan akan mendapat peluang lebih, yang kurang akan tertinggal di belakang, Apa yang paling sakral dalam sistem pendidikan sekarang adalah menghasilkan satu unit manusia yang tidak perlu berfikir, tetapi patuh menuruti setiap perkara yang disuruh dan menghasilkan gred-gred yang menjadi tanda aras kejayaan seseorang. Pendidikan mesti dilihat eksklusif, sifat pendidikan itu sendiri sudah bergelumang dalam bauan kapitalistik - untuk mengaksesnya saja memerlukan sejumlah bayaran yang tentunya berpihak kepada yang mampu membayar 'pengerasnya'.

Soalnya bukan sekolah agama atau sekolah beraliran biasa, tetapi soal yang lebih keras "untuk apa sekolah-sekolah didirikan andai tidak mampu mengajar yang mana baik dan yang mana buruk?".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak