Ahad, 25 September 2016

PASAL JAWAPAN SAZLINA LAH AKU TULIS BENDA ALAH NI

Aku belum lagi menonton filem Pekak.
Tapi, aku begitu terkesan dengan respons cikgu kelas artikel, lagi-lagi pada item no. 11.
Kerja aku sekarang menuntut aku menguruskan hal pengurusan satu syarikat outsource di mana syarikat ini memberikan perkhidmatan "collection" (servis mengurus hutang piutang pelanggan institusi kewangan tempat aku bekerja).
Syarikat Sdn.Bhd ini menyediakan tenaga pekerja seramai seratus orang lebih dan kebanyakkannya masih muda. Ya, yang paling muda bekerja disini berumur 18 tahun dan yang paling tua pun baru berumur sekitar pertengahan 20an.
Aku fikir, mengapa depa perlu bekerja, sedangkan bukankah pada fasa umur begini depa sepatutnya sibuk masuk-keluar dewan kuliah, sibuk nak siapkan research dan pakat-pakat tak tidur semata menghafal benda benda yang nak dijawab dalam dewan peperiksaan?
Jadi aku mula bersembang dan bertanya depa semua. Dari satu soalan ke satu soalan yang lain. Dari suatu masa ke suatu masa yang berbeza.
Ramai di kalangan mereka datang dari kelas masyarakat biasa. Biasa di sini tidak bermaksud "kelas masyarakat" yang tinggal di Subang Jaya (sebagai contoh). Yang aku maksudkan di sini, kelas masyarakat yang majoritinya tinggal di kawasan flat, perumahan murah, datang dari latar belakang ekonomi keluarga yang "cukup-cukup" sahaja, mempunyai ramai adik beradik dan pilihan untuk bekerja di usia yang masih muda adalah keperluan menyambung "kitaran" hidup yang diwarisi dari tahun ke tahun.
Depa cakap kat aku yang depa tak minat menyambung pelajaran. Secara purata, latar belakang pendidikan mereka hanya mempunyai sekeping sijil SPM. Ada benerapa kerat sahaja yang memegang sijil kemahiran, dan diploma. Yang punya ijazah ada seorang.
Pasai apa depa tak minat belajar?
"Kalau nak sambung belajar, kami kena fikir banyak perkara En. Shah". Itu jawapan Sazlina, seorang pekerja rajin di bawah pengurusan aku.
Depa semua ada wawasan. Nak tolong mak bapak, adik-beradik, nak beli rumah, nak ada kehidupan yang lebih baik walaupun gaji bersih (tak termasuk insentif) seribu ringgit pun tak sampai. Campur insentif dan allowance, adalah tak sampai dua ribu. Gaji nak cecah dua ribu jarang-jarang sangat berlaku. Ada seorang pekerja tu cakap gaji bersih yang dia peroleh semuanya bagi kat keluarga. Dia hanya simpan seratus untuk keperluan diri.
Untuk menyambung pelajaran memerlukan pelaburan. Itu adalah fakta yang tak boleh disangkal sama sekali. Daripada melabur yang sudah semestinya menjadi satu lagi bebanan, lebih baik mereka pilih untuk bekerja. Kita sudah tak mampu menafikan bahawa pendidikan ialah produk eksklusif ; boleh diakses untuk sesetengah kelas yang mampu memenuhi garis panduan sistem.
Dan di mata golongan kelas biasa, pendidikan ialah perkara yang paling membosankan, tidak memberi kesan dalam kehidupan seharian.
Apa peri-pentingnya menyambung pengajian jika ianya menambahkan lagi bebanan?
Apa peri-pentingnya menyambung pengajian seadainya ianya adalah imejan-imejan ngeri terkurung di dalam silibus-silibus yang tidak memberi fungsi mengubah tata cara hidup?
Di titik akhir, yang paling penting ialah meneruskan saki baki kehidupan.
Walau gaji sedikit-sekurang kurangnya itu masih dikira "baik" untuk survival diri.
Mendiang Morris Scwartz meninggalkan pesan kepada seluruh pembaca buku tulisan anak buahnya, "Education is antidote to poverty"
Benar, Pendidikan adalah perkara terpenting menghapuskan kemiskinan.
Tetapi pendidikan berteras modal, persaingan, gred dan jumlah A sama sekali tidak merubah apa-apa. 
Jenis pendidikan sebegitu sebenarnya ialah vitamin yang memanjangkan lagi riwayat hidup status quo.
Aku tak nafikan aksi melawan arus seperti berhenti kerja dan mula bekerja sendiri itu tidak bagus.
Cumanya ia adalah bentuk escapisme yang personal ; dan bukannya bentuk ideologi untuk menentang tataan cara hidup yang semakin curang kepada kehidupan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak