Ahad, 25 September 2016

SITI KASIM DAN BUKU GRATIS MARXISME & KETUHANAN YANG MAHA ESA

Aku perhatikan, semakin lama, perbahasan dan perbincangan mengenai hal ehwal agama semakin membosankan. Tidak ada arah tuju, "pointless" dan membuang banyak masa.
Malah, menulis kritikan, hujah-balas terhadap perkara-perkara bersangkutan agama yang semestinya dikuasai para ahlinya menjadi semakin sulit.
Alih alih,kritikan yang seharusnya menjadi titik mula perbincangan sakral akhirnya menjadi sia-sia belaka.Tambahan pula di ruang lingkup masyarakat yang berakidahkan feudal, apa sahaja kritikan atau pandangan atau hujah-balas yang "pelik-pelik" mudah dianggap songsang dan terkeluar dari garis pegangan agama.
Akhirnya, persoalan/pandangan "pelik-pelik" yang ditimbulkan bertujuan mencari rona-rona pencerahan hangus menjadi partikel-partikel debu, yang meribut meraksa ialah sentimen remeh temeh, tuduhan melulu yang tidak ada kena mengena dan fitnah.
Sudahlah memfitnah, lebih memualkan, hukuman melabel "kafir", "muktazilah", "wahabi" atau paling dahsyat, "syiah" dijatuhkan serta merta atas pelaku yang memiliki pendirian/pemahaman yang berbeza dari pendirian majoriti.
Jutaan terima kasih kita ucapkan kepada kewujudan mazhab-mazhab "songsang" kerana itu, memudahkan masyarakat yang berakidah feudal untuk menjatuhkan hukum kepada sesiapa yang mempunyai perspektif yang berbeza.
Aku rasa sebab itulah cerita doa qunut patut-ke tidak dibaca pada solat subuh tak pernah selesai. Patutlah setiap kali masuk ramadhan, bab korek hidung di siang hari tak beres-beres. Dan patutlah juga perihal kedudukan jari telunjuk di akhir tahiyyat dah berkurun diperdebatkan.
Janganlah kamu berangan mempunyai fikiran yang kritis lagi progressif kalau bab korek hidung pun kamu tak habis bertelingkah lagi.
Itulah yang terjadi beberapa hari lepas sewaktu forum sinar harian berlangsung.
Masyarakat lebih mengingati jari hantu Siti Kasim dari soalan-soalan keras yang ditanyanya kepada ahli panel.
Kita lagi suka ambil "pot" pasal rambut perang Siti Kasim. Sudah lah tak berhijab, rambut pulak perang. Kita suka patahkan soalan Siti Kasim dengan bertanya pula "siapa Siti Kasim tu yang nak bertanya hal-ehwal agama?". Kesudahannya, kita beramai ramai berpakat meragui status keimanan Siti Kasim.
Tak seorang pun peduli kepada jawapan untuk soalan-soalan Siti Kasim "mengapa saya harus mengikuti ajaran agama bawaan kamu? (Merujuk kepada agama versi ahli panel) dan perbandingan hukuman sivil dan hudud bersabit hukuman ke atas pesalah yang berumur 50 tahun ke atas.
Ini bukan bait-bait tulisan untuk berpihak kepada Siti Kasim, peguam "badass" berambut perang tu.
Tapi tidakkah kita tertunggu-tunggu akan jawapan yang berpotensi membuka perspektif baru yang bermanfaat? Tidakkah soalan itu soalan yang bagus memandangkan yang menjadi panelis bukan calang-calang orangnya. Moderator forum pun apa kurang hebatnya-dikenali sebagai individu yang menganggap agama kristian sebagai ancaman kepada Muslim Malaysia.
Takkanlah kita semua tak mahu mendengar jawapan dari soalan gampang yang Siti kasim utarakan?
Baru-baru ni aku menerima buku percuma dari sidang redaksi Indoprogress. Buku bertajuk "Marxisme dan Ketuhanan Yang Maha Esa" adalah buku yang sangat menarik tetapi begitu kompleks untuk dipahami, ditulis oleh saudara Martin Suryajaya, Muhammad Ridha, Hizkia Yossie Polimpung dan kata pengantar oleh Muhamad Al Fayyadl.
Belum pernah lagi aku membaca buku dimana kata pengantarnya "memprotes" idea idea sang penulis buku. Bukan setakat memprotes, Muhamad Al Fayyadl memberi hujah-balas yang berjela-jela membuatkan perjalanan pertama di helaian awal begitu mencabar.
Martin, Ridha dan Yossie masing-masing dari kaum sosialis, lebih tepat;seorang Marxis. Sememangnya mereka pemikir kiri yang tulen. Mereka menulis idea dan saling mengkritik pendapat rentetan tulisan awal Martin mengenai eksperimennya tentang teologi Marxisme.
Aneh bagi seorang yang mengimani seorang Marxis seorang atheist, Martin membincangkan ideanya sekalipun seorang materialis tidak percaya kepada agama, sekurang kurangnya dia percaya akan kewujudan tuhan (mengambil semangat sains moden yang merupakan dasar Marxisme-pengertian bahawasegala bentuk immaterial hanya dilihat kepada sifat dari substansi material).
Melalui tulisan Martin aku menganggap dia bukan seorang yang mengimani tuhan, akan tetapi idea dan upayanya untuk mengaitkan konsep ketuhanan dengan teori historis materialisme dan teori dialektis materialisme wajar diperdengarkan atas semangat merayakan ilmu. Martin mempertemukan satu jawapan ; tuhan baginya wujud sebagai bahagian alam semesta kerana sifat material dan imaterial yang dia temukan.
Menariknya, idea dan konsep ketuhanan Martin tidak dipatahkan dengan sentimen "masuk nerakalah si kafir Martin" atau "takguna punya Martin, kata katanya adalah punca penghijrahan muslim kepada atheist".
Bahkan Ridha (aku dapat merasakan dia seorang Muslim sejati meski seorang Marxis) melawan konsep Martin dengan poin-poin baru yang relevan dengan konteks idea Martin. Tidak ada sedikitpun ayat Quran dituliskan untuk mempertahankan hujahnya, baris baris perenggan akhir tulisannya , "kontra teologi Martin : tuhan bukan mengenai bagaimana ia dapat dipahami, namun ia juga harus diimani dalam pemahaman itu. Hal inilah yang kemudian membuat ide mengenai tuhan selalu membuat kesedaran kepada mereka yang beriman selalu bergerak dan berupaya untuk merealisasikan idea tersebut dalam kenyataan praktis mereka. Dalam inilah tuhan menjadi ada".
Begitu juga dengan Yossie, walaupun di awal tulisannya dia mengkritik hala,tuju idea Martin, sebagaimseorang Kristian dia tidak terlepas untuk membawa ayat-ayat dari al kitab. Tulis Yossie sebagai kesimpulannya "Memperlakukan teladan Yesus sebagai teladan paradigmatik maka akan membuatkan orang kembali ke pergumulan dan penderitannya sehari hari -Ya! Anda harus menderita-dan berperang dari sana!"
Di situ, kita melihat perbincangan antara mereka mengenai agama dan ketuhanan menjadi wacana sihat yang progressif. Semestinya setiap dari kita meski seorang anarkis, komunis mahupun seorang kapitalis mempunyai pegangan mengenai agama dan tuhan - meski sebahagian dari kita tidak memilih jalan mempercayai konsep beragama. Namun, ia tidak menjadi masalah untuk mengemukakan idea masing masing dan seharusnya perdebatan itu adalah satu jalan di mana ia sendiri membuka jalan pencerahan.
Indonesia sudah memulakannya. Hal remeh seperti "tanya benda bukan-bukan, semayang ke tidak mamat rambut oren ni" sepatutnya sudah ditendang ke dalam longkang.
Bagi aku, punca masyarakat kita bersikap sebegitu kerana proses pembelajaran mereka sangat feudalistik. Ia hanya proses menyuap dari seorang pendidik kepada seorang penerima ilmu. Konsep berfikir secara kritis dipandang sepi dan yang banyak bertanya dicop sebagai kurang beriman, banyak songeh dan blablabla.
Itulah iman sejenis masyarakat feudal. Mereka mewarisi jubah dan kain serban bukannya kepercayaan dan pendirian yang menebal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak