Kepada tok imam, tok siak, nadzir yang berpangkat dato seri, timbalannya dan seluruh ahli pengurusan masjid negara, biar kami ceritakan kepada kalian akan kebimbangan kami terhadap pengurusan masjid.
Sudah beberapa bulan, kami datang berpagi pagian untuk bersarapan bersama rakan rakan gelandangan di dataran masjid.
Ada beberapa muka yang kami kenal dan mesra, dan ada muka-muka baru yang belum kami kenali.
Pagi tadi semasa mengagihkan sarapan, kami terperasan akan seorang perempuan muda, bersama 3 orang anak kecilnya tidur di dataran masjid. Menurut teman teman gelandangan yang lain, perempuan muda itu belum pernah bermalam di situ. Besar kemungkinan dia masih "baru".
Melihatkan keadaannya yang membimbangkan, rakan-rakan kami pergi bertanya khabar dan cuba mendengar cerita perempuan muda tersebut.
Perempuan muda tadi belum bersedia untuk bercerita sepenuhnya dan hanya memberitahu dia mempunyai masalah dengan suami. 'Masalah' itu cuma dijelaskan dengan kesan lebam di mata beliau.
Kami cuba membantu, perempuan muda yang mungkin masih dalam kondisi trauma enggan melanjutkan perbualan.
Kami hormati kehendak beliau, lalu kami meninggalkan nombor telefon dan sejumlah wang kepadanya. Salah seorang dari kami merupakan seorang peguam dan kini sedang memikirkan cara untuk membantu.
Masalah kami terhadap pihak pengurusan masjid ialah, kami telah menghampiri dua orang pegawai keselamatan yang bertugas. Kami memberitahu cerita perempuan muda dan anak-anaknya dan "memohon" keizinan untuk menempatkan perempuan tadi bersama anak-anaknya untuk tinggal sementara di dalam masjid memandangkan jelas dalam kondisi sedemikian, perempuan muda dan anak-anaknya memerlukan tempat perlindungan yang selamat.
Pihak sekuriti tidak memberi kebenaran untuk menjemput perempuan muda untuk berteduh di dalam ruang masjid. Katanya, sistem yang telah dijalankan pihak masjid tidak membenarkan mereka kaum gelandangan dan orang orang yang memerlukan perlindungan beteduh di dalam masjid.
Kami tidak marah dengan pihak sekuriti kerana menghormati tanggungjawab mereka menuruti arahan orang atasan. Namun jelas pihak pengurusan masjid sendirilah yang memancut kelemahannya dalam menyantuni orang-orang di dataran yang dambakan keselamatan.
Pihak masjid mesti belajar mempunyai "common sense". Kalian patut berasa malu, perkara sebegini tak perlu diajar kepada orang yang hatinya dekat dengan rumah tuhan. Apabila laporan dibuat, sepatutnya masjid terus membuka pintu , menjemput dan menyantuni seorang yang memerlukan perlindungan dan keselamatan
Masih terngiang ngiang kata seorang pegawai sekuriti "kami tak boleh biarkan mereka masuk.sebabnya sistem masjid begitu."
Mungkin kerana perempuan muda dan anak anak kecilnya bukan ahli keluarga tok imam, tok siak, tok bilal, nadzir dan timbalannya lalu "sistem" masjid sebegitu cacat dan compang camping diaplikasikan.
Perempuan muda dan anak anak kecilnya tak memerlukan duit. Hatinya sudah kecamuk, anak anaknya keletihan kerana berjalan kaki melarikan diri dari rumah, maka keselamatan dan perlindunganlah yang diperlukan sekarang.
Kami perasan ada kuliah dhuha pagi tadi di masjid. Mungkin ianya sedang berlangsung sekarang.
Biar kami tanya tok imam, tok siak, nadzir, timbalan dan seluruh pihak pengurusan masjid - mengapa perlunya kuliah dhuha jika masjid bersikap menutup pintunya untuk manusia yang sedang dipeluk ketakutan seperti perempuan muda dan anak-anaknya itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak