Rabu, 5 Oktober 2016

BLUES UNTUK AKU (bukan plagiat Aie)

Isnin yang blues.
Mengantuk dan bosan sebenarnya.
Dari pagi tadi, aku tekun menelan sepotong demi sepotong brownies yang aku dapat sebalang percuma dari Tariq minggu lepas. Lepas tu, budak-budak sini jamu aku makan laksa, katanya ada sedikit kenduri yang tim depa buat.
Sebagai seorang lelaki budiman yang tidak menolak rezeki, tanpa membiarkan kuah laksa bertukar sejuk, aku terus habiskan semangkuk. Nak mintak tambah, aku rasa segan, jadi aku sambung bereskan kerja yang masih berbaki. Dekat pukul tiga, Tariq datang hantar order rojak dua belas kotak untuk budak-budak tingkat satu.
Tariq pun blues jugak hari ni. Kami lepak sebentar di kedai Kak Ida, pekena teh 'o', dan berbual-bual kosong. Tak semena-mena aku terasa seperti seorang pegawai di Kementerian di Putrajaya. Pukul tiga lepak minum sembang benda bukan-bukan kat food court. Tak apalah, bukannya lama pun, aku berdoa teh 'o' Kak Ida mampu membasuh rasa blues kami berdua.
Tepat pukul 6 aku bergegas balik. Semasa terpacak menunggu tren, entah mengapa aku sengaja menaip "How the Bank Lies" di carian google.
Aku skroll perlahan-lahan mencari artikel menarik sampailah aku terjumpa satu artikel The Guardian bertajuk "The truth is out: money is just an IOU, and the banks are rolling in it" ditulis dua tahun lepas oleh David Graeber.
Di awal peranggan artikelnya, David Graeber menulis, "Back in the 1930s, Henry Ford is supposed to have remarked that it was a good thing that most Americans didn't know how banking really works, because if they did, "there'd be a revolution before tomorrow morning".
Baca mukadimah tu saja dah buatkan aku tersentak dari blues.
Kalau di zaman 1930an dulu tak apalah kalau semua orang tak tahu dan tak sedar apa yang sedang dan telah berlaku memandangkan teknologi di zaman itu tidak seperti di zaman sekarang. Akses kepada berita, rencana, perbahasan sangat terhad. Maka, kebarangkalian untuk ditipu, diperbudak, disuruh mengikut apa saja yang ditetapkan demi menjaga kebajikan pihak tertentu menjadi tersangat mudah.
Lainlah zaman sekarang. Zaman di mana kita semua boleh selak apa yang ada dalam baju Kim Kardasian dua puluh empat jam, zaman di mana satu dunia orang boleh kenal siapa dia Nadia Nordin dan suaminya yang curang dan inilah zaman liberalisasi pengetahuan, akses kepada informasi, berita, persoalan dan ruang menuju berbilion jawapan tersedia di hujung jari.
Tapi, mengapa revolusi tak juga berkunjung tiba? Bukankah manusia sekarang lebih tersedar dari manusia di zaman 30an dahulu?
Apa yang tak kena sebenarnya?
Tak usahlah kita mulakan perbincangan kita mengenai keselingkuhan, penipuan industri perbankan macam yang nak disampaikan Graeber. Berat sangat. Nanti tak sempat bincang hang dah mula menguap, mula cek mesej whatsapp. Jadi kita mulakan dengan mengambil contoh yang mudah mudah dahulu.
Hari-hari kita memandu kereta ke pejabat. Lebuhraya yang membiak subur macam khinzir, fly-over yang berselirat sampai ke langit ketujuh, dan tol yang terbina di setiap ceruk sepatutnya memudahkan urusan perjalanan kita. Itulah yang mereka janjikan pun masa mula mula nak bina lebuhraya.
Sayang seribu kali sayang, kenyataannya tersangatlah sundal. Kita sebenarnya melingkupkan duit kita sendiri untuk berhenti menyemak di dalam lautan kenderaan ditemani deruan hon yang membingitkan.
Hidup ini begitu tertekan, pagi-pagi lagi kita dah ditipu, petang nanti ditipu lagi dan penipuan ini kita relakan dari sehari ke sebulan sehinggalah bertahun lamanya.
Sama juga macam naik tren. Hari hari Rapid KL cakap, dialah yang menghubungkan kita. Dialah yang paling efisyen,paling menjaga keselesaan para penumpang.
Yang pasti, kita sememangnya berhubung, yakni bersempit sempit dalam tren yang bergerak dengan kadar kelajuan siput babi, sementara ekon di dalam tren menghembus udara seperti nazak-sedang menunggu ajal.
Sungguhpun begitu, setiap 25 haribulan, kita pastikan duit bahagian untuk tambang dan caj parkir diasingkan. Kita tahu bahawa kita bakal mencarut lagi esok pagi apabila suara perempuan memohon maaf atas masalah teknikal berlaku tetapi seperti biasa kita relakannya, rela ditipu hidup-hidup.
Adik,abang,kakak,pakcik-makcik,
Revolusi tidak hanya bermaksud dengan apa yang telah berlaku di Tunisia atau di dataran Tahrir lewat lima tahun lalu.
Apa perlunya revolusi, jika pemikiran masih berselut kedunguan, masih bersikap tidak peduli, masih rela ditipu dari sekecil kecil benda sehingga sebesar besar perkara?
Contoh yang aku berikan di atas memang benda kecil. Tapi macam Henry Ford bilang, kalaulah kita tahu bagaimana kita dibodohkan sistem, hari-hari kita pasti disulami revolusi.
Nak revolusi tak semestinya kena tidur terkangkang kat dataran, tak semestinya main aci ligan dengan FRU-tapi revolusi berhasil saat kita mula merubah pemikiran, mula menunjuk sikap, mempunyai pendirian, betah bercakap soal ideologi, soal mengorganisasi
dan paling penting sudah mula menyoal segalanya.
Zach De La Rocha pernah sekali berkata,
"Great thing about young people is, they questions everything!'
Sekarang kita dah kena mula menyoal,
Kenapa kita memerlukan seorang menteri yang pandai memasak nasi goreng tanpa cukai seperti Ahmad Maslan?
Mengapa perlunya stesen TV menayang rancangan realiti seperti Daei, Pencetus Ummah, Imam Muda kerana akhirnya para peserta hanya mampu menulis sebuah warkah jiwang di laman sosial?
Sejauh mana islamiknya perbankan patuh syariah? Adakah perbankan sejenis ini mengubah sistem kapitalistik amalan bank-bank konvensional ataupun ianya tetap sebati dalam sifat yang sama melainkan berbeza dari segi terma?
Banyak lagi kalau kita bersungguh nak persoal. Aku menulis panjang-panjang ni bukannya mengharapkan esok sebelum subuh berlaku revolusi, tapi itulah pasal; orang lagi suka dok persoal kenapa budak laki suami kepada Nadia Nordin tak melawan bila bini dia terajang dia.
Aku nak jawab hal sepak-terajang rumah tangga ni tak pandai. Hang tanyalah ustaz uatazah dalam grup whatsapp. tiga hari tiga malam pun depa boleh bagi jawapan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak