Hujung minggu ni cuba hang layan filem-dokumentari Filmage:The Story of Descendents & ALL.
Ini cerita pasal kugiran pop punk legenda The Descendents. Hang boleh lah kenal dan selami setiap inci perjalanan hidup kugiran ni dari mula ditubuhkan - pertukaran line up - asal usul perubahan nama dari Descendents ke ALL, krisis dan konflik ; pendapatan sebagai ahli musik yang tak menentu sehinggalah pasal keadaan kugiran tu sekarang. Dah tua woih budak budak Descendents ni!
Bagi aku, bahagian yang paling menarik dalam pendokumentasi perjalanan The Descendents ialah bahagian ketika krew dokumentari menanyakan Bill Stevenson ( ketua kumpulan merangkap anggota asal merangkap pemain drum) mengenai hubungan dengan ayahnya.
Ketika disuruh menceritakan pasal hubungan anak-ayah, riak muka Bill pantas berubah. Dia menjelirkan lidahnya dan berulang kali berkata 'no,no'. Lepas tu dia terus bangkit dari kerusi dan meninggalkan set sebelum datang semula dengan matanya berair.
Ketika menceritakan tentang ayahnya, Bill menangis teresak-esak. Kata Bill "he was a good man, but he was so cold and cruel".
Bayangkan punk rocker berumur pertengahan 50an pun boleh teriok pasal ayah dia tak peduli kat dia. Jadi apalah sangat kalau nak samakan dengan hang yang setakat meminati Akim & The Majistret?
Bill Stevenson seperti kesemua makhluk lain ; mendambakan kasih sayang, perhatian, bimbingan, sokongan,galakan dari seorang lelaki bernama ayah.
Paling terharu, walaupun hubungannya dengan ayahnya pahit gila, Bill tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak ; menjaga serba serbi keperluan ayahnya ketika sakit tenat sehinggalah ayahnya mati.
Hari ini, ramai di antara kita sudah berkahwin. Sudah mempunyai paling kurang seorang anak.
Tanggungjawab seorang ayah/ibu bukanlah setakat mengupload gambar-gambar anaknya di media sosial berkapsyenkam seolah-olah anak dia seorang ja yang paling comel / paling bagus / paling soleh dalam dunia ni.
Dalam keadaan dunia sekarang yang mendebarkan, tataan hidup yang dipesongkan dari tujuan hidup sebenar, jam-jam sekarang adalah merupakan jam-jam yang paling mencabar untuk pasangan ibubapa.
Keluar kerja awal pagi-hantar anak ke rumah jiran-balik rumah bila malam, berapa jam sebenarnya kita peruntukkan untuk keluarga,suami,isteri dan anak?
Bila tiba hari minggu, bawak anak isteri lepak kat restoran fast food konon-konon nak luangkan masa berkualiti. Padahal anak kita sibuk dengan elmo dalam ipad yang kita beli kat dia, bini sibuk beli tudung online, yang kita pulak beriya ambil gambar depa berdua lepas tu upload dalam instagram tulis situ "like daughter like mother, brunch together, feeling blessed".
Kalaulah macam tu hang punya feeling blessed, aku tumpang bersedih. Nak suruh aku menangis pun aku sanggup.
Tiada seorang pun yang mahu mengalami seperti yang dialami zaman kanak-kanak Bill tapi kita mesti mahu menjadi Bill yang sekarang - seorang punk rocker, seorang abah yang cukup menyayangi dan bertanggunjawab terhadap anak-anaknya.
Oh ya, harini hari kelahiran semula sang qudus. Tak ada parti besar besaran, tak ada belon, tak ada clown, yang ada cuma aku,pari pari polka dot, sebiji hadiah, sushi dan berjuta kepulan doa serta harapan untuk kami raikan sang qudus.
Aku kira, "kehadiran" itu lebih penting dari segalanya buat sang qudus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak