Jumaat, 24 Mac 2017

ENTAH, TAK ADA TAJUK. LETAK JE LA NAMA NENEK

Petang tadi langit menyimbah air suci ke atas wilayah pura-pura Kuala Lumpur tanpa belas kasihan. Aku bulatkan tekad keluar dari bangunan 44 tingkat itu untuk mendapatkan tren, meski aku sedar akan risiko menentang kegilaan ribut di luar.

Ketika aku diserang tamparan air hujan multi halus, saat itu aku terfikirkan subjek "training" yang aku sertai sepanjang hari ini.

"Stratergic & Analytical Thinking" - itulah subjek yang aku dan hampir 20 pegawai lain belajar dari jam 9 pagi hingga 530 petang.

Bunyi tajuk training tu sangat luas. Tetapi dikecilkan kepada ruang lingkup pekerjaan aku. Mulanya aku fikir, subjek macam ni sesuai la bagi orang macam Tariq atau member-member lain yang berniaga sebabnya pada rasional aku, orang berniaga mesti banyak berfikir. Lepas tu kena fikir dan rancangkan bagaimana nak pasarkan produk, kena fikir pula cara menyelesaikan masalah perniagaan dan banyak lagi perkara gila yang mesti difikirkan.

Jika mengambil Strategic & Analytical Thinking masuk ke dalam skop pekerjaan aku, sebenarnya "training" tadi memberi tips bagaimana nak mencapai visi syarikat. Nak mencapai visi satu hal, cara-cara nak mencapai visi mesti diambil kira, prosesnya  dan yang paling utama bagaimana dari nak pecahkan idea kepada ipartikel-partikel yang lebih kecil supaya perangkaan kepada perlaksaan untuk mencapai misi dapat diimplementasikan. Lepas dah aplikasikan idea-idea tersebut, tiba masa proses "monitoring" dan seterusnya memperbaiki mana mana perkara yang perlu.

Trainer yang mengendalikan kelas tu sempat bagi satu soalan fundamental yang bagi aku cukup mengesankan;

Perlukah kita menyusahkan diri buat benda ni semua? Kalau tak buat kerja merangka strategi ni, tak tercapaikah misi kita? Dan apakah kerja memikir benda benda detail lagi merumitkan ni hanya boleh diaplikasikan dalam kerja di pejabat sahaja atau boleh diaplikasikan ke dalam setiap inci kehidupan?

Bila dia cuit bab kehidupan, aku langsung teringatkan kata-kata nenek (gelaran yang aku panggil kepada seorang kawan yang aku kenali cukup setahun lalu dan kini menunggu masa berhenti kerja). Nenek pernah kata kat aku dia tak merancang kehidupan dia. Nenek main redah semua benda yang mengunjung tiba dalam hidupnya. Macam tak logik aku dengar. Takkanlah masa dia kahwin 5 bulan lepas, itu bukan sebahagian dari rancangan dia?

Dalam keributan hujan di luar, aku berkali-kali mencuba mencari jawapan sebab mengapa nenek cakap macam tu? Perlukah semua benda dalam hidup ini kita nak kena rancang lepas tu pecahkan rancangan kita kepada idea-idea halus dalam usaha mencapai matlamat? Atau sesetengah perkara saja kita rancangkan dan selebihnya kita biarkan; mengikut rentak dan tarian kehidupan? 

Ataupun tak payah kalut fikirkan langsung idea dan merancang macam nak runtuh awan di langit?

Kebasahan yang aku relakan dari garangnya hujan di luar membawa aku masuk ke dalam tren. Dari stesen KLCC ia menuju ke perhentian terakhir gombak. Aku mahu pulang. Itu matlamat aku selepas training berakhir. Dan aku tahu hujan ribut yang sedang mengamuk memang berniat menunda niat aku untuk balik awal.

Aku tak merancang bagaimana nak meredah kegilaaan di luar. Pinjam payung kawan atau nak beli baju hujan di seven eleven dan berlari pecut menuju ke stesen bukanlah startegi mahupun idea kritikal yang aku rancangkan. Tetapi yang ada adalah keberanian sebesar biji sawi sanggup berbasahan, sanggup menerima risiko dijangkiti demam selesema dan sanggup melupakan berita ngeri sepasang suami isteri dipanah kilat ketika sedang berjalan di dalam hujan.

Jadi, aku rasa mungkin apa yang nenek maksudkan dulu ialah, untuk hidup mesti punya keberanian. Dan mungkin sebab itu jugaklah sampai sekarang dia tak terangkan kat aku apa pasal dia kata dia tak merancang apa-apa dalam hidup dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak