Khamis, 18 Mei 2017

BUAH DADA IZARA AISHAH DAN 20 RIBU GRADUAN MENGANGGUR

"Kita tidak mahu membebaskan masyarakat. Kita mahu, masyarakatlah yang membebaskan diri mereka sendiri"-Errico Malatesta :, Anarkis & Pengorganisasian.

Isnin lepas, klip video berdurasi 18saat Izara Aishah, seorang aktress tempatan tersebar di seluruh pelusuk tanah air. 

Klip video itu memaparkan pakaian Izara yang menampakkan bahagian tepi buah dadanya (side boobs) ketika dia menghadiri sebuah acara menjadi tular sehingga mengundang keluh kesah masyarakat.

Masyarakat seperti ini yang berpegang teguh kepada prinsip mencegah kemungkaran tidak memerlukan masa yang lama untuk berdiskusi, berhujah balas, menyerang tindakan Izara dan mengingatkannya kepada adat resam dan praktis agama. Tidak kurang juga yang sempat mengkaji dan menganalisis struktur fisikal buah dada Izara meski berpandukan dari bahagian sisi bersumberkan klip video tersebut. 

Izara Aishah pantas mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada publik. Dia mengakui pakaiannya itu mengundang ketidakselesaan masyarakat dan peminatnya tetapi mengakui video itu ialah video lama. Kini, dia semakin matang dan sensitif dalam etika berpakaian. “Insya-Allah, suatu hari anda akan memaafkan saya” kata Izara.

Dan disebabkan permohonan maafnya, ketidaktentuan arah, hingar binger masyarakat semakin reda. Masyarakat pun kembali menyambung urusan harian mereka yang tertangguh semata-mata memenuhi tanggungjawab sosial "memperbetulkan" kesilapan Izara.

Inilah tugas masyarakat yang merdeka – mengambil peduli terhadap urusan pakaian dan aurat seorang actress. Sebenarnya masyarakat bersikap fetish -  mahu mendengar permohonan maaf instan dari mana-mana penyanyi dan pelakon yang melakukan kesilapan. Mereka, kemudian akan merasa lega dan tidak terganggu lagi. 

Pada 10 Mei 2017 yang lepas, Amran Ahmad menulis sebuah artikel di portal Malaysiakini bertajuk " Malaysia Maju : Siapa Makin Kaya Siapa Makin Miskin?.

Amran, di dalam artikelnya menyuarakan krisis ekonomi kelas pekerja hari ini, pengganguran kaum graduan, upah gaji kelas pekerja imigran dan jurang kelas antara kelas elit dan kelas pekerja yang semakin hari semakin meruncing.

Namun artikel serius begini hanya dikongsi seramai 2.2 ribu di ruangan Facebook dan hanya 106 komen dicatat di bahagian komen artikel. 

Begitu juga yang berlaku pada 28 April lepas apabila Berita Harian menyiarkan berita hutang isi rumah di Malaysia meningkat ke 89%. Peratusan ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara Asia tertinggi memiliki hutang isi rumah. Sebelum itu, Astro Awani pada 3 April melaporkan  “Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata sebanyak 80 peratus daripada hutang isi rumah diambil daripada sistem perbankan dan 20 peratus daripada institusi kewangan bukan perbankan

Astro Awani dalam laporannya yang sama menyambung "Lebih separuh daripada hutang isi rumah ini adalah untuk tujuan pembelian hartanah dan kenderaan, manakala pinjaman peribadi merangkumi 15 peratus dan kad kredit sekitar 3.5 peratus,".

Seperti kelazimannya, para Menteri cerdik pandai akan mencadangkan idea-idea avant-garde, melangkaui zaman dan berpesan-pesan kepada masyarakat supaya tidak berbelanja benda-benda yang tidak perlu dan membazir seperti yang ditulis dalam laporan Astro Awani,
"Beliau (merujuk kepada Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta Menteri Kewangan menyatakan nisbah hutang isi rumah berbanding dengan KDNK untuk tempoh lima tahun dan langkah yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan tabiat pengguna yang suka meminjam untuk tujuan bukan keperluan"

Berita-berita dan laporan berkenaan ekonomi dan kelas pekerja jarang-jarang menyerap ke dalam sensitiviti masyarakat kita yang teguh berprinsip mencegah kemungkaran.

Seperti yang Amran tuliskan,seramai 20,000 graduan universiti tidak mendapat peluang pekerjaan. Amran terus menyambung dengan mengambil data dari  laporan Jabatan Perangkaan, jumlah pekerja di Malaysia setakat bulan Oktober 2016 berjumlah 14.77 juta orang dengan majoritinya merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah.

Soalannya di sini ialah,

1.            Mengapa golongan mahasiswa yang berpenat lelah menghabiskan tesis di kelas dan terkongkong di dalam autoriti Universiti kini tidak bekerja? Dan 20,000 graduan yang menganggur itu, jurusan apakah yang mereka ambil sehinggasekarang mereka masih terkial-kial mencari pekerjaan?

2.            Jika jumlah graduan yang memiliki sekeping ijazah pun dibayar upah secara purata RM2,200 sebulan, berapa pula upah gaji majikan sediakan kepada majoriti kelas pekerja (14.77 juta orang)  yang cuma memiliki SPM dan kebawah? Adakah upah sebanyak RM2,200 ini mencukupi memandangkan hutang isi rumah di Malaysia antara yang tertinggi di Asia? Dan jikalau cukup, mengapa 80% hutang isi rumah berkaitan pembiayaan di sector perbankan? Tidakkah Menteri kita sudah berpesan ; jangan berhutang benda yang bukan-bukan dan tidak perlu?

3.            Mengapa begitu ramai yang hanya berkelayakan SPM dan ke bawah? Adakah anak-anak merasa tidak enak kepada Pendidikan lanjut? Atau Pendidikan itu adalah sejenis kasta? Siapa berduit, silakan, siapa yang tidak, baik lupakan?

Oh, jangan lalai, majikan dari kalangan syarikat korporasi besar yang menikmati jumlah kekayaan lebih dari jumlah pendapat kelas 99% (kelas pekerja) lebih berminat dengan pengambilan pekerja imigran kerana kos upah gaji yang jauh lebih murah dan dengan itu mereka tidak ghairah untuk menggajikan pekerja lokal. 

Hasilnya, konflik berlaku. Kesengsaraan tetap dirasakan kelas masyarakat biasa. Pekerja tempatan sukar mendapat kerja atau sekiranya bekerja pun diberi upah murah manakala pekerja imigran mendapat upah kecil tetapi tahap kondisi pekerjaannya teruk. Kedua-duanya teraniya dengan polisi dan kehendak majikan.

Matematik mudahnya; produksi mesti besar kosnya mesti minimal. Ini adalah formula supaya kelas korporat akan terus menghinggapi kehidupan mewah, pekerja, mahasiswa menganggur terus tersepit.





Masyarakat tidak perlu merasa hairan jika mendapat tahu seorang graduan Universiti yang memiliki ijazah dalam jurusan Geografi, mendapat keputusan akhir CGPA 3.58 ,berpengalaman dalam penyelidikan berkaitan jurusannya sanggup bekerja sebagai pekerja kontrak di syarikat "outsourcing" kerana tidak memiliki peluang yang sewajarnya,  bergaji pokok sebanyak RM 1, 500 sebulan dan bekerja dari 9pagi - 6petang di hari bekerja, 9pagi -2petang pada hari minggu.


Kemana hasilnya pendidikan, di saat anak-anak dikejarkan ke sekolah, disaring melalui peperiksaan dan kemudian memanjat tangga-tangga kuliah menyediakan tesis-tesis mendebarkan dan di akhirnya selepas bergambar di hari graduasi, dia tidak memiliki peluang mempraktis apa yang dia sudah pelajari sebaliknya bekerja kerana pengaruh ekonomi yang mencengkam? 

Bukankah pendidikan ini bermaksud untuk menyelesaikan masalah masyarakat? Bukankah ertian sebenar pendidikan ialah membina teknologi, mencipta kemajuan untuk memudahkan urusan harian masyarakat? Dan bukankah yang kita katakan sebagai pendidikan itu ialah produk melawan ketidakadilan, berani mendepani tirani, bercita-cita menumpaskan kemiskinan dan mencabar kaum elit penguasa yang menyusahkan?

Barangkali, yang perlu kita perbaiki, perbetulkan dan bereskan adalah cara-cara membangunkan pemikiran masyarakat sebelum kita berfikir strategi mengatur sistem baharu agar eksisnya dunia yang lebih baik kelak.

Tidakkah masyarakat harini yang diberkati dengan teknologi sedar bahawa bahagian tepi buah dada Izara Aisyah itu tidaklah menyakitkan dibandingkan dengan kerelevenan penderitaan ekonomi-sosial-politik yang mereka sama-sama tanggungi sekarang?

sumber
http://www.malaysiakini.com/news/381759
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/05/16/izara-video-maaf/
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelbagai-langkah-mengekang-pertumbuhan-hutang-isi-rumah-137843

http://www.bharian.com.my/node/148347

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak