Jumaat, 29 Jun 2018

WORLD REFUGEE DAY : HARI YANG TIDAK PENTING

BEBERAPA hari lepas, tepatnya pada 20 Jun 2018 merupakan hari "World Refugee Day."

Entah mengapa hari itu sepi tanpa sambutan. Tiada ingatan. Tiada borak-borak mengenai nasib berjuta pelarian-pelarian. Tiada persoalan mengapa pelarian kian bertambah di era dunia terpekik-pekikkan kemajuan, teknologi dan kemanusiaan.

Di Malaysia juga begitu.
Mungkin kerana kita masih sibuk beraya. Mungkin juga kita sedang enak berbahagia selepas negara ini diterajui kerajaan bebas kleptokrasi. Ataupun mungkin yang sebetulnya, kita tidak pernah peduli sedikit pun hal isu pelarian?

Signal kemanusiaan kita hanya bergetar apabila Gaza diletup rejim Israel. Setiap kali itulah derma untuk Gaza menimbun-nimbun. Selepas solat jumaat kita berarak ke kedutaan Amerika di Jalan Ampang. Di pejabat, di meja makan, dimana-mana sahaja, kita bersyarah soal memboikot barangan buatan Israel. Israel kejam, Israel zalim, hancur Israel jerit kita!

Bagi kita, istilah pelarian merujuk kepada bangsa Syria yang mana wanita-wanitanya elok dikahwini kita demi menjaga kebajikan mereka. Pelarian juga menyegerakan ingatan kita kepada Rohingya - bangsa yang kita terima kemasukkan mereka tetapi tidak tahu berterima kasih, pengotor dan suka menipu harga jualan di pasar borong. 

Walaupun begitu, kita faham benar pelarian, mangsa perang dan golongan tertindas semuanya orang muslim.

Tapi tahukah kita, bukan orang Islam sahaja yang tertindas di muka bumi ini? 

Tahukah kita, sekurang-kurangnya 1.5 juta rakyat Venuezela kini menjadi pelarian? Tahukah kita bahawasanya mereka adalah bangsa tertindas, hidup merana dalam kelaparan,  keganasan dek kerana aturan ekonomi yang menghancurkan keseluruhan hidup mereka? Seperti yang dilaporkan Vice News pada 18 April 2018, setiap hari berlaku kes kematian kerana stok-stok ubatan terbatas. Namun Presiden Venuzuela Nicolas Maduro telah menghancurkan protes-protes dari massa malah mengetatkan cengkaman partinya terhadap kuasa, menyangkal kewujudan krisis kemanusiaan dan melumpuhkan harapan pembaharuan politik.

World Refugee Day disambut pada pertama kali pada tahun 2001 bertepatan sambutan 50 tahun tertubuhnya 1951 Refugee Convention. 

Ia bukanlah perayaan yang dilimpahi lampu-lampu neon, makanan-makanan lazat dan diraya penuh keterujaan melainkan bertujuan untuk melukis kesedaran publik dan masyarakat global tentang jutaan nasib pelarian yang melarikan diri disebabkan perang, konflik dan penganiayaan di negeri sendiri.

Pada tahun 2001, dianggarkan 12 juta pelarian mencari perlindungan / suaka di setiap pelusuk dunia. Selepas 17 tahun, dapatan UNHCR menyatakan terdapat 68.5 juta manusia yang kehilangan tempat tinggal manakala dari jumlah ini 25.4 juta adalah pelarian. 

Mengerikan bukan?

Pada titik terekstrem, pertambahan bilangan pelarian menjelaskan betapa nerakanya kondisi dunia sekarang.

Walaupun jumlah pelarian bertambah pada setiap tahun, dari konflik perang di timur tengah, krisis genoside di Rakhine, kemiskinan yang maha dahsyat di benua Afrika sehingga  krisis ekonomi di Venuezela - menyaksikan jutaan manusia keluar berbondong-bondong mencari perlindungan di negara-negara yang lebih selamat,  namun negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Itali dan Jerman bertindak sebaliknya.  

Menurut Madeleine Ngo yang menulis "3 Things We’ve Learned Since Last Year’s World Refugee Day" di portal Vox, mengatakan negara-negara kaya kini sedang menyusun pelan dan polisi untuk menutup pintu kepada pelarian-pelarian. 

Tulis Ngo, "Menurut UNCHR, peratusan besar orang yang terlantar sedang dihoskan di negara-negara membangun, sementara negara kaya seperti Amerika Syarikat dan Itali telah menjadikannya lebih sukar bagi pelarian untuk masuk. September lalu, Trump menurunkan jumlah pengambilan pelarian kepada 45,000 orang - jumlah terendah dalam tahun. Dan walaupun orang Syria adalah kumpulan terbesar orang yang melarikan diri dari konflik sekarang, dari Januari hingga April tahun ini, AS dilaporkan hanya menerima 11 pelarian Syria."

Trump baru-baru ini dikecam kerana polisi "zero-tolerance" membabitkan pengasingan anak dan ibu bapa berstatus imigran. Kelmarin, The Independent melaporkan "In a statement issued by the UN's Human Rights Council, experts said the president's recent executive order, ostensibly to halt the controversial separations, failed to resolve the problem and "may lead to indefinite detention of entire families in violation of international human rights standards".

Manakala Itali dibawah pemerintahan Parti Lega sebuah parti "right-wing" membuat keputusan yang membanggakan Musollini  dengan pendirian mereka untuk menghantar pulang 500 ribu pendatang haram yang kebanyakkannya datang dari Afrika berstatuskan pelarian.

Jerman juga begitu. Meski sebelum ini (2015) kerajaannya membuka sempadan kepada hampir 1.4 juta pelarian namun setelah desakan dari pihak konservatif, Jerman sedang dalam pelan menghantar pulang imigran dan pelarian ke negara asal mereka yang bergolak.

Bagaimana pula dengan Malaysia?
Tentu sekali negara ini bukan ahli 1951 Refugee Convention. Sekiranya negara barat dan maju yang merupakan anggota kepada 1951 Refugee Convention tidak serius kepada situasi pelarian yang berantakan, apalah sangat yang kita harapkan kepada negara bukan ahli seperti Malaysia.

Laporan Amnesty International Jun 2010 bertajuk "Diseksa Dan Ditinggalkan - Pelarian Dinafikan Hak di Malaysia" membariskan detail-detail berkaitan layanan pelarian yang memasuki Malaysia.

Tiada jumlah tepat, namun anggaran menyatakan terdapat 90,000 sehingga 170,000 pelarian berada di dalam Malaysia. Majoritinya berasal dari Myanmar. Sehingga penghujung Februari 2010, UNHCR berkata ia telah
mendaftarkan sekitar 82,400 pencari suaka dan pelarian, di mana
daripada jumlah tersebut, 18,500 orang adalah kanak-kanak. Dianggarkan seramai 2.2
juta pekerja asing sah bekerja di Malaysia, serta anggaran 2.2 juta
pekerja asing tidak sah (irregular) telah berhijrah ke negara ini. Apa yang tidak diketahui ialah peratusan penduduk pekerja asing
yang sebenarnya merupakan pelarian yang belum didaftarkan atau
tidak cuba untuk menuntut suaka.sumber laporan Amnesty).

Sehingga hari ini, undang-undang Malaysia menganggap pelarian perang, pencari suaka adalah pendatang haram. Kita tidak dapat membezakan salah satu darinya. Ini yang menyebabkan Malaysia mengaku di negaranya yang berdaulat tidak wujud pelarian.

Laporan Amnesty menyatakan kebrutalan yang dilakukan oleh pihak penguasa, polis dan jabatan Imigresen terhadap pelarian dan imigran. Hak mereka tidak diiktiraf ;  pelarian dan pencari suaka dikenakan
hukuman seperti penjenayah, gangguan, layanan buruk, pemerasan,
penahanan lama yang tidak sepatutnya dan berisiko, ‘refoulment’
(penghantaran pulang secara paksa).

Melihat kesan-kesan dari usaha penolakan terhadap pelarian imigran, memperlihatkan represif Negara melalui sempadan dan karenah birokrasinya. Bagi Mikhail Bakunin - tokoh falsafah anarkisme pernah menyuarakan perihal keangkuhan negara.  Baginya, Negara hanya ‘melindungi' warganegaranya—mengakui hak asasi manusia—hanya dalam batas-batasnya, baik teritori maupun regulasinya. Maka kemudian secara otomatis, Negara tidak akan mahu mengakui hak di luar batas—teritori dan regulasi—yang mereka tentukan.

Permasalahan pelarian mahupun imigran bukan lagi menjadi tanggungjawab Negara. Bahkan ia adalah tanggungjawab seorang manusia, warganegara, penduduk bumi keseluruhannya. 

Masihkah kita ingat kisah nelayan-nelayan Acheh yang menyelamatkan pelarian-pelarian Rohingya yang terhuyung hayang di atas bot melintasi perairan mereka?

Meski penguasanya melarang kerana keberadaan mereka nanti mengundang permasalahan lebih serius, apakah yang nelayan-nelayan itu ungkapkan?

"kerana mereka juga berhak hidup seperti saya"

Semudah dan seikhlas itu.
Nyatanya tindakan Negara, sempadan dan dasarnya-dasarnya tidak melindungi kemanusiaan. Meski tindakan mereka benar di sisi perlembagaan, ia tetap tidak bermoral disisi nilai kemanusiaan.

Seperti kata Harry Leslie Smith dalam tulisannya di The Independent  bertajuk "I'm nearly 100 Years Old, I Saw The 1945 Refugee Crisis Firsthand –and I need people to listen to my warning" , kata Harry, "Di era ini, kita hidup dalam ketaksuban yang tidak masuk akal dan kejahilan."

Sehingga masyarakat tidak lagi berdolak dalih antara semangat nasionalisme dan hak mengiktiraf hak semua pelarian merentasi agama, ras dan perbezaan lainnya, disitu akan bermulanya runtuhan birokrasi Negara dan Sempadannya.

Jika tidak, kita tidak akan penah berlaku jujur dalam memperkatakan isu kemanusiaan melibatkan pelarian dan kaum tertindas. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak