Isnin, 9 Julai 2018

MASYARAKAT PEDOPHILE

PETANG kelmarin, ketika aku sedang menunggu beberapa pekerja imigran bertugas mencuci kereta aku di stesyen minyak Shell Taman Melati, Yaser menghantar satu pautan artikel bersama mesej pentingnya - "hang kena baca artikel ni!".

Artikel dari Projek MM yang bertajuk "Kelantan Tidak Serius Isu Nikah 11 Tahun" merakamkan komentar terhadap kenyataan Nik Amar sebagai Timbalan Menteri Besar "Negeri Serambi Mekah" Kelantan mengenai isu perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dengan isteri ketiganya yang baru berusia 11 tahun.

Lalu, setelah selesai membacanya, aku langsung mengemaskini status media sosial. Secara ringkasnya, aku menulis analogi mudah mengapa anak muda menolak untuk berdamping agamawan sebaliknya lebih intim dengan figura rock & roll seperti mendiang Kurt Cobain.

Penjelasan aku begitu sederhana, - Kerana agamawan tidak pernah membawa suara memihak kepada masyarakat. 

Bagi Nik Amar, isu perkahwinan kanak-kanak yang sedang meribut lewat ini baginya tidak serius berbanding kes-kes melibatkan LGBT dan zina.

Malah katanya, perkahwinan kanak-kanak tidak salah disisi agama Islam dan tidak patut diperbesarkan sebagai isu nasional kerana ianya hanya isu terpencil. Memetik kata-katanya, “Bukan semua lelaki mengahwini kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun”.

Berbanding Nik Amar yang religius, mendiang Kurt Donald Cobain yang tidaklah sealim mana, pernah mengeluarkan pendapatnya yang lebih membekas. 

Walaupun tidak menyentuh isu “child marriage” secara terperinci, sekurang-kurangnya, pendirian Cobain jelas berpihak kepada kaum tertindas, khususnya kaum wanita dan kanak-kanak perempuan yang dirogol dan diculik.(rujuk lagu “Polly” dan “Rape Me”)

Kata Cobain, masalah masyarakat ialah mereka terlalu taksub untuk mendidik kaum wanita untuk mempertahankan diri mereka. Apa yang lebih fundamental dan utama ialah mengingatkan kaum lelaki supaya tidak  merogol. 

Secara berseloroh dan sinis, di akhir "status fun-fun" itu, aku menjemput respon-respon berbau "syurga,nerak-dosa-pahala" ditulis dibahagian komen.
                                                                                                                                                               Setakat hari ini, terdapat 273 komen ditinggalkan dan kebanyakkannya memang komen berstatus "syurga-neraka-dosa-pahala"!

 Antara yang menarik ialah,

" Jadi perkahwinan itu yang mana sah disisi Tuhan, siapa kita untuk membangkangnya? Manusia ada standard yang lebih baik dari Tuhan?, "Jumhur 4 mazhab bersependapat Aisyah ketika bernikah dengan nabi ialah 9 tahun, datang pula bukti baharu, dari arkib mana?" dan "Isu kahwin (dengan kanak-kanak) juga kau nak sebut. Baik kau sebut isu perempuan tak tutup aurat, terang-terang tuhan sebut dalam quran dan marah..dan azab perempuan tak tutup aurat. Isu budak perempuan 11 tahun kawin takde pulak Tuhan cakap tak boleh dalam quran.."

Akhirnya, perdebatan perkahwinan kanak-kanak ini menyaksikan naratif gelap yang menyempitkan. Ia bukan lagi isu mengenai kemaslahatan, hak dan keadilan buat kanak-kanak bahkan tanpa persoalan kritis, ia langsung menjadi konflik yang meresahkan apabila kes pedophile sebegini mudah benar dihalalkan dengan hujah-hujah yang kononnya didokong agama. 

Ini adalah tragedi ketaksuban dan kejahilan  yang paling menyayat hati!

Ada ketika, hujah agama tidak semestinya diperlukan untuk membenarkan sesuatu perkara. Juga, tanpa hujah agama sekalipun, keburukan tetap kekal sebagai keburukan.

Namun ini sesuatu yang sangat sukar buat masyarakat untuk mereka persetujukan. Ditambah pula feudalisme yang tercipta dalam praktis agama -  masyarakat gagal berlaku jujur dan bersepakat dalam kenyataan ini.

Avaaz, sebuah portal global yang giat mempromosi aktivisme menentang kemiskinan, perubahan iklim, hak asasi manusi, hak asasi binatang, korupsi dan krisis dunia menyatakan "kes kanak-kanak perempuan yang berkahwin adalah masalah global - lebih dari 650 juta, kanak-kanak perempuan yang masih hidup pada hari ini ialah sudah berstatus isteri dan 10 ribu daripadanya adalah di Malaysia. Dan sementara Malaysia meluluskan undang-undang terhadap jenayah seks terhadap kanak-kanak tahun lepas, ia tidak menjadikan perkahwinan kanak-kanak sebagai jenayah."

Dari artikel yang sama (Projek MM - Kelantan Tidak Serius Isu Nikah 11 tahun) penulis menerangkan "Menurut kenyataan oleh Majlis Peguam Negara, antara tahun 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam telah membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Manakala, antara  tahun 2000 dan 2014, 7,719 permohonan perkahwinan telah dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam. 

Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi perkahwinan kanak-kanak menjelang tahun 2050,  sebanyak 1.2 billion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan."

Nah!
Setelah sekian dapatan dibuktikan, bagaimana isu ini boleh dianggap "terpencil" dan "bukan semua lelaki berkahwinan dengan pasangan berusia 11 tahun" oleh Nik Amar dan sebahagian besar masyarakat? 

Mengapa perkahwinan kanak-kanak mesti diperangi habis-habisan tuan-tuan?

Dalam laporan Institute For War & Peace Reporting, Sohdaba Ehrari menulis kisah tentang Laila, seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dari daerah Gozra, Afghanistan kini sudah berkahwin dan memiliki seorang bayi berusia 6 bulan. Kata Laila, yang berkahwin kerana kondisi keluarganya yang miakin,  menjadi isteri dan ibu benar-benar merampas zaman kanak-kanaknya; Laila tidak bersekolah, tidak bermain seperti kanak-kanak lain dan impian berserta cita-citanya terbunuh.Dia mengalami masalah ketika hamil dan bersalin kerana tubuhnya kecil dan lemah.

Menurut Health Consequences of Child Marriage in Africa, perkahwinan kanak-kanak didorong oleh faktor kemiskinan dan mempunyai banyak kesan terhadap kesihatan kanak-kanak perempuan: peningkatan risiko penyakit kelamin, kanser serviks, malaria, kematian ketika melahirkan anak, dan fistulas obstetrik. Anak-anak perempuan berisiko tinggi untuk kelahiran dan kematian pramatang sebagai bayi neonatus, bayi, atau anak-anak.

Maka benarlah, tanpa hujah agama sekalipun, kerosakkan dan konsekuensi dari perkahwinan kanak-kanak ini mendatangkan jutaan kecelakaan ketimbang kebaikkan.

Ia bukan seperti yang mereka nyatakan "untuk mengelak zina" atau "memelihara aurat". 

Jauh lebih dari itu, persoalannya sekarang, mengapa kita beriya-iya membenarkan perkahwinan kanak-kanak 11 tahun itu?

Di mana bezanya antara keberadaan kanak-kanak itu dengan Laila serta 650 juta kanak-kanak perempuan lain? Mereka masih muda, datang dari keluarga miskin dan perkahwinan itu sama sekali tidak seperti kisah klasik antara anak gadis dan raja melainkan ia adalah jalan menuju neraka; tanpa sekolah, tanpa masa bermain, tanpa kawan-kawan, kesakitan dan terkorban demi melayani nafsu "pemimpin keluarga".

Adakah kita masih perlu menghormati perkahwinan ini kerana alasan tradisi - cara hidup sesetengah bangsa, atau kerana kegelojohan kita dalam menafsir praktis agama atau akui sahaja, kita sememangnya pedophile yang tersuci diatas sebuah aqad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak