Rabu, 11 Julai 2018

KEBEBASAN : SEBUAH KEPURA-PURAAN

KEBEBASAN merupakan perkara alami dalam kehidupan seorang manusia. Dari zaman berzaman, manusia bukan sekadar menyebut-nyebut keperluan untuk bebas, malah lebih dari perbatasan itu, kebebasan berterusan diperjuangkan. Manusia sanggup bermatian untuk menegakkan kebebasan meski menghadapi risiko terkorban.

Namun kebebasan yang bersifat universal seakan perkara yang tidak mungkin. Seperti sebuah cakap-cakap kosong. Barangkali, ianya sejenis utopia yang mengkhayalkan. Usaha meletakkan kebebasan ke satu tahap tertinggi seringkali menemui kegagalan.

Tetap juga perjuangan mengatasnamakan kebebasan tetap menarik perhatian manusia. Ia mendamaikan hati. Terutama kepada mereka yang merasakan aturan hidup pada hari ini terlalu mengongkong, tidak bebas dan tidak merdeka.

Di lapangan politik, mereka yang sedang merebut kuasa akan memperlihatkan perjuangan mereka untuk membebaskan masyarakat. Walaupun sebenarnya apabila mereka sudah menang keatas seteru politik dan kuasa sudah beralih ke tangan mereka, kebebasan - nasibnya tetap terkurung.

Agama juga membawa intipati kebebasan. Manusia tertarik kepada sesuatu agama apabila pendokong agama bersurah tentang kebebasan dan bagaimana mereka mahu mencipta kehidupan yang lebih harmoni; namun pendokong agama seringkali terkeliru dalam membahaskan isu kebebasan. Mereka selalu tersekat, buntu apabila kebebasan yang mereka anjurkan mempunyai limitasi yang luas.

Begitu juga organisasi-syarikat korporasi besar. Bagi mereka, pekerja bebas menganuti apa jua kefahaman. Malah mereka (pekerja) berhak berkeputusan dalam pandangan politik mereka. Tetapi alih-alih, apabila seorang pekerja protes dengan keputusan atau dasar yang dibuat kerajaan, organisasi-syarikat besar memutuskan untuk menyingkir pekerja beralaskan  'guideline' yang ditetapkan tidak membenarkan pekerja mengekspresikan pandangan politik mereka secara publik.

Kata George Orwell, “Jika kebebasan merupakan sesuatu yang bermakna, ia bermaksud hak untuk memberitahu orang-orang apa yang mereka tidak mahu dengar.”   

Didalam sistem kenegaraan, masyarakat  dijamin kebebasan mereka oleh pemerintah. Baik dari segi menyatakan pandangan dan kritikan kepada mana-mana individu atau organisasi, juga kebebasan menganuti agama dan perkara-perkara alamiah lain.

Pun begitu, masyarakat sering diingatkan bahawa kebebasan ini terbatas. Semua orang boleh bersuara. Semua orang bebas mengkritik. Semua orang berhak mempersoalkan keraguan yang mereka rasakan. Namun, alih-alih kebebasan mengkritik, mempersoal dan mempertikai mesti mengikuti saluran yang betul. 

Sebagai masyarakat biasa, kita sering tertanya-tanya saluran yang betul tu bagaimana? Dan mengapa "saluran betul" ini mesti berdasarkan keputusan pemerintah sahaja? 

Beberapa hari lepas Anwar Ibrahim  berkata kepada media bahawa dia tidak bersetuju kritikan terhadap hak dan keistimewaan institusi raja melayu.

Dalam laporan Sinar Harian, Anwar berkata "
Saya tidak menafikan hak seseorang menulis dan berbicara tetapi untuk menyerang dan menghina raja-raja dengan fakta dipertikai dan maksud untuk menimbulkan permasalahan dalam negara kurang wajar". 

Mengapa setiap kali institusi pemerintahan (monarki) dipertikaikan dan setiap kali itulah kritikan direncanakan sebagai "tidak wajar" dan bersifat "menghina"?

Jikalau kritikan selalu dianggap menghina, lalu dimana bebasnya sebuah kebebasan (mengkritik)? 

Samada fakta "boleh dipertikai" atau "tidak boleh dipertikai" di era Malaysia Baharu ini, segala kritikan, pertikaian, mempersoalkan lagi-lagi terhadap kelas penguasa , ahli politik mesti subur berkembang.

Kebebasan hadir bersama tanggungjawab. Kebebasan turut berkembang bersama rasional. Kebebasan bukan digarispandukan oleh kelas penguasa. Dan jika faktor ini tidak sealiran, kebebasan akan dilihat berat sebelah.

Kebebasan mengekspresikan pandangan dan pertikaian tidak boleh terbatas kepada sesetengah kelas. Ia mesti bertumbuh mekar. Masyarakat tidak boleh gementar untuk mempersoalkan sesiapa sahaja; baik raja, kerajaan, ahli politik, agamawan, golongan intelektual atau sesiapa sahaja.

Kerana kebebasan, dalam lipatan sejarah tidak pernah diberkati dan diizin kelas penguasa. Kebebasan yang didalamnya membawa pengertian yang cukup bermakna sebenarnya muncul dari sejarah perlawanan.

Sekiranya hari ini, kebebasan mengkritik penguasa dianggap tidak wajar, perlu disalurkan ke saluran yang betul dan tertutup kerana bimbang menghina dan memalukan penguasa, kita sebenarnya hanya berpura-pura. Kita tidak pernah jujur bila bercakap dan mempraktis kebebasan.

Lebih tragis, kita bersikap hipokrit demi mengamankan hati sendiri bahawasanya kita ialah bangsa yang mendokong kebebasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan mesej gua nak pinjam duit pulak